Nita Ambani bukan hanya mendiami bangunan setinggi 27 tingkat yang dianggarkan menelan kos USD1 bilion bahkan kediaman yang dinamakan Antilia sempena nama pulau mitos Laut Atlantik yang terletak di Mumbai, India ini juga dikhabarkan antara hartanah termahal di dunia selepas Istana Buckingham.
Singgahsana mewah milik pasangan terkaya India, Mukesh Ambani dan Nita Ambani ini turut dilengkapi dengan beberapa kolam renang, dewan, taman seluas tiga tingkat, tempat letak kenderaan enam tingkat, tiga helipad dan memerlukan seramai 600 pekerja untuk menguruskan kediaman tersebut. Lebih mengagumkan, Antilia juga mampu menahan gegaran gempa bumi berskala 8 magnitud.
Kekayaan luar biasa keluarga Ambani kian menjadi bualan sejak berlangsungnya majlis perkahwinan anak perempuan mereka, Isha Ambani pada awal Disember tahun lalu yang menelan belanja hampir USD15 juta dengan pewaris empayar hartanah dan pharmaseutikal ternama India, Anand Piramal. Isha merupakan kembar kepada Akash Ambani berusia 28 tahun dan kakak kepada Anant Ambani yang kini berumur 24 tahun.
Perkahwinan gilang-gemilang itu bukan hanya dihadiri selebriti terkemuka India seperti Shah Rukh Khan, Priyanka Chopra, Nick Jonas, Aisywarya Rai.. tetapi juga tokoh politik antarabangsa termasuk Hillary Clinton. Tidak cukup dengan itu, satu konsert khas turut diadakan yang menampilkan penyanyi terkenal dunia, Beyonce!
Pernah mendapat gelaran ‘The first lady of Indian business’ dari Forbes pada 2016, Nita Ambani nyata bukan calang-calang wanita. Dia merupakan graduan Ekonomi yang kini bergelar pengerusi Reliance Foundation iaitu sebuah yayasan kebajikan yang membantu golongan dan kanak-kanak miskin dari segi kewangan dan pendidikan.
Selain itu, wanita berusia 56 tahun tersebut juga adalah pemilik kelab kriket India yang turut terlibat dalam urusan strategi pemasaran dan penjenamaan, Reliance Jio Infocomm.
Mengikuti laman media sosial Nita, ibu kepada tiga orang anak ini dilihat tidak kekok turun padang bertemu golongan susah dan menghulurkan sumbangan kepada mereka di samping membuat lawatan ke sekolah pedalaman untuk membantu para pelajar kurang bernasib baik.
Suaminya, Mukesh Ambani diiktiraf Bloomberg Billionaires Index sebagai Lelaki Terkaya Di Asia mengatasi pengasas Alibaba, Jack Ma pada Julai tahun lalu dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah USD42.7 bilion.
Sumber: Business Insider
Kredit: Instagram Nita Ambani
Ada 4 Anak & 3 Cucu, Cantiknya Isteri Datuk Seri Hishammuddin!
Sebut sahaja Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pasti ramai yang mengenali figura politik terkenal tanah air ini. Nama beliau bukan lagi asing dalam arena politik negara bahkan sepanjang hampir 30 tahun pembabitannya, Datuk Seri Hishammuddin pernah memegang pelbagai portfolio dalam barisan menteri kabinet Malaysia.
Antaranya beliau pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Pertahanan (2013-2018), Menteri Dalam Negeri (2009), Menteri Pelajaran (2004-2009), Menteri Belia dan Sukan (1999), dan Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada tahun 1997.
Tahun ini nama Datuk Seri Hishammuddin sekali lagi menjadi bualan apabila beliau menerima pelantikan sebagai Menteri Luar Negeri pada 10 Mac lepas.
Di sebalik kejayaan Ahli Parlimen Sembrong ini ada wanita hebat bergelar isteri yang sentiasa menyokong di belakangnya. Setia menemani suami tersayang ke mana sahaja, kejelitaan yang dimiliki Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah ini benar-benar mencuri tumpuan ramai.
Dengan raut wajah manis penuh kelembutan ditambah pula gaya elegannya, pasti ramai yang tidak menyangka beliau adalah ibu kepada empat cahaya mata. Apatah lagi Datuk Seri Hishammuddin dan Tengku Datin Seri Marsilla tampak cukup romantis meskipun sudah hampir 34 tahun hidup bersama!
Mengintai laman media sosial milik Datuk Seri Hishammuddin, selain berkongsi aktiviti dan tugas rasmi bersama rakyat, ahli politik ini juga tidak ketinggalan memuatnaik gambar di samping isteri dan keluarga tersayang. Daripada apa yang dikongsikan beliau, jelas terserlah ikatan kekeluargaan yang kuat di antara mereka biarpun anak-anak makin meningkat usia dan sudah berkeluarga.
Datuk Seri Hishammuddin merupakan anak kepada Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn yang dilahirkan pada 5 Ogos 1961. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah pada tahun 1986 iaitu tiga tahun sebelum beliau menceburkan diri dalam bidang politik.
Menelusuri latar belakang Tengku Datin Seri Marsilla, beliau ialah anak kepada Almarhum Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Tan Sri Abdullah Sultan Abu Bakar. Bapanya, Almarhum Tengku Arif Bendahara ialah adinda Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Hasil perkongsian hidup selama lebih tiga dekad, Datuk Seri Hishammuddin dan Tengku Datin Seri Marsilla dikurniakan empat anak iaitu Nasha Alyssa (31 tahun), Farris Hussein (27 tahun), Kyra Ariana (23 tahun) dan Fahd Hussein berusia 22 tahun. Anak sulung mereka, Nasha Alyssa berkahwin dengan anak kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan Tengku Datin Seri Zawyah iaitu Muhd Anas Zawawi yang kini dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Ini bermakna Datuk Seri Hishammuddin dan isteri sudah pun mempunyai 3 orang cucu. Ketiga-tiga cucu comel mereka ialah Ayden, Adryan dan Nasha Alayna. Walau anak dah besar panjang dan sudah bercucu tapi Datuk Seri Hishammuddin dan Tengku Datin Seri Marsilla masih kelihatan awet muda. Bahkan mereka juga kerap keluar beriadah dan meluangkan masa berdua-duaan. Memang romantik!
Moga rumah tangga Datuk Seri Hishammuddin dan isteri tercinta diberkati Allah SWT dan berkekalan hingga ke syurga.
Mahu Hidup Sederhana, KAK TON Jual Banglo 17 Bilik Sebab Selesa Duduk Rumah Kecil!
Tergamam tengok banglo mewah milik usahawan kosmetik terkenal, Dr Zaiton Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ton. Menerusi perkongsian video house tour bersama anak perempuannya, Nadia Annuar baru-baru ini pengasas White Pearl berkenaan meluahkan hasrat ingin menjual kediaman mewah tersebut.
Ujar Kak Ton, dia mahu berpindah ke rumah yang lebih kecil memandangkan mudah diurus selain kerana kelima-lima anak-anaknya sudah pun memiliki rumah sendiri dan berkeluarga. Difahamkan, sebelum rumah yang diimpikan selama ini siap dibina, Kak Ton sudah membeli rumah untuk setiap seorang anaknya dan berada berdekatan satu masa lain.
Meskipun tidak menyatakan harga jualan sebenar rumah tersebut, namun kediaman elit tiga tingkat yang terletak di Shah Alam, Selangor ini dianggarkan mencecah jutaan ringgit. Lebih menguntungkan, pembelian banglo ini juga fully furnished! Segala perkakasan, perabot dan hiasan yang ada di dalamnya sudah tersedia dan masih berada dalam keadaan baik serta baharu. Memang untung siapa yang beli nanti.
Menjawab kenyataan peminat yang meluahkan rasa bahagia dapat tinggal di rumah besar seumpama itu, Kak Ton lantas berkata, “Tak ada beza sebenarnya, bahagia bukan bersandarkan betapa besar sesebuah rumah. Jangan jealous dengan orang yang ada rumah besar. Sebab ada rumah kecil lagi senang jumpa anak-anak.
Memang dari dulu saya mahu ada rumah impian seperti ini. Tapi bila dah ada, dah siap… sama saja sebenarnya. Dan saya rasa duduk di rumah kecil (seperti rumah yang pernah didiami di Seksyen 18) lagi bahagia.”
Teringat balik pengakuan Nadia Annuar waktu Nona menemu ramah ibu dan anak ini sekitar dua tahun lalu. Dedah hos TV ini, “Mummy baru dua tahun kebelakangan ini pindah ke rumah besar. Walau dia dah berjaya lama daripada tempoh itu tapi masih memilih untuk tinggal di rumah flat yang kami duduk dari zaman kecil dulu kerana keselesaan yang dia rasa biarpun tinggal di rumah flat.
Mummy kata bila tinggal di rumah besar dia rasa sunyi. Padahal masa saya kecil, saya ingat lagi mummy pasang cita-cita nak beli rumah besar. Biar anak-anak dapat duduk sekali. Alhamdulillah impian mummy tercapai.”
Rumah impian Kak Ton ini bukan calang-calang. Tidak hanya dilengkapi dengan lif, ia juga mempunyai 17 bilik termasuk 10 bilik tidur yang setiap satu mempunyai bilik mandi serta tujuh bilik serbaguna. Tidak cukup itu, terdapat beberapa ruang yang dijadikan bilik surau, gimnasium, kolam renang tertutup, ruang tamu istirahat dan bilik pawagam yang dilengkapi sistem audio canggih seperti di panggung wayang. Kediaman mewah ini juga mempunyai permandangan indah Masjid Shah Alam!
Itu belum lagi termasuk set pinggan mangkuk berjenama mewah Royal Albert, meja makan 14 tempat duduk yang ditempah khas, peralatan seperti peti sejuk yang ditempah dari London dan sebagainya. Kata Kak Ton, dia tidak akan membawa barangan ini untuk pindah ke kediaman baru kelak. Sebaliknya, ia termasuk dalam jualan rumah berkenaan.
Mengimbas kembali pembabitan Kak Ton sebagai usahawan kosmetik, dia mengakui antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 19 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.
“Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’.
Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT. Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.”
Semoga kecekalan Kak Ton berjaya dalam perniagaan dan kehidupan menjadi sumber kekuatan buat golongan wanita.
Kredit foto: Instagram Kak Ton & Nadia Annuar
Kenangan Haji 2 Tahun Lalu, DATIN FOUZIAH GOUS Tinggalkan Anak Baru Dibedah Demi Ibadah!
Setiap kali menjelang Zulhijjah dan Aidiladha pasti memori mengerjakan ibadah haji tahun 2018 memberi kesan kepada selebriti cantik, Datin Hajah Fouziah Gous. Mana tidaknya, waktu itulah dia dan suami benar-benar diuji untuk memilih sama ada mahu terus berada di samping anak tersayang ataupun berserah kepada Allah Taala dan menunaikan haji. Biarpun suasana haji tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya disebabkan Covid-19… namun ia bukan penghalang buat umat Islam seluruh dunia untuk terus beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Esa.
Mengimbas kembali kenangan sehari sebelum berangkat ke tanah suci, pasangan romantis ini diduga dengan keadaan kesihatan anak bongsu mereka iaitu Zaheen Yusuf. Dalam keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Datin Hajah Fouziah Gous dan suami, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof terpaksa meninggalkan Zaheen di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bukan kerana tidak sayangkan anak… sebaliknya mereka yakin urusan ‘jemputan ke rumah Allah’ waktu itu lebih penting daripada segala-galanya. Malah, mereka tetap percaya ia adalah keputusan terbaik waktu itu.
Menyerahkan hidup dan mati serta nasib keluarganya kepada Allah Yang Maha Esa, Datin Hajah Fouziah dan suami selamat tiba di Tanah Suci pada saat-saat akhir selepas berdepan pelbagai halangan. Mengakui lebih selesa disapa Hajah kerana mahu menghargai kesukaran yang dilalui untuk mendapatkan ‘gelaran’ tersebut, penampilan usahawan berusia 37 tahun ini tampak lebih manis sejak dia memutuskan untuk berhijab kira-kira dua tahun lalu.
Menyimpan kemas semua pengalaman pahit dan manis sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu pada Ogos 2018, Datin Hajah Fouziah terbuka membuat pendedahan eksklusif kepada Nona.
“Dua hari sebelum pergi haji anak saya, Zaheen Yusof tak sihat. Bawa pergi ke klinik dan check tapi tak demam pula. Malam tu lepas balik dari klinik saya jadi nervous bila tengok pampers dia ada darah. Bagi minum air atau susu, dia muntah. Call doktor tapi esok pagi baru doktor akan datang untuk periksa usus anak kami. Memang saya tak tidur langsung sampai ke pagi. Keesokan hari, doktor buat ultrasound. Setelah puas diperiksa, doktor kata semuanya ok dan tak jumpa apa-apa yang meragukan.
Kebetulan masa doktor suruh balik ke wad, Zaheen menjerit. Reaksi sama yang saya nampak bila dia rasa sakit. Terus doktor buat ultrasound dan nampak usus besar dan kecil dia tersangkut jadi kena dibedah. Memang besar dugaan Allah bagi tapi saya bersyukur sebab kebetulan waktu itu ada pakar bedah kanak-kanak yang bertugas dan boleh terus buat operation pada hari sama pukul 5 petang. Sampai Maghrib kami tunggu, tapi anak tak keluar lagi dari bilik pembedahan. Jujurnya, kami suami isteri dah mula tak tentu arah. Segala baju dan kelengkapan haji pun kami tak sempat buat apa-apa lagi.
Ikutkan esok dah nak pergi haji dan kumpulan kami kena berkumpul di KLIA pukul 4 pagi untuk transit di Filipina sebelum bertolak ke Mekah. Tapi sebab anak kena pembedahan kecemasan ni, kami tak jadi ikut kumpulan jemaah seramai 36 orang tu. Walaupun risau dengan keadaan anak, sedikit pun tak timbul niat untuk batalkan hasrat pergi haji. Jadi, sementara tunggu anak keluar dari operation theatre suami sempat beli tiket penerbangan ke Filipina yang dijangka bertolak waktu Subuh.”
Dugaan ibu dua anak ini tidak hanya terhenti di situ. Sebaik mengetahui pembedahan berjalan lancar namun Zaheen terpaksa diletakkan di ICU kerana keadaan dirinya yang masih kecil dan belum sedarkan diri. Waktu menatap wajah anak kecilnya itulah Datin Hajah Fouziah teringat perbualan mereka suami isteri yang secara tak sengaja mengkaji situasi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehari sebelum dijadual berangkat ke Tanah Suci. Sungguh, ia seolah-olah menggambarkan perkara sama yang sedang dilalui mereka suami isteri pada saat itu.
“Seperti mana Nabi Ibrahim meletakkan Allah dahulu daripada anak kandungnya sendiri, seperti itu jugalah yang harus kami lakukan. Setelah bertanya kepada ustaz, semua ini adalah dugaan dan kena percaya kepada Allah. Sebab itu kami memutuskan untuk pergi mengerjakan haji walau apa cara sekalipun. Saya rasa Allah betul-betul bagi satu kekuatan yang luar biasa. Kami masing-masing macam tahu tanggungjawab nak pergi haji. Walhal bila saya ada di pejabat pun, saya akan tetap bawa anak sebab tak mampu berenggang dengan mereka.
Tengah malam lepas selesai packing baju semua, kami datang balik ke hospital nak tengok Zaheen tapi dia masih belum buka mata lagi. I try to be strong. Balik rumah, memang tak boleh tidur. Subuh tu, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Filipina. Apa yang boleh saya katakan, bila kita tahu maksud reda yang sebenar, apa saja yang berlaku bukan lagi benda besar.
Dah sampai Filipina kami akhirnya dapat bertemu dengan kumpulan jemaah kami. Mereka sedang tunggu di dalam bas sebab penerbangan kami ditunda. Lepas makan, kami balik semula ke airport sebab waktu penerbangan dalam pukul 12 tengah malam.
Bayangkan keadaan kami suami isteri yang dua hari tak tidur. Memang lesu. Walaupun flight ditunda tapi Alhamdulilah, saya dapat facetime.. chat dengan anak. Ada hikmah tersendiri yang susah nak diungkapkan. Saya percaya Allah bagi benda yang Dia dah rancang yang terbaik untuk kita.”
Ujian datang menimpa lagi ketika mereka dijadual berlepas ke Mekah. Sebaik saja semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, kami kemudian diarahkan keluar atas sebab teknikal. Berbekalkan beg bimbit yang hanya membawa Al-Quran dan telekung serta persalinan yang dipakainya, Datin Hajah Fouziah dan kumpulan jemaah ditempatkan di sebuah hotel di Manila buat sementara waktu. Diam tak diam, mereka terkandas di Filipina selama tiga hari dua malam.
“Masa tu 15 hari bulan Ogos.. ikutkan 17 hari bulan dah tak boleh masuk Mekah sebab dah nak wukuf. Nasib baik kami naik Saudia Airlines dan diberi keistimewaan kerajaan Arab Saudi, jadi tak terlepas wukuf. Kelebihan Allah nak bagi, saya dapat tidur puas-puas. Daripada nak buat haji tamattu.. dapat pula buat haji ifrad. Walaupun makanan, hotel dan segala keperluan kami sepanjang terkandas tu sangat best dan hebat tapi selagi tak dapat pergi Mekah, rasa kosong. Kalau tengok sudut positif pula ketika terkandas ni, saya dapat communicate dengan anak-anak saya very well. Alhamdulillah.
Sampai je malam tu kami semua terus ke Arafah. Masa dekat Muzdalifah, Arafah dan Mina pun kami terkandas. Dengan pakai baju yang sama lagi.. tapi syukur, akhirnya kami dapat mengerjakan haji dengan baik walau berdepan dengan macam-macam dugaan. Bila dikenang kembali semua kenangan ini, saya dapat rasa betapa besarnya cabaran dan
sukarnya to get my ‘Hajah’,” akhirinya.
Alhamdulillah, kini Zaheen sudah pun berusia dua tahun dan abangnya Muhammad Zeeshan, empat tahun. Dari apa yang dikongsikan Datin Hajah Fouziah, jelas menunjukkan betapa besar ‘kuasa’ yakin terhadap Allah SWT. Andai kita reda dengan ketentuanNya, yakinlah Dia ada perancangan yang lebih hebat. Moga impian kita semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti dimakbulkan. InshaAllah.