Kayuh Basikal Sejauh 700 Kilometer, Cara NIRINA ZUBIR & ERNEST COKELAT Sambut Lebaran Tahun Ini!

Di saat masyarakat Indonesia mudik lebaran baru-baru ini, penyanyi dan pelakon, Nirina Zubir dan suaminya, Ernest Fardiyan Sjarif atau Ernest Cokelat mengambil kesempatan melakukan siri jelajah dari Jakarta ke Pacitan dengan jarak perjalanan lebih 700 kilometer.  Pasangan ini memilih untuk mengayuh basikal sepanjang perjalanan tersebut!

Nirina Zubir dan suaminya, Ernest

Pasangan selebriti ini memilih memulakan kayuhan pada Hari Raya kedua bagi mengurangkan masalah kesesakan lalulintas yang boleh menyebabkan perjalanan mereka terganggu.

Bagi memastikan siri jelajah tersebut berjalan lancar, pelbagai persiapan rapi telah dilakukan oleh pasangan ini yang dikongsikan di laman Instagram milik Nirina Zubir.

“Menyiapkan segala sesuatu yang sangat penting untuk touring menggunakan basikal. Apalagi perjalanannya bukan 100 atau 200 kilometer, tapi lebih 700 kilometer. Jadi ini dia persiapan saya dengan suami,” tulis Nirina melalui muat naik di laman Instagram miliknya.

Pada usia 43 tahun, Nirina sememangnya amat mengambil berat soal pemakanan dan kesihatan dirinya dan mula jatuh cinta dengan sukan berbasikal sejak setahun yang lalu.

Malah, sebelum memulakan siri jelajah berbasikal bersama suami tersayang, baik Ernest mahupun Nirina memastikan keadaan kesihatan mereka berada pada tahap terbaik dan menjaga pengambilan makanan sepanjang bulan Ramadan.

 

Menempuh perjalanan yang jauh sememangnya memerlukan persiapan fizikal dan mental yang tinggi. Selain itu, keadaan basikal dan faktor cuaca juga banyak mempengaruhi kelancaran perjalanan yang jauh ini.

Masalah tayar pancit adalah antara masalah yang tidak dapat dielakkan sepanjang siri jelajah tersebut. Namun, Nirina dan suami bertuah kerana mempunyai pasukan khas yang membantu mereka dalam sebarang kesulitan sepanjang perjalanan tersebut.

Pada usia 43 tahun, wanita berdarah Minangkabau itu memilih berbasikal sebagai sukan kegemarannya. Katanya, berbasikal bukan sahaja mengeluarkan peluh malah dapat menikmati udara yang segar.

Pernah terhalang akibat pendemik Covid-19, kini Nirina berkata, dia kembali semula aktif dan merancang membuat kayuhan mengelilingi Indonesia.

“Saya mahu mengelilingi Indonesia naik basikal, saya mahu mengenal Indonesia menerusi sukan seperti berbasikal atau diving” katanya yang menganggap hobi dan siri penjelajahan bersama suami tersayang telah merapatkan lagi hubungan mereka berdua.

 

 

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu