Tiap kali ternampak gambar Anis Nabilah ‘singgah’ di timeline media sosial, timbul pelbagai persoalan tentang macam mana gadis kecil molek ini mampu mengekalkan tubuh langsing sebab kebanyakan orang yang terlibat dalam industri makanan ini lebih mudah naik berat badan. Tapi berbeza bagi Anis yang dikurniakan susuk tubuh perfect! Tak keterlaluan kalau Nona katakan, ia menjadi kegilaan dan dambaan ramai wanita.
Di sebalik kepetahan dan gelagat lincah Anis mengacarakan program masakan, selebriti yang mula menyinar dalam rancangan Icip-Icip ini juga sebenarnya aktif bersenam. Kalau tengok di IG miliknya, Anis selesa menjalani rutin senaman yoga untuk kesihatan diri. Nampak macam mudah tapi kalau tak pandai kawal penafasan dan tak komited, susah hendak buat rutin senaman seumpama itu.
Malah ketika bertemu cef selebriti ini suatu masa dulu, Anis mengakui dia cukup menitikberatkan diet sihat sebagai amalan harian. Walaupun nampak ‘kecil-kecil cili padi’, Anis tidak melepaskan peluang untuk mempelajari seni mempertahankan diri. Hah, patutlah boleh dapat tubuh cantik.
Meskipun senaman yoga dilihat mudah hakikatnya dalam tempoh hanya sejam sehari, seseorang itu mampu membakar 200 hingga 540 kalori. Dalam masa sama, ia meningkatkan daya tumpuan dan memperbaiki penafasan melalui pelbagai teknik senaman yang disarankan pakar kecergasan. Bahkan jika dibuat dengan betul boleh menghasilkan tenaga luar biasa kepada diri.
Berdasarkan portal Vemale, yoga turut berperanan melancarkan aliran darah yang meningkatkan sistem pencernaan sekaligus proses pembakaran lemak berjalan dengan baik. Tidak ketinggalan, dapat mengatur dan mengawal nafsu makan.
Sumber: Instagram Anis Nabilah