Dr Amalina Bakri bukan sahaja pulang ke tanah air untuk meraikan sambutan Aidilfitri, malah turut mengadakan majlis resepsi perkahwinannya bersama keluarga dan teman rapatnya di Kuala Lumpur.
Dr Amalina Che Bakri sah bergelar isteri kepada jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London pada 31 Mac 2021.
Pernikahan dengan suami tersayang, Alexander Charles akhirnya dapat dilaksanakan selepas tiga kali tertangguh berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan di United Kingdom.
Dr Amalina Bakri berkongsi keterujaan pulang ke Malaysia dan menyambut Aidilfitri bersama anaknya, Arabella Mia dan ibu tersayang, Sabariah Hassan.
Di sebalik sambutan Aidilfitri, Dr Amalina dan suami turut diraikan dalam satu majlis resepsi bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara malam tadi. Mengenakan kebaya rona pastel, Dr Amalina dan suami tampil anggun menuju ke pelamin indah sempena persandingan mereka.
Lebih istimewa, puteri mereka, Arabella Mia didukung oleh bapanya untuk sama-sama diarak dan diraikan di majlis istimewa tersebut. Majlis yang diadakan secara santai ini turut diserikan dengan ucapan istimewa dari ibu Dr Amalina, Sabariah Hassan menitipkan pesanan penuh kasih sayang buat anak dan menantu tersayang.
Sekali lagi kejelitaan Dr Amalina jelas terserlah dalam busana indah hasil rekaan Cosry. Dr Amalina turut mengenakan busana rekaan Cosry di majlis pernikahannya di London dua tahun yang lalu.
Kali ini, @syedewa ditugaskan untuk menatarias wajahnya manakala @ckay_liow menata gaya rambut Dr Amalina.
Sempena resepsi perkahwinan ini, Dr Amalina menggunakan khidmat @indahwedding untuk merealisasikan resepsi perkahwinannya yang dihias indah dengan penataan rona putih di segenap ruang pelamin.
Antara tetamu yang kelihatan menghadiri majlis resepsi tersebut termasuklah Tengku Datin Paduka Setia Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah dan suami, Dato’ Setia Aubry Rahim Mennesson, Datuk Nicol Ann David, Datin Vivy Yusof dan suami, Dato Fadza Anuar dan kenalan rapat serta keluarga Dr Amalina Bakri.
Para peminat teruja dapat melihat wajah Arabella Mia di dalam posting video tatkala pasangan ini berjalan menuju ke pelamin yang dihias indah. Malah ramai yang memuji kecomelan anak kepada pasangan ini. Nampaknya selepas ini Arabella Mia boleh berbangga foto dirinya turut berada dalam foto perkahwinan ibu dan bapanya!