Sering kita dengar demi menikmati hidup yang lebih sihat perlu menjalani kehidupan yang seimbang. Kehidupan yang seimbang ini merangkumi fizikal dan juga spiritual. Kesihatan fizikal termasuk menjaga pemakanan dan melakukan senaman secara konsisten.
Tubuh akan lebih sihat dan meningkatkan keyakinan diri andai melakukan riadah untuk kecergasan diri. Tubuh yang sihat dan minda yang cergas merupakan tunjang kebahagiaan hidup yang sejahtera.
Penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana ini memilih berbasikal sebagai cara untuk meningkatkan kecergasan diri. Biar pun wanita kelahiran Pahang ini mempunyai anak kecil tetapi tetap bersenam agar tubuh sihat dan cergas.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin berkongsi di laman sosialnya tentang minatnya dalam sukan basikal ini. Menurut ibu kepada Siti Aafiyah ini baru-baru ini berjaya berbasikal sehingga 40 kilometer.
Sukan basikal merupakan sukan yang mempunyai kelebihan sendiri. Jika dilakukan secara konsisten berat badan boleh turun dengan cepat dan perut lebih mudah kempis.
Malah mengayuh basikal adalah salah satu cara yang berkesan untuk membakar kalori dan membantu meningkatkan tahap kesihatan serta kekuatan fizikal tanpa perlu menyekat diet harian.
Fokus utama berbasikal adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan tubuh. Mengayuh basikal sepatutnya menonjolkan keseronokan dan bukan sebuah beban. Jika tidak mampu untuk berkayuh boleh berhenti seketika berehat sambil minum air.
Tidak perlu memaksa diri untuk melengkap kayuhan tanpa peduli kemampuan diri. Sebarang kecederaan perlu dirujuk kepada doktor agar tidak melarat atau berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Seperti semua jenis senaman sebelum berkayuh perlu melakukan aktiviti pemanasan badan sekitar 15 minit. Pemanasan badan ini penting untuk elak sebarang kecederaan dan merangsang otot untuk bersedia untuk mengayuh. Begitu juga selepas mengayuh perlu melakukan aktiviti penyejukan badan seperti melakukan kayuhan ringan sekitar 15 minit bagi membantu merehatkan otot dan badan.
Terdapat tiga jenis basikal yang biasa digunakan dalam aktiviti basikal ini iaitu;
1.Basikal jalanan (road bike)
Basikal jenis ini hanya boleh digunakan di jalan raya. Ia sangat ringan dan mempunyai tayar yang kecil yang direka khusus untuk menyusur di jalan raya. Boleh dikatakan basikal jenis ini berteknologi tinggi kerana sering berubah mengikut peredaran zaman terhadap aerodinamik dan materialnya. Mungkin itu punca basikal ini mahal harganya. Namun kepuasan menunggang basikal jenis ini apabila berkayuh jarak jauh sekitar 80km hingga 160km.
2.Basikal gunung (mountain bike – MTB)
Basikal jenis ini sesuai untuk kayuhan di atas jalan biasa. Ia adalah basikal pelbagai guna kerana boleh menyusur di laluan lereng bukit, gunung, sungai, jalan hutan dan taman perumahan. Basikal gunung ini terbahagi kepada dua;
i.Hard tail – mempunyai penangguhan (suspension) hanya di bahagian depan (fork) dan tidak di bahagian belakang. Biasanya digunakan untuk memanjat bukit dan offroad yang tidak mencabar.
ii.Soft tail – mempunyai penangguhan (suspension) di bahagian depan (fork) dan belakang. MTB jenis ini biasa digunakan ketika menuruni bukit yang mencabar.
3.Basikal untuk melancong (touring bike)
Basikal jenis ini biasanya digunakan oleh pelancong untuk melawat sesuatu tempat pelancongan. Basikal jenis ini mempunyai ruang untuk meletak beg dan mengayuh dengan santai.