Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah buat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas penerimaan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam Kepimpinan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pengiktirafan itu diberikan pada istiadat konvokesyen khas sempena sambutan ulang tahun ke-40 UIAM yang disampaikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merangkap Ketua Perlembagaan UIAM.
Penganugerahan itu juga merupakan salah satu penghargaan kepada Seri Paduka Baginda yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Julai 2019 di atas kepimpinan Seri Paduka Baginda yang bersama-sama dengan rakyat memimpin negara di saat seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19.
Seri Paduka Baginda berbesar hati dengan penganugerahan tersebut dan melihat ia bukan hanya untuk pencapaian diri Seri Paduka Baginda, tetapi juga mengiktiraf nilai dan peranan rakyat Malaysia.
Terdahulu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli menghadiri Majlis Konvokesyen Khas Bersempena Sambutan Ulangtahun ke-40 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 20 Mei 2023.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga dan alumni UIAM sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga UIAM sentiasa dilimpahi kecemerlangan yang berterusan dan warga serta alumninya sentiasa di bawah rahmat dan lindungan Allah SWT.
Menjunjung Kasih Tuanku!
Sumber & Kredit Foto: FB House of Pahang
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona