Kepimpinan Jacinda Ardern sewaktu mendepani pandemik COVID-19 di New Zealand menarik perhatian dunia.
Jacinda Ardern berjaya meletakkan tanda aras yang tinggi sebagai seorang pemimpin, khususnya di mata negara-negara maju yang mencatatkan rekod jangkitan penyakit yang tinggi.
Dalam satu klip video yang tular di media sosial, kepimpinan Jacinda Ardern dibandingkan dengan kepimpinan Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson.
Berdasarkan klip di atas, kelantangan beliau dalam menguruskan krisis, keprihatinan terhadap kebajikan negara dan kemahiran memimpin rakyat sepanjang tempoh lockdown, jelas ‘menyelamatkan’ New Zealand dari kelumpuhan lebih besar.
KAJI CORAK KEPIMPINAN
(1) Berani Buat Keputusan
New Zealand antara negara yang terawal mengenakan lockdown kepada rakyat. Meskipun pada mulanya rakyat bimbang terhadap impak ekonomi mereka, namun seorang pemimpin perlu membuat keputusan terbaik berdasarkan situasi atau pilihan yang ada.
Jacinda Ardern beruntung kerana beliau dibantu oleh KP Kesihatan, Dr Ashley Bloomfield untuk memberi pandangan dan menjelaskan prioriti yang sepatutnya diutamakan.
(2) Semangat Berpasukan
Sebagai pemimpin, Jacinda Ardern menggambarkan New Zealand adalah satu pasukan besar. Beliau kerap menggunakan terma “Our team of 5 millions” sebagai menggambarkan perjuangan bersama menentang COVID-19, pasukan New Zealand.
(3) Sifat Empati
Sejak tragedi berdarah di Christchurch, Jacinda Ardern menunjukkan kualiti empati yang sangat tinggi. Umpamanya, beliau memakai selendang untuk melawat keluarga korban pengganas.
Penganalisis menggambarkan beliau sekali lagi menggunakan kaedah science and empathy dalam menangani krisis COVID-19. Sains dalam membuat keputusan, empati dalam kaedah menanganinya. Dalam perutusan, beliau sering mengakhiri ucapan dengan kata-kata…
Be strong. Be kind.
(4) Kepimpinan Berteraskan Nilai
Nilai adalah apa yang menjadi garis panduan Jacinda Ardern dalam setiap keputusan yang dibuat. New Zealand adalah negara seperti satu komuniti.
Beliau meletakkan keselamatan rakyat lebih utama berbanding ekonomi. Ucapan beliau banyak menggunakan positive reinforcement, umpamanya, “I ask all New Zealanders to do what we do so well. We are creative, practical and community minded.”
Malah, beliau juga menggalakkan rakyat untuk saling menjaga satu sama lain.(5) Kuasa Komunikasi
Dalam perutusan, beliau selalu menjelaskan tentang asas sesuatu keputusan dibuat supaya masyarakat faham tujuannya.
Berkomunikasi secara kerap juga antara amalan Jacinda Ardern, termasuk menggunakan Facebook Live dalam suasana santai di rumah pada tengah malam. Setiap ayat yang diucapkan dipilih dengan sangat teliti dan memberikan ketenangan kepada rakyat.
SUPERWOMAN
Menurut Penceramah dan Jurulatih Profesional, Johan Irwan Kamarozaman, Jacinda Ardern adalah pemimpin yang sangat hebat. Tanpa perlu menjadi karismatik dan egoistik, beliau sebaliknya selesa menjadi diri sendiri, mendengar, membuat keputusan yang betul dan berkomunikasi dengan bijak.
Pemimpin muda berusia 38 tahun itu pernah mencuri perhatian ketika menangani insiden serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, pada Mac 2019.
Beliau merupakan Perdana Menteri New Zealand yang ke-40 dan wanita termuda yang memegang jawatan tersebut di negara itu. Jacinda Ardern dilantik sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2017.
Tiga bulan selepas dilantik PM, Jacinda mengumumkan bahawa beliau hamil anak pertama dan bakal bersalin pada bulan Jun tahun yang sama.
Menggambarkan dirinya sebagai berfahaman demokrat sosial dan seorang progresif, sikap profesional dan tanggungjawab Ardern terhadap negara terbukti apabila beliau hanya mengambil cuti bersalin selama enam minggu ketika melahirkan anak pertamanya.
Selain itu, sikap diplomasi Ardern ketika berdepan dengan insiden tembakan, yang beliau sifatkan sebagai ‘hari gelap buat New Zealand’ membuatkan semua orang di negara itu jatuh cinta kepadanya.
Laporan sebuah portal antarabangsa menyatakan Ardern sentiasa mengingatkan rakyat Kiwi supaya memahami istilah komposis negara, malah cuba memberitahu Donald Trump bahawa cara terbaik untuk Presiden Amerika Syarikat itu boleh menyokong New Zealand adalah dengan memberikan nilai ‘simpati dan cinta’ kepada semua masyarakat Islam.
Semoga mesej cinta yang dibawa oleh Jacinda Ardern menjadi contoh kepada pemimpin-pemimpin dunia lain.
This website uses cookies.