Keikhlasan Menjaga Gadis Islam Sejak Kecil, LAOSHI Terima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H

Keikhlasan seorang wanita warga emas, Chee Hoi Lan, 83 tahun atau mesra digelar Laoshi yang sudi menjaga Rohana Abdullah yang beragama Islam sejak kecil membuatkan dirinya dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, bagi kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.

Kredit Foto: Harian Metro

Biar berbeza budaya dan agama, Laoshi yang juga pesara guru tadika dengan rela hati tanpa berkira serta kasih sayang yang tinggi memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi bagai menatang minyak yang penuh. Laoshi juga sanggup menyediakan wang belanja untuk Rohana mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

“Dua puluh dua tahun lalu, dia ditinggalkan di tadika kerana ibunya terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia.

Ketika itu, usia Rohana Abdullah baru sahaja dua bulan namun kerana kemurnian hati seorang wanita berbangsa Cina, dia dijaga seperti anak sendiri sehinggalah sekarang.

Wanita itu, Chee Hoi Lan, 83, adalah guru tadika di mana ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan dan mengenangkan nasib bayi terbabit, dia mengambil keputusan menjaganya seperti anak sendiri.

Hoi Lan berkata, dia sedar isu perbezaan agama akan menjadi masalah dan kerana itu, dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana, 22, menggunakan wangnya sendiri termasuk menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Selain itu, Rohana juga dipastikan belajar perkara asas mengenai Islam menerusi pengajian langsung di sekolah dan didikan daripada kenalannya.

“Saya sayangkan dia seperti anak sendiri. Sejak kecil, saya pastikan dia makan makanan halal dan melakukan ibadat sebagai seorang Muslim sehinggalah hari ini.

“Cuma sebelum saya mati, saya mahu lihat dia berkahwin, bekerjaya dan bahagia. Saya lega kerana selama hayat saya, saya pastikan dia terjaga sebagai seorang Muslim, dia akan kekal begitu sampai bila-bila,” katanya ketika membuat aduan mengenai Rohana yang tidak memiliki kewarganegaraan kepada Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim, kelmarin.

Hoi Lan yang tidak berkahwin berkata, selama ini Rohana tinggal bersamanya di sebuah kawasan perumahan di ibu negara dan sehingga hari ini, dia memastikan ‘anaknya’ itu meneruskan hidup sebagai seorang Muslim.

Laoshi terpilih menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Kisah pengorbanan Laoshi menjaga Rohana pernah viral suatu ketika dahulu sehingga ramai yang mengagumi tindakan warga emas itu menjaga keperluan Rohana dan memastikan anak angkatnya itu menerima segala yang diperlukan dalam mempelajari agama Islam.

Sementara itu, selebriti, Syazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina dipilih antara penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan.

Tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diumumkan penerima Anugerah Perdana, manakala Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Prof Datuk Dr Azizan Baharudin menerima anugerah bagi Ikon Sains dan Peradaban.

Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9, Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam); Pengasas Kumpulan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam) dan pakar kaunseling, Hushim Salleh (Ikon Kaunselor dan Motivasi).

(Sumber: FB Ipoh Ipoh Ajer Original & Harian Metro)

Share
Published by
Wan Firdaus