Sekalung tahniah buat jaguh skuasy negara, Nicol David yang kini dikurniakan gelaran Datuk. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada jaguh dan lagenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.
Beliau sememangnya layak diangkat sebagai ikon! Jika dihitung pencapaian Datuk Nicol memang tidak terkira banyaknya.
Datuk Nicol berusia 38 tahun merupakan antara 12 penerima PJN pada sesi kedua istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mendahului senarai penerima bagi istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali yang turut dikurniakan Panglima Jasa Negara.
Istiadat berlangsung dalam norma baharu susulan wabak Covid-19 dengan tetamu yang hadir perlu memakai pelitup muka, disaring suhu badan dan mengimbas kod MySejahtera di balai keselamatan Istana Negara.
Mengimbas kembali kejayaan Datuk Nicol, beliau merangkul gelaran Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada Februari lalu. Datuk Nicol juga berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia seawal usia 15 tahun.
Sepanjang pembabitannya sebagai atlet skuasy, Datuk Nicol meraih gelaran Juara Dunia sebanyak 8 kali dan mengumumkan persaraan pada tahun 2019.
Bina Keluarga Bahagia ‘Tiru’ Acuan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Dan Ustaz Wan Akashah
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Isteri Sibuk Uruskan Bisnes, Suami Sediakan Pembantu Rumah. 10 Tahun Hidup Bersama, Pasangan Ini Tetap Bahagia
Siapa kata berkahwin pada usia muda tak menjamin masa depan. Kalau dipandang dari sudut positif, pasangan dapat merancang masa depan keluarga lebih awal seterusnya menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab dan matang.
YM Tengku Norhanim Tengku Othman dan suami, Faiz Hussamuddin berjaya membuktikan berkahwin pada usia muda banyak hikmahnya. Apa yang penting masing-masing perlu saling menghormati dan sabar dalam melayari bahtera rumantangga.
“Saya dan suami kenal dalam masa yang singkat. Kami berkahwin pada tahun 2012. Waktu itu saya masih menuntut di universiti dan suami pula baru tamat pengajian Diploma. Selepas berkahwin bermulah fasa mengenali hati budi masing-masing. Bergaduh dan salah faham perkara biasa dalam proses mengenali.
Maklumlah semasa bercinta lain, selepas berkahwin lain pula kisahnya. Tetapi kami cuba elak bermasam muka lebih daripada satu hari. Alhamdulillah walaupun kahwin muda, perkahwinan kami masih bertahan dan bahagia. Tahun ini genaplah 10 tahun usia perkahwinan kami,” kongsi Tengku Hanim.
Tak dinafikan kahwin muda banyak dugaannya. Masing-masing ada ego tetapi suami mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Ketenangan itulah yang menyejukkan jiwa saya. Kalau saya ada buat silap suamilah teman paling rapat. Saya seorang yang mudah menerima teguran positif. Saya juga tak pernah menyesal atau merungut dengan kehidupan kami kerana masing-masing saling melengkapi.
Selain bertolak ansur kami juga saling mempercayai dan jujur dalam perhubungan. Itulah salah satu rahsia kebahagiaan rumahtangga kami. Jika berselisih faham biasanya kami akan tunggu keadaan kembali reda kemudian barulah berbincang secara berhemah,” ungkap anak jati Kelantan berusia 30 tahun ini yang merupakan ibu 2 anak.
SUAMI PENYAYANG & SUKA BERGURAU
“Walaupun cerewet, suami seorang yang sangat penyayang. Sikap suami yang suka berjenaka dan bergurau senda menjadi ‘penambah rasa’ dalam rumahtangga kami. Bagi saya untuk kekal bahagia, seorang suami perlu tahu apa kekuatan dalam rumahtangga.
Selain itu, saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat faham dengan kesibukan saya sebagai usahawan. Contohnya kalau saya tak sempat memasak, suami tak pernah memaksa. Sebaliknya, suami menyediakan pembantu rumah bagi meringankan beban saya.
PENTINGKAN DIDIKAN ANAK-ANAK
Sesibuk mana pun, Hanim dan suami tetap akan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Justeru, dengan memilih perniagaan sebagai fokus utama adalah sangat tepat. Setidak-tidaknya dapatlah mereka memanfaatkan masa yang lebih fleksibel bersama keluarga.
“Saya dan suami sangat mementingkan pendidikan anak-anak sejak mereka kecil. Contohnya, ketika Adelea berusia 4 tahun kami hantar ke playschool. Setelah usianya 5 tahun kami dedahkan Adelea lebih kepada pendidikan. Kami juga tak akan memaksa anak-anak untuk bergelar usahawan suatu hari nanti. Terserah kepada minat mereka. Namun, saya dan suami sentiasa memberi bimbingan agar mereka menjadi orang berjaya di dunia dan akhirat.
Saya mengambil inspirasi bagaimana cara ibu saya dan ibu mertua mendidik anak. Keluarga saya sendiri lebih menitikberatkan soal agama. Latar belakang agama sangat kuat kerana ibu saya seorang Ustazah. Maka dalam mendidik ibu menitikberatkan soal agama.”
BISNES
Tengku Hanim atau nama sebenarnya, Tengku Norhanim Tengku Othman cukup bertuah kerana dalam usia muda sudah pun memiliki sebuah keluarga yang bahagia di samping bisnes sendiri iaitu NIMS Crispy Choco Tub yang kian mendapat sambutan hangat di pasaran.
“Bisnes ini nadi kepada kesungguhan saya dan suami sejak beberapa tahun lalu. Secara tak langsung, masa bersama anak-anak pun dapat dirancang dengan baik. Kami kejar betul-betul peluang yang ada di depan mata selain bekerja keras agar dapat berkongsi rezeki dengan orang-orang yang memerlukan. Contohnya, memberi peluang menjana pendapatan dengan menjadi agen dan stokis.
Alhamdulillah produk kami menjadi sumber rezeki buat mereka yang mahu mengubah nasib diri dan keluarga kepada lebih baik,” kongsi graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya. Tengku Hanim dan suami menjadikan ibu bapa mereka sebagai sumber inspirasi serta idola sebenar untuk sukses dalam perniagaan. Bagi Tengku Hanim tanpa keluarga pasti mereka tidak akan ke mana.
Kredit: Instagram Tengku Norhanim Tengku Othman
Serba Boleh, KASHFI ZULKUFLI Kuasai Bidang Fesyen Dan Hiasan Dalaman!
Serba boleh! Itulah gambaran bagi anak muda bernama Kashfi Zulkufli, 31 tahun apabila berjaya mencipta nama sebagai pereka fesyen dan perunding perkahwinan. Bukan sahaja arif dalam bidang fesyen, malah anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga aktif sebagai pereka hiasan dalamam.
Merupakan Graduan UiTM (FITA) dan juga bekas pelajar IFTC International Academy of Fashion & Design, Kashfi memulakan langkah sebagai pereka fesyen pada tahun 2012. Namanya kian menyinar apabila diberi kepercayaan bagi mewakili Persatuan Young Designers Arena (YODA) untuk mempamerkan koleksi ‘Lady Of Mia’ di pentas Asian Fashion Week pada tahun 2013.
BAGAIMANA JENAMA KASHFI ZULKUFLI TERCETUS?
Jenama Kashfi Zulkufli mula tercetus pada tahun 2011 dimana saya pernah bekerja sebagai pembantu kepada pereka fesyen Akma Suriati Awang. Pada ketika itu, saya diberi tugasan untuk menggalas pementasan teater Puteri Gunung Ledang di Singapura. Sebaik sahaja saya pulang ke tanah air, saya bekerja di sebuah stesen tv swasta sebagai ‘Fashion Stylist’. Dari situlah titik tolak bermula dan mencipta minat yang mendalam untuk melahirkan jenama Kashfi Zulkufli di atas permintaan beberapa selebriti tanah air.
APAKAH SIGNATURE REKAAN KASHFI ZULKUFLI?
Label Kashfi Zulkufli banyak melahirkan rekaan bercirikan volume, flair dan folding. Jika dilihat pada kebanyakan koleksi yang dihasilkan, saya banyak menyuntik elemen ini ke dalam rekaan. Saya boleh katakana ia sebagai signature Kashfi Zulkufli. Selain itu, kekuatan dan keistimewaan jenama saya terletak pada detailing dan perincian.
KONGSIKAN KOLEKSI TERBAHARU ANDA…
Koleksi terbaru saya ketika ini ialah Enara Vol 2. Insyaallah untuk koleksi seterusnya, saya akan menghasilkan koleksi yang diberi nama Enara Mega. Keistimewaan rekaan ini ialah dari segi embellisments dimana saya mengunakan teknikal ‘printing’ dan menghasilkan renda eksklusif yang pastinya memberikan sesuatu yang cukup berlainan.
BAGAIMANAKAH ANDA MENDAPAT INSPIRASI DAN MENTERJEMAHKAN IS KE DALAM REKAAN?
Pada setiap rekaan, saya mengambil masa yang lama untuk melakukan research dan juga membaca beberapa buku ilmiah untuk mendapatkan sumber inspirasi. Bagi saya, pereka harus mengamalkan sikap suka membaca bagi menghasilkan sesuatu koleksi yang bernas. Adakalanya juga saya banyak meluangkan masa berada di tempat yang lapang, seperti di tepi tasik dan mengamati suasana keindahan alam semula jadi yang menjadi saya menzahirkan setiap apa pemahaman dan idea saya dalam setiap rekaan.
APAKAH CABARAN YANG DIHADAPI DALAM MEMASTIKAN JEANAMA ANDA BERTAHAN HINGGA KINI?
Pada masa kini, kita mempunyai ramai pereka-pereka muda yang meningkat naik dan berkebolehan tinggi. Apa yang boleh saya lakukan adalah sentiasa menghasilkan rekaan yang bernas, sesuai pada peredaran masa, memahami kehendak masyarakat, dan menjaga kualiti penghasilan rekaan saya pada tahap yang lebih tinggi. Selain itu juga sebagai seorang pereka, saya juga harus bijak mengatur strategi tahun demi tahun tentang apa yang perlu dilakukan supaya jenama saya sentiasa relevan di kalangan masyarakat.
BAGAIMANA ANDA MELIHAT JENAMA ANDA PADA 5 TAHUN AKAN DATANG?
Memiliki ‘One Stop Centre’ yang tersendiri dimana saya dapat menyediakan perkhidmatan dari head to toe yang boleh membantu memudahkan masyarakat mendapat perkhidmatan saya dengan baik dan secara total.
APAKAH PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN SEPANJANG BERGELAR PEREKA FESYEN
Menerima anugerah daripada UiTM sebagai IKON (FITA) pada tahun 2017. Bagi saya, menerima penganugerahan sebagai IKON merupakan satu tanggungjawab yang besar bagi memastikan setiap apa yang saya lakukan harus dijadikan contoh buat pereka-pereka yang lain. Maka dengan itu setiap yang apa yang dihasilkan haruslah memberi impak serta kebaikan kepada masyarakat.