Sudah agak lama kelibat Deja Moss tidak muncul di kaca televisyen. Pernah melonjak puncak populariti menerusi lagu popularnya, Asmara Ini… penyanyi bersuara lunak tersebut kini rupa-rupanya sedang aktif menyertai kerja amal dengan membantu golongan ibu tunggal dan anak yatim. Biarpun sibuk dengan aktiviti murni itu namun minat Deja dalam bidang nyanyian masih menebal dan baru-baru ini dia tampil dengan single terbaharunya, Menepis Rawan.
Masih ramah melayan rakan media dan petah berbicara, Deja Moss yang anggun mengenakan jubah dan seledang hitam tampak menawan meskipun dengan solekan nipis. Saat ditanya mengenai perkembangan terbarunya, penyanyi yang berasal dari Sarawak ini dalam nada ceria mengungkap kata.
“Saya sekarang sebenarnya buat projek amal Kek Lapis Deja Moss dengan Rumah Anak Yatim Teratak Che Dah (TDK). Ia bertujuan untuk membiayai perbelanjaan anak-anak Yatim sebab di sana mereka memerlukan 18 ke 20 ribu ringgit setiap bulan. Jadi jualan yang saya dapat ni sebahagian daripadanya akan diberikan kepada mereka. Dan kalau dapat jualan lebih banyak, kita akan berikan kepada rumah anak-anak yatim lain pula… inshaAllah.”
Suka dengan aura positif dan semangat Deja Moss membantu anak-anak kurang bernasib baik. Iyalah, hidup ini umpama roda. Ada kala kita di atas dan ada masa pula di bawah. Sementara ada rezeki dan kesempatan, apa salahnya meringankan beban kanak-kanak ini. Sekurang-kurangnya ada bekalan akhirat yang boleh dibawa nanti.
Di samping aktif menghulurkan bantuan kepada anak yatim, Deja turut terpanggil untuk menolong kaum wanita yang hilang tempat bergantung. “Saya juga ada mengajar ibu tunggal untuk buat kek lapis dan mereka adalah ibu-ibu tunggal asnaf. Memang niat saya mahu turunkan resipi dan ilmu kepada mereka yang memerlukan supaya ibu tunggal ini dapat jana pendapatan mereka sendiri setiap bulan.
Saya kira ini adalah antara charity yang mampu saya buat dan mohon agar masyarakat menyokong usaha murni saya ini. Bagi saya, ia satu cara yang dapat saya buat untuk menyumbangkan sesuatu kepada komuniti.
Tak kisah berapa banyak sekalipun anda ingin menderma, seringgit ke sepuluh ringgit ke… boleh sumbangkan ke akaun bank atau hubungi nombor yang tertera di akaun Facebook Kek Lapis Sarawak Deja Moss. Kiranya, membeli sambil beramal,” tuturnya lembut.
Mengakui tidak terlintas niat untuk meninggalkan dunia seni, Deja dalam pada itu memaklumkan single Menepis Rawan adalah buah tangan terbaharunya untuk para peminat. “Saya dah release single terbaru dan ia menggambarkan kisah hidup saya yang ditulis Fedtri Yahya dan komposer, Asfan. Menepis rawan berkisarkan tentang kehidupan sedih saya yang dulu. Tapi alhamdulillah sekarang saya dah bahagia. Menariknya lirik ini, ia sangat dekat dengan diri saya,” kongsi Deja Moss sambil tersenyum.