Dalam setiap rezeki kita sudah tertulis ada rezeki orang lain. Berkongsi rezeki adalah suatu perbuatan yang mulia dan dijanjikan tidak akan jatuh miskin kalau selalu bersedekah. Malah orang yang rajin berbagi rezeki ini sentiasa dimurahkan rezeki oleh Sang Pencipta.
Terharu melihat hasil usaha pelakon, Datin Seri Umie Aida apabila melancarkan gerakan membantu mereka yang terkesan akibat lockdown. Sehari sebelum lockdown Datin Seri Umie telah megeluarkan kenyataan di laman media sosialnya untuk membantu mereka yang terkesan.
“Jika ada di antara kawan-kawan yang tak ada pendapatan dan kehabisan stok makanan di rumah kerana TOTAL LOCKDOWN ini untuk tampung keluarga, janganlah biarkan anak-anak anda tidur dalam keadaan berlapar.
Insya Allah ada bahagian anda dalam rezeki saya walaupun hanya sekadar 1 hidangan makan. Sama-sama kita bersatu membantu kepada yang memerlukan bantuan disaat ini,” tulis Datin Seri Umie.
Nampaknya usaha murni Datin Seri Umie mendapat sambutan yang luar biasa. Mengikut laporan Harian Metro, ramai yang turut sama berkongsi rezeki termasuk Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut laporan tersebut, seramai 200 individu yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 sudah menerima bantuan bernilai RM50 untuk membeli barangan keperluan asas. 200 individu ini menerima sumbangan kecil hasil wang simpanan Datin Seri Umie sendiri.
Syukur kerana masih ada lagi insan yang berhati mulia seperti adik kepada Erma Fatima ini. Datin Seri Umie juga tidak lupa membantu golongan pengiat seni yang terjejas dan hilang mata pencarian.