Kediaman 27 Tingkat Bernilai USD1 Billion, NITA AMBANI Pemilik RUMAH TERMAHAL DUNIA!

Terpaku tengok kediaman serba mewah dan eksklusif di India ini. Nita Ambani bukan hanya mendiami bangunan setinggi 27 tingkat yang dianggarkan menelan kos USD1 billion bahkan kediaman yang dinamakan Antilia sempena nama pulau mitos Laut Atlantik yang terletak di Mumbai, India ini juga dikhabarkan antara hartanah termahal di dunia selepas Istana Buckingham.

Singgahsana mewah milik pasangan terkaya India, Mukesh Ambani dan Nita Ambani tersebut turut dilengkapi dengan beberapa kolam renang, dewan, taman seluas tiga tingkat, tempat letak kenderaan enam tingkat, tiga helipad dan memerlukan seramai 600 pekerja untuk menguruskan kediaman berkenaan. Mukesh dilaporkan membeli tanah untuk membina Antilia sejak tahun 2002 dan mengambil masa selama tujuh tahun untuk membina rumah idamannya. Lebih mengagumkan, Antilia mampu menahan gegaran gempa bumi sehingga 8 skala Richter!

Kekayaan luar biasa keluarga Ambani menjadi bualan hangat bukan hanya dalam kalangan masyarakat India bahkan penduduk dunia sejak berita majlis perkahwinan anak perempuan mereka, Isha Ambani kira-kira dua tahun lalu bertebaran di Internet. Mana tidaknya, dianggarkan perkahwinan Isha dengan pewaris empayar hartanah dan farmaseutikal ternama India iaitu Anand Piramal berkenaan menelan belanja hampir USD15 juta!

Anak gadis kesayangan Nita dan Mukesh itu juga merupakan kembar kepada Akash Ambani berusia 29 tahun dan kakak kepada Anant Ambani yang kini berumur 25 tahun.

Perkahwinan gilang-gemilang itu bukan hanya dihadiri selebriti terkemuka India seperti Shah Rukh Khan, Priyanka Chopra, Nick Jonas dan Aisywarya Rai tetapi juga diserikan dengan kehadiran tokoh politik antarabangsa termasuk Hillary Clinton. Tidak cukup dengan itu, satu konsert khas turut diadakan yang menampilkan penyanyi terkenal dunia, Beyonce!

Anak perempuan Nita, Isha Ambani

Ternyata isteri kepada lelaki terkaya India dan Asia ini bukan calang-calang wanita. Nita Ambani sebelum ini pernah mendapat gelaran ‘The First Lady of Indian Business’ dari Forbes pada tahun 2016.

Tidak bergantung kepada kekayaan suami semata-mata, ibu hebat ini mempunyai latar belakang pendidikan membanggakan dan merupakan graduan bidang Ekonomi yang kini menyandang jawatan Pengerusi Reliance Foundation, sebuah yayasan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin termasuk kanak-kanak khususnya dari segi kewangan serta pendidikan.

Selain itu, wanita berusia 57 tahun ini juga adalah pemilik kelab kriket India yang turut terlibat dalam urusan strategi pemasaran dan penjenamaan, Reliance Jio Infocomm. Berdasarkan laporan media India, ibu kepada tiga orang anak ini tidak kekok turun padang bertemu golongan susah dan menghulurkan sumbangan di samping membuat lawatan ke sekolah pedalaman untuk membantu para pelajar kurang bernasib baik.

Suaminya, Mukesh Ambani diiktiraf Bloomberg Billionaires Index sebagai Lelaki Terkaya Di Asia mengatasi pengasas Alibaba, Jack Ma pada Julai 2018 dengan nilai kekayaan dianggarkan mencecah USD42.7 bilion.

Sumber: Business Insider

Share
Published by
Suzi