Tidak keterlaluan jika ada yang melabel Ustazah Sharifah Khasif sebagai ikon muslimah. Mana tidaknya, selain memegang status sebagai Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2008/2009, Sharifah Khasif Syed Mohd Badiuzzaman ini juga merupakan Pengasas Academy of Sharifatuna Quranic Arts (AQSA). Sempena kedatangan Ramadan dan menggalakkan umat Islam khatam Al-Quran, pusat pengajian ini aktif menganjurkan program Ihya Ramadan dengan bertadarus yang dipimpin eksklusif oleh Ustazah Sharifah Khasif sendiri.
Dibuka secara percuma, mereka yang berminat hanya perlu mendaftar dan mengikuti sesi tadarus pada setiap hari Selasa dan Khamis selama sejam bermula pukul 3 hingga 4 petang. Tidak pernah jemu menyampaikan ilmu berkaitan agama dan Al-Quran… ibu kepada Abeer Widad ini memang suka mengajak masyarakat khususnya kaum wanita melakukan amal kebaikan. Tidak kiralah soal hijab, mengaji Al-Quran, solat.
Ads
“Benda kecil tapi sedikit dan kita istiqamah, Nabi suka. Jangan sampai tak buat langsung. Kalau hendak berhijab ini… saya akui benda baik memang susah hendak ikut. Kebaikan itu bersifat memaksa. Kita kena telan semua ini sebab kalau tak paksa sampai ke sudah kita tak akan buat.
Saya tahu ada di kalangan wanita yang sudah bertudung tapi akhirnya tanggal. Itu maknanya Allah belum bagi hidayah kepada mereka. Hidayah milik Allah dan Dia boleh bagi kepada sesiapa saja yang diingini.
Begitu juga soal hafaz Al-Quran. Bukan semua orang boleh mudah menghafal, ada yang terpaksa ambil masa lama dan sebaliknya. Itu semua Allah hendak bagi kepada insan terpilih dan beri kepada mereka yang mencari.
Pilihlah jalan mana yang disuka. Saya sendiri diuji dengan kelebihan suara dan ada pilihan sama ada untuk menyanyi atau mengaji. Akhirnya, saya pilih untuk mengaji berbanding menyanyi.
Hendak masuk syurga ini tak senang dan ketahuilah syurga itu mahal. Kena bersusah-susah dulu di dunia, ikut semua suruhan Dia seperti bertudung, mengaji dan bersolat. Semoga Allah akan tetapkan hati kita semua, insyaAllah.”
Meskipun telah mula berjinak dalam Tilawah Al-Quran seawal usia tujuh tahun, namun Ustazah Sharifah Khasif tidak meminggirkan minatnya dalam bidang seni dan fesyen. Baginya, dia juga manusia biasa yang ada keinginan seperti wanita lain. Pasti ramai yang tidak menyangka Ustazah Sharifah Khasif rupa-rupanya pernah menjadi peserta Bintang RTM 1997.
“Masa tu saya baru 17 tahun dan suka sangat nyanyi. Kalau tak silap masa uji bakat Bintang RTM 1997 di Ipoh. Disebabkan masa tu saya baru memenangi tilawah yang pertama saya sertai di Perak dan menang, jadi ramai juga yang kenal saya. Lucunya, saya terpaksa masuk ikut pintu belakang.
Saya siap bawa lagu Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Badarsila sebab saya memang minat dengan lagu-lagu beliau. Selepas lalui beberapa peringkat, saya dapat Top 10. Macam tak percaya pun ada, sebab daripada beratus-ratus yang datang ujibakat, saya antara yang terpilih.
Kemudian, penerbit program panggil untuk pergi ke peringkat seterusnya di RTM Angkasapuri, KL. Mereka sendiri pun ragu-ragu untuk ambil saya sebab tahu latar belakang saya sebelum ini. Walau gembira dengan berita itu tapi niat untuk bertanding bintang RTM terpaksa saya lupakan kerana beberapa sebab.”
Tambahnya lagi, arwah bapa iaitu Syed Mohd Badiuzzaman tidak melarang kemahuan anak perempuan tunggalnya itu bahkan menyokong apa juga yang diimpikan Ustazah Sharifah Khasif. “Walid support saya sebab dia pun peminat setia Tan Sri P. Ramlee. Malah masa saya kecil dulu, walid selalu ajar orang-orang muda main gitar, piano dan alat muzik lain. Boleh dikatakan kami berasal dari keluarga berdarah seni dan walid memang seorang yang suka belajar banyak bahasa selain Arab.”
Biarpun tidak ‘diperkenankan’ untuk bertanding dalam nyanyian, Sharifah Khasif sekali lagi memenangi pertandingan tilawah Al-Quran peringkat Perak pada usia 18 tahun. Hasil kemenangan tersebut, dia membawa pulang hadiah menunaikan haji selain mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.
Ads
Itu adalah kali pertama dia memegang wang sebegitu banyak pada usia yang masih muda. Seluruh wang kemenangan diberikan kepada bapa hingga mampu membeli sebuah kereta secara tunai. “Orang yang jaga dan buat baik kepada mak bapa ini Allah bagi rezeki luar biasa. Walid memang sangat tegas dan garang dalam bab agama terutamanya Al-Quran.
Tapi dia bukanlah guru agama cuma dia pernah menuntut belajar dengan 14 orang guru masa muda. Dia bekas kakitangan TNB dan begitu minat terhadap Al-Quran. Ibu saya pula suri rumah.
Bila menang tilawah peringkat kebangsaan, ramai yang datang ke rumah kami tapi mereka tak ingat nama saya. Orang akan cakap mana rumah yang anak dia menang pertandingan Al-Quran itu dan orang kampung nanti akan bawa tunjukkan rumah kami.
Saya ingat lagi waktu hendak balik daripada pertandingan. Ramai yang sudah tunggu kat airport untuk sambut saya. Paling tak sangka, kerajaan Perak bagi cuti sebab kemenangan itu. Saya diarak satu kampung sebab menang pertandingan,” ceritanya yang pernah memasang cita-cita bekerja di Bursa Malaysia dan menjadi Gabenor Bank Negara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nampaknya pengasas Huda Beauty sudah mula ‘detoks’ media sosial sejak ketibaan 1 Ramadan pada 24 April lalu. Mengintai laman Instagram usahawan kosmetik berjaya dunia itu, sehingga ke hari ini tiada satu posting pun yang dimuatnaik Huda Kattan di media sosial miliknya sendiri. Walhal, platform seperti Instagram, Youtube, Twitter dan Facebook inilah tempat Huda mempromosikan rangkaian kosmetik hingga berjaya meraih jutaan dollar walau tanpa butik fizikal. Kagum, luar biasa cara Huda meraikan kedatangan Ramadan dan sanggup tolak tepi urusan bisnes semata-mata untuk menghargai golongan tidak bernasib baik ketika ini.
Tanpa berselindung tentang kepercayaan agama yang dianuti dan bulan Ramadan yang disambut seisi keluarganya saban tahun, pada 23 April lepas Huda memberitahu sudah tiba waktunya untuk dia memanfaatkan masa terluang di samping insan tersayang. “Keluarga ialah perkara paling penting dalam hidup saya. Kami melakukan segalanya bersama-sama, namun sempena Ramadan kami mengambil kesempatan ini untuk ‘berehat’ dan meluangkan lebih banyak masa untuk menghargai mereka yang kurang bernasib baik.
Salah satu perkara penting yang saya dan keluarga lakukan pada #MonthOfGood ini ialah dengan memberikan bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan. Ini adalah
perkara utama yang kami sekeluarga ketengahkan setiap kali Ramadan dan ia nyata ‘membuka mata’ ramai pihak. Kadang-kala kita tidak ambil kisah dengan keperluan
asas dalam hidup seperti makanan. Tapi bagi sesetengah orang, ia cukup berharga,” ujar Huda selaku Ketua Pegawai Eksekutif Huda Beauty yang kini menetap di Dubai.
Menelusuri kejayaan Huda Beauty dalam industri kosmetik dunia, Huda Kattan mengakui dia tidak melaburkan duit untuk tujuan pemasaran melalui iklan komersial di media cetak mahupun elektronik, billboard dan sebagainya. Sudah tertulis rezeki usahawan ini, walau tanpa strategi pemasaran pun bisnes mereka mampu ‘berdiri’ sendiri.
Mendekati wanita berjiwa besar di sebalik jenama bernilai jutaan dollar ini, Huda Kattan yang memiliki darah keturunan Iraq kini meniti usia 36 tahun. Keluarganya telah berpindah ke Boston ketika dia baru berumur dua tahun. Memetik laporan Vogue Arabia, Huda dilahirkan pada 2 Oktober 1983 di Oklahoma dan berketurunan Iraq daripada kedua
ibu bapanya yang berhijrah ke United Kingdom untuk mengajar subjek Biologi serta mendalami bidang kejuruteraan mekanikal.
Huda merupakan anak kedua daripada empat beradik. Kakaknya, Alya ialah 10 tahun berusia darinya dan Huda dikurniakan seorang adik perempuan dan lelaki masing-masing
bernama Mona dan Khalid. Semasa tinggal di kejiranan Boston, Huda dikenali dengan nama panggilan ‘Heidi’.
Merujuk kenyataan Huda bersama Vogue pada tahun 2015, “Saya suka dengan nama Huda tapi masyarakat di sana menganggap nama tersebut pelik. Bagaimanapun setelah berpindah ke Massachusetts, rakan-rakan menyambut baik nama Huda. Begitu juga bila mereka tahu saya berketurunan Iraq.”
Ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kewangan di University of Michigan-Dearbon, Huda berkenalan dengan Chris Goncalo iaitu suaminya hari ini. Pasangan ini
dikatakan berhijrah ke Dubai pada tahun 2006 dan menyambut cahaya mata perempuan diberi nama Nour Gisele tidak lama kemudian.
Sebelum bergelar usahawan kosmetik berjaya, Huda pernah menjadi make up artist di Hollywood dan mula didedahkan dengan produk kecantikan melalui kakaknya sendiri, Alya.
Figura yang memiliki raut wajah cantik dan bibir mungil ini sudah menjadi blogger sejak tahun 2010 yang seterusnya mencipta populariti di alam maya selepas tip dan petua kecantikannya menjadi viral.
Berdasarkan laporan Vogue, ibu seorang anak ini pernah menjadi jurusolek di Revlon dan bekerja di beberapa syarikat jenama mewah seperti Cartier dan Mercedes. Mengikut laporan Forbes pula, Huda menceburi bidang solekan dan blog selepas dia rasa tidak puas bekerja dalam bidang kewangan.
Tiga tahun bergelar blogger, Huda mendapat inspirasi menghasilkan bulu mata palsu selepas dia sukar mendapatkan produk berkenaan di pasaran. Bermula dari situlah, empayar Huda Beauty yang diterajui tiga beradik ini wujud dan terus berkembang hingga ke peringkat antarabangsa.
Hari ini, rangkaian kosmetik Huda Beauty mempunyai 140 produk yang terdiri daripada set pembayang mata, bedak asas, variasi gincu bibir, kuku palsu dan sebagainya yang dianggarkan mencecah jualan tahunan tidak kurang USD 250 juta. Melihat kejayaan itu, tidak hairanlah Forbes menyenaraikan Huda Kattan antara 2019 America’s Richest Self-Made Women berjumlah USD 610 juta.
Sumber: Forbes & Vogue Arabia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apa rancangan hujung minggu ni? Jom berehat sejenak sambil menghirup udara segar dan nikmati panorama gunung-ganang yang menghijau, rasanya pasti bagai terapi tatkala mengharungi pandemik COVID-19.
Bagi yang teringin berubah angin, pakej Fun & Nature di Resorts World Genting ni antara pilihan terbaik yang dekat, tapi menyeronokkan.
Bayangkan dengan tawaran serendah RM125, anda dapat bercuti untuk dua orang termasuk penginapan satu malam di Resorts World Awana, menjamu selera, trip jungle trekking dengan jurupandu dan tiket pergi-balik Awana SkyWay.
Semua ini pada harga promosi untuk jangka masa terhad iaitu pada 14, 15, 21, 22, 28 dan 29 Ogos 2020.
Anda boleh beristirahat dan merebahkan badan di Resorts World Awana, sebuah hotel dengan padang golf 18-lubang yang terbentang indah. Pakej ini juga merangkumi makan untuk dua orang di High Line Rooftop Market yang bersuasanakan alfresco, tiket Awana SkyWay untuk dua orang termasuk hentian percuma di Stesen Chin Swee bagi yang berminat melawati Kuil Chin Swee Caves.
Kemuncak percutian ini adalah misi jungle trekking dengan jurupandu di laluan Konservasi berdekatan hotel. Peminat alam semula jadi pasti teruja untuk meneroka hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun. Sambil bersiar-siar melalui Encyclopedic Walk, singgah juga di Awana Bio Park dan belajar tentang biodiversiti Montane Timber Forest dan habitatnya.
Di sini anda mungkin bertuah jika menemui haiwan liar yang bebas di tempat tinggalnya. Ada kambing gunung, siamang, harimau black panther, pelbagai spesis ular dan monyet. Aneka flora dan fauna juga memayungi kanopi hutan, selain lebih 60 spesis burung yang menjadikan hutan ini sebagai taman permainan mereka.
KEPERLUAN BERCUTI
Bagi mematuhi SOP kerajaan, anda mestilah memakai pelitup muka setiap masa.
Sebaik tiba di hotel, imbas dahulu MySejahtera dan periksa suhu badan.
Gunakan sanitizer tangan yang disediakan.
Amalkan penjarakan sosial sepanjang aktiviti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kualiti yang ada dalam diri pelakon James Bond ini memang satu antara berjuta. Tak hairanlah dia pernah mendapat gelaran Sexiest Man Alive bukan hanya kerana populariti, wajah tampan dan susuk tubuh sasa yang dimiliki. Malah cukup setia dan sangat menghargai wanita terutama suri hatinya.
Tidak sekadar berbakat besar sebagai pelakon, Pierce Brosnan juga disifatkan seorang lelaki, suami dan bapa yang hebat di mata peminat. Hingga ramai melabelnya seorang ‘family man’ yang lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama isteri dan anak-anak.
Kesetiaan Pierce terhadap isteri tercinta, Keely Shaye Smith bukan lagi perkara asing dalam kalangan peminat aktor keturunan Ireland ini. Sejak pertama kali bertemu pada tahun 1994 hingga sekarang, hatinya masih tertawan dengan kejelitaan dan peribadi Keely.
Lebih istimewa tanggal 4 Ogos ini, genap 20 tahun Pierce mendirikan rumah tangga dengan bekas personaliti televisyen dan wartawan Amerika Syarikat tersebut. Pierce kini berusia 68 tahun manakala Keely bakal berusia 58 tahun pada 25 September nanti.
Memetik laporan di portal Parade, pasangan romantis ini mula berkenalan di Cabo San Lucas, Mexico pada tahun 1994. Waktu itu Keely ditugaskan menemu bual pelakon Ted Danson. Bagaimana pun Ted tidak dapat meneruskan sesi berkenaan dan dia kemudian bertemu Pierce.
Kata Pierce kepada media PEOPLE, perhatiannya terhadap Keely tidak pernah berubah sejak dia melihat wanita itu pada tahun 1994. “Ke mana saja saya pergi, saya akan merinduinya dan hantar tiket kepadanya untuk datang supaya kami boleh bersama. Saya menemui seorang wanita yang hebat dalam diri Keely Shaye. Dia umpama satu dalam berjuta.”
Sementara itu, mengulas pertemuan pertama mereka… Keely mendedahkan Pierce seorang lelaki yang menawan. “Tall, dark and handsome. Dia memiliki semua yang membuatkan orang tertarik dengan personalitinya. Dia juga mempunyai sepasang mata yang memikat. Jadi saya faham mengapa wanita melihatnya sebagai seorang lelaki yang seksi. Dia sangat menawan dan menghargai wanita.”
Ketika ditemu bual The Sun pula, bintang Mamma Mia! ini berkata tidak kira apa sekali pun Keely tetap menjadi wanita terbaik dalam hidupnya. “Saya mengagumi jiwa dan semangat isteri. Bila dia merenung ke arah saya, saya jadi ‘lemah’.”
Sampai macam tu sekali Pierce ‘cair’ dengan buah hati kesayangan, Keely! Walau sudah 20 tahun hidup bersama tapi kedua-duanya masih kelihatan seperti sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta. Jelas Pierce, meluangkan masa berkualiti bersama pasangan merupakan kunci kepada hubungan yang baik di antara mereka.
Pasangan ini berkahwin pada tahun 2001 di sebuah biara berusia 785 tahun iaitu Ballintubber Abbey di County Mayo, Ireland. Majlis perkahwinan Pierce dan Keely dilaporkan bernilai USD1.5 juta dan hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat.
Hasil perkongsian hidup, Pierce dan Keely dikurniakan dua orang anak iaitu Dylan Thomas Brosnan yang lahir pada 1997 sementara Paris Beckett Brosnan pula dilahirkan pada tahun 2001.
Ini merupakan perkahwinan kedua Pierce selepas isteri pertama, Cassandra Hariss meninggal dunia akibat kanser ovari pada tahun 1991. Cassandra yang sebelum itu pernah berkahwin mempunyai dua orang anak iaitu Charlotte dan Christopher. Sepanjang perkahwinan bersama Pierce, Cassandra turut melahirkan anak mereka yang diberi nama Sean Brosnan.
Selepas kematian Cassandra, Pierce mengambil tanggungjawab sebagai bapa kepada Charlotte, Christopher dan Sean. Pada tahun 2013, Charlotte turut meninggal dunia selepas menghidap kanser ovari seperti ibunya.
Kredit foto: Instagram Pierce Brosnan & Keely Shaye Smith
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...