Selebriti cantik, Noor Neelofa Mohd Noor sememangnya layak diangkat sebagai ikon dan sumber inspirasi golongan muda hari ini. Selepas mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang seni dan perniagaan, kali ini Neelofa terus melakar sejarah dengan menubuhkan badan kebajikan pertamanya dikenali sebagai Pertubuhan Kasih Neelofa. Syabas dan tahniah Neelofa! Walau sudah berada di puncak kerjaya, tetap tidak lupa membantu dan berbahagi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik.
Menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa ini, ia pastinya menjadi platform terbaik bagi anak kelahiran Kelantan ini untuk bergiat aktif dalam aktiviti amal secara menyeluruh. Ujar Neelofa, “Sejujurnya, saya telah lama berhajat untuk membangunkan sebuah pertubuhan demi membantu golongan yang memerlukan. Namun, saya tidak mahu ia berjalan tanpa melibatkan saya secara keseluruhan. Saya mahu memberi fokus seratus peratus dan benar-benar mendalami masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
Sebagai contoh, jika saya terlihat seseorang yang memerlukan bantuan di Twitter, saya akan cuba mendekati individu tersebut dan terus berhubung dengannya. Saya mahukan
pendekatan seperti itu.”
Istimewanya, Pertubuhan Kasih Neelofa merangkumi tiga teras utama iaitu Keagamaan, Kemasyarakatan dan Bantuan untuk Golongan Kurang Bernasib Baik. Tambah usahawan Naelofar ini lagi, dengan adanya perancangan sedemikian tiada sesiapa pun yang ketinggalan dan akan terus berusaha menyampaikan bantuan kepada setiap lapisan masyarakat terlibat.
“Teras keagamaan meliputi apa sahaja aktiviti seperti program keilmuan dan program keagamaan. Sementara itu, untuk teras kemasyarakatan pula kami akan cuba mendekati
komuniti dengan melaksanakan program-program bersama tenaga kerja Pertubuhan Kasih Neelofa dan para sukarelawan.
Bagi teras bantuan untuk golongan kurang bernasib baik, kami memfokuskan kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.
Kami akan cuba mendekati golongan ini dengan lebih rapat, mendengar keluhan dan masalah mereka, kemudian cuba menyelesaikan atau meringankan beban melalui bentuk sumbangan atau penganjuran aktiviti-aktiviti amal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Syarikat Kasih Neelofa Resources turut ditubuhkan sebagai sebuah entiti yang berfungsi untuk menjana pendapatan bagi menggerakan Pertubuhan Kasih Neelofa. “Kasih Neelofa Resources merupakan sebuah medium yang menjual pelbagai item untuk pengguna dan keuntungan daripada hasil jualan akan disalurkan sepenuhnya ke dalam tabung pertubuhan.
Selain itu, inisiatif ini juga dapat memberi galakan kepada mereka di luar sana yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang dan membantu golongan sasaran.”
Pertubuhan Kasih Neelofa turut diterajui bersama ibu Neelofa iaitu Datin Noor Kartini, ibu saudaranya dan Ustaz Azam. Sempena ketibaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,
Qurban Kasih Neelofa menjadi aktiviti pertama yang akan dilancarkan di bawah Pertubuhan Kasih Neelofa.
Ia memberi peluang kepada individu yang ingin melaksanakan ibadah korban dengan mudah di samping memberi ilmu pengetahuan kepada ramai orang yang mungkin tidak tahu mengenai proses pelaksanaan ibadah korban secara berhemah dan betul.
“Banyak aktiviti lain yang dirangka pihak Pertubuhan Kasih Neelofa. Tetapi, kami akan umumkan satu persatu pada masa akan datang. Bukan mudah untuk menguruskan pertubuhan, lebih-lebih lagi yang melibatkan wang kebajikan dan derma daripada orang ramai. Ia merupakan satu amanah yang sangat besar. Saya berharap agar orang awam memberikan kepercayaan kepada saya selain dapat bersama-sama menjadikan Pertubuhan Kasih Neelofa ini sebagai platform untuk semua.”
Moga usaha murni Neelofa dapat menghidupkan semangat dan jiwa penyayang dalam kalangan masyarakat di samping membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa, pangkat dan perbezaan agama.
Sesuatu yang menarik di sini.