Kecantikan Turun-Temurun, Jennifer Lopez Kongsi Potret Eksklusif Dengan Ibu & Anak Tersayang

Kejelitaan wajah Jennifer Lopez senantiasa menjadi igauan peminat yang menyenangi rupa paras wanita Latin. Menariknya, kecantikan ini memang mengalir dalam keluarga penyanyi popular itu apabila beliau berkongsi foto terbaru mereka di media sosial.

Dalam hantaran terbarunya, Jennifer Lopez, 51 tahun, memuat naik sekeping foto yang mengundang perhatian followers. Foto yang menampilkan anak perempuan Lopez berusia 13 tahun, Emme Muniz, dan ibunya, Guadalupe Rodriguez, 75 tahun tersebut jelas menyerlahkan genetik cantik mereka.

Biarpun hanya memberikan pose sisi atau side profile masing-masing, namun kulit mereka yang berseri-seri jelas mengagumkan. Rahsia kecantikan itu sudah tentulah terhasil daripada rejim penjagaan kulit menggunakan produk JLo Beauty.

“#MamaGlowsBest” – Jennifer Lopez

 

 

ADA ANAK REMAJA

Awal Februari lalu, Lopez baru saja meraikan ulang tahun ke-13 kedua anak kembarnya, Emme dan Max Muniz yang meningkat remaja.

Sebagai ibu, beliau turut berkongsi kegembiraannya melihat tumbesaran si kembar itu, hasil perkongsian hidupnya dengan bekas suami Marc Anthony.

“I can’t believe it’s been 13 years since I carried them both home in my arms in the middle of a snowstorm. Out of that blizzard came two perfect lil’ coconuts who rearranged my life and taught me the true meaning of love.”

“It has been the most magical journey full of adventure and joy ever since… I’m feeling so many emotions this morning… so very emotional today… so proud and happy and heartbroken that I can’t freeze time.” Jennifer Lopez

 

Jennifer Lopez juga turut menyatakan rasa kasih dan cintanya pada si kembar itu yang telah banyak mengubah dunianya sebagai ibu.

Dalam perkembangan terkini, pertunangan Jennifer Lopez dan Alex Rodriguez dikhabarkan putus pada pertengahan April selepas lebih 3 tahun menyulam percintaan.

Perpisahan itu dikaitkan dengan COVID-19 apabila mereka dilihat semakin jarang berkomunikasi sejak larangan merentas negara berkuat kuasa.

 

REJIM KECANTIKAN

Mengulas lanjut mengenai rejim kecantikannya, Jennifer Lopez berkata, “Berikan masa kepada diri anda sendiri. BIla anda nampak cantik, secara automatik anda juga rasa hebat. Bila rasa hebat pula, ia akan menjadikan anda individu atau ibu bapa yang lebih baik.

Yang pastinya tidak memerlukan khidmat dari spa untuk kelihatan cantik. Saya hanya perlu tenang dan kosongkan minda. Ada ketika, tak perlu buat apa-apa, just breathe.

Biarkan perangai anda menjadi stylist. Dari sudut stail, saya sarankan agar semua wanita berasa selesa dan seronok dengan apa yang dipakai. Life is meant to be fun!

Bergaul dengan orang yang mampu membuatkan anda ketawa. Bila saya bersama kawan-kawan, adik-beradik dan saudara-mara, kami suka lakukan perkara yang mengarut dan di luar jangkaan. Jantung anda akan terasa lebih ‘sihat’ bila ketawa.

Semua kerisauan akan terpadam begitu saja dan membuatkan wajah lebih berseri. Segala tekanan yang dialami akan membuatkan wajah anda kelihatan berusia. Lagi banyak anda ketawa, lagi muda penampilan anda.”

Last but not least, Jennifer Lopez juga menasihatkan wanita agar sentiasa peka dengan kualiti tidur. Pastikan anda menikmati tidur yang cukup iaitu lapan jam untuk kekal bertenaga, sihat, awet muda dan berseri-seri.

Share
Published by
Norzalina