Pasti bakal ibu yang suami mereka merupakan kakitangan IKEA melompat gembira bila syarikat perabot dari Sweden ini memperkenal cuti bergaji satu bulan kepada kakitangan lelaki, bukan? Terasa ringan sedikit tugas ibu apabila suami berada di sisi. Sekurang-kurangnya ada juga tempat untuk wanita bergantung harap ketika berpantang di samping membantu mereka menguruskan keperluan bayi baru lahir.
Pengumuman berita gembira ini yang dibuat Pengarah Sumber Manusia IKEA Asia Tenggara, Lydia Song pada 20 Oktober lalu nyata disambut baik masyarakat. Menurut kenyataan Lydia, perkara tersebut diperkenalkan bagi membolehkan kaum bapa terlibat secara langsung dalam penjagaan bayi termasuk menyediakan kelengkapan dan curahan kasih sayang kepada keluarga tercinta.
Katanya, “IKEA sering menitikberatkan kehidupan di rumah bersama keluarga selain nilai-nilai Sweden termasuk kesamarataan di pejabat dan rumah. Malah kita percaya lelaki dan wanita wajar diberi peluang untuk sama-sama membesarkan anak mereka.
Tahun ini, di seluruh outlet dan pejabat IKEA di Asia Tenggara kita memperkenalkan cuti bersalin satu bulan gaji bagi membolehkan kakitangan lelaki menjaga bayi mereka dalam tempoh sebulan.”
Usaha murni ini dilihat bukan hanya memberi perubahan besar kepada kaum bapa yang bekerja di IKEA tetapi juga sebagai landasan buat mereka untuk menjadi ketua keluarga yang terbaik dan bertanggungjawab terhadap anak serta isteri.
Bagi membuktikan inisiatif itu tidak sekadar omong kosong, Muhammad Rizal Sunalim yang juga Ketua Kumpulan IKEA Food di IKEA Cheras merupakan kakitangan pertama di Malaysia yang mendapat manfaat itu berkuat kuasa 1 Januari lalu.
“Inilah masa yang paling berharga untuk saya dan keluarga. Ketika isteri saya bersalin anak pertama dan kedua, beliau melakukan semua kerja sendiri. Kali ini saya mempunyai peluang untuk menjaga bayi kami dan isteri tersayang.”
Beruntung pekerja IKEA sebab kebajikan mereka dipandang serius oleh majikan. Semoga pengumuman ini akan menjadi penanda aras dan membuka mata pelbagai pihak terlibat untuk melaksanakan perkara serupa. SUZIANA ABU DAUD
This website uses cookies.