Kedatangan bulan Ramadan sememangnya menjadi bulan yang amat dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Bulan yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala ini menjadi asbab umat Islam berlumba-lumba mencari pahala dan melakukan ibadah sebaik mungkin.
Nampaknya, kedatangan Ramadan tahun ini disambut dengan ibadat umrah buat selebriti Indonesia, Nia Ramadhani. Menerusi laman Instagram milik pelakon yang popular dengan sinetron Bawang Merah Bawang Putih kini sedang berada di Arab Saudi mengerjakan ibadat umrah bersama suaminya, pengerusi utama stesen televisyen, tvOne, Ardiansyah Bakrie dan anak sulungnya, Mikhayla Zalindra Bakrie.
Kejelitaan Nia Ramadhani begitu terserlah saat mengenakan hijab sepanjang proses mengerjakan umrah di Mekah dan Madinah. Ramai pengikut di media sosial miliknya memuji penampilan ibu kepada tiga cahaya mata ini yang terlihat sopan dan ayu dalam busana modest wear yang elegan dan selesa.
Semasa mengerjakan umrah, Nia sempat melaksanakan ibadat umrah ( badal umrah) khusus untuk bapanya, Allahyarham Priya Ramadhani yang telah kembali ke rahmatullah pada 7 Mac 2014 yang lalu.
Menerusi laman Instagram miliknya, Nia sempat menitipkan doa semoga ibadah mereka sekeluarga diterima olehNYa dan semoga mendapat jemputan kembali mengerjakan umrah bersama 3 orang zuriatnya.
Ini bukanlah kali pertama selebriti ini melakukan ibadat umrah kerana pada 2018 Nia turut menjejakkan kaki ke Mekah bersama keluarga suaminya untuk mengerjakan umrah.
“Sayangi Anak, Kita Tak Tahu Siapa Pergi Dulu,” Luluh Hati Dengar Luahan Linda Rafar
Rasa rindu pada yang telah tiada sukar diungkap dengan kata-kata. Lebih-lebih lagi rindu seorang ibu kepada anaknya. 7 tahun telah berlalu namun rindu Linda Rafar terhadap anak tersayangnya, Rezaimen Kiflin Kifli yang ‘pergi’ sekitar tahun 2014 akibat penyakit kanser perut terus mengalir.
“Ya Allah, saya menangis lagi ni,” tutur Linda Rafar saat ditanya tentang rasa rindu tehadap anak tersayangnya yang mesra disapa Memen itu. Walaupun penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan Elite ini reda dan positif apabila anaknya ‘dijemput’ lebih awal darinya tetapi kadang-kadang naluri keibuannya terusik.
Memen merupakan anak kedua Linda Rafar hasil perkahwinan pertama bersama bekas suaminya, Keifli Othman. “Sayangi Anak, Kita Tak Tahu Siapa Pergi Dulu,” kata Linda Rafar. Linda turut berkongsi bakal melancarkan novel keduanya, Menunggumu Di Pintu Syurga 2 dam tempoh dua minggu lagi.
Sebelum ini, novel hasil luahan perasaan tentang Memen, Menunggumu Di Pintu Syurga, telah mendapat sambutan dan terjual lebih 150,000 naskah. Bercerita tentang hasil tulisan keduanya, “Novel kedua ini lebih terperinci dan lebih banyak cerita dalam diari Memen yang saya jumpa serta berkisar tentang mimpi,” ulas Linda Rafar ringkas dan boleh menghubungi Linda Rafar untuk mendapatkan naskhah tersebut.
Bercerita tentang kelainan yang berlaku pada anaknya sebelum pemergiannya,”Ada sebuah charity yang sering memberi hadiah buat para pesakit. Setiap katil dia akan tanya nak apa. Mereka akan datang setiap Khamis untuk hiburkan kanak-kanak di wad.
Tapi Memen akan ambil present semua yang underage. Dia akan ambil playdoh, lego. Dia ambil dan simpan belakang katil dia. Saya hairan dan tanya kenapa, dia hanya jawab sebab nak lego dan simpan.
Hari dia nak ‘pergi’ tu, dia panggil adik-beradik dia datang, dia bagi wasiat dan serahkan barang-barang yang dia simpan kepada adik-adiknya,” cerita Linda lagi.
Membeli-belah di hujung jari.
Ibu Tunggal Contoh, MARIANNY ISMAIL Bertanding Untuk Mrs Malaysia World 2018!
Memegang status ibu tunggal dua orang anak dalam pada masa yang sama bekerja dalam sektor profesional menjadikan Marianny Ismail seorang wanita selayaknya dipandang tinggi. Bahkan, beliau yang bekerja dalam industri petroleum termasuk proses cari gali minyak dan gas berjaya menjadi salah seorang finalis Mrs Malaysia World 2018.
Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai bisnes butik perkahwinan sendiri yang terletak di Titiwangsa.
“Sudah 11 tahun saya bekerja dalam industri petroleum. Selain itu, saya juga mengusahakan butik perkahwinan sendiri yang diberi nama Maria Salinne dan mempunyai pengalaman sebagai seorang model. Saya juga merupakan seorang ibu kepada sepasang cahaya mata yang kini masing-masing berusia 6 dan 4 tahun”, jelas Marianny yang berusia 33 tahun memperkenalkan diri.
Melihatkan wajahnya yang ayu dan bertemankan suara lemah lembut, tidak menyangka sebenarnya wanita ini mempunyai hati cekal walaupun pernah melalui episod hitam dalam rumah tangganya apabila bercerai dengan bekas suami sekitar dua tahun lalu.
“Selepas melalui proses penceraian bersama bekas suami, orang boleh bercakap apa sahaja tentang diri saya. Namun, ia terpulang untuk saya menerimanya atau tidak. Apa yang penting, saya tahu apa yang saya buat dan tidak melakukan apa-apa kesalahan”, kata Marianny.
“Dalam hidup ini, anda harus percaya kepada diri sendiri dan buat apa saja perkara yang anda minat dan mampu membahagiakan kehidupan anda”, tambahnya lagi.
Menggalas tugas sebagai seorang ibu tunggal juga menjadi satu cabaran buat Marianny. Namun, beliau mempunyai cara yang tersendiri dalam mendidik anak-anaknya.
“Demi menjaga privasi anak-anak, saya jarang upload gambar mereka berdua di sosial media. Saya mahu mereka fokus dengan kehidupan sebenar terutamanya dalam pelajaran.
Dari segi penggunaan gajet seperti handphone pula, saya akan pastikan mereka aware dengan kesan buruk menggunakan handphone secara berlebihan. Saya akan menunjukkan video atau artikel berkaitan seperti mata kanak-kanak yang rabun dan memaksimakan penggunaan handphone selama 10 minit sahaja kepada mereka”, jelas wanita kacukan filipina dan cina ini.
Adat setiap pertandingan pasti ada yang kalah dan menang. Namun, Marianny sentiasa mengharapkan yang terbaik dalam pencarian Mrs Malaysia World 2018 kali ini untuk menyumbang balik kepada masyarakat.
“Menariknya menyertai pertandingan ini, ia memberikan saya satu semangat yang baharu, menjadikan saya lebih berdisiplin selain mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi apa jua cabaran mendatang”, jelasnya mengakhiri perbualan.
Pertandingan akhir Mrs Malaysia World 2018 akan berlangsung pada 29 September ini di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. Pertandingan ini memberi ruang kepada para ibu dan isteri dan peserta tidak sahaja dinilai daripada rupa paras, tapi keperibadian menarik dan sumbangan kepada masyarakat.
Berjaya Dalam Kerjaya Belum Tentu Terlepas Dari Masalah Keganasan Rumah Tangga
Membina mahligai indah bersama lelaki yang dicintai dan melayari bahtera rumah tangga penuh penghormatan adalah idaman setiap wanita. Mengharapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. Nor Fadilah Mohamed Nizar, 35 tahun, berkongsi pengalaman tentang keganasan domestik atau penderaan rumah tangga yang pernah ditempuhnya suatu ketika dahulu.
“Masalah mula bertandang apabila bekas suami berubah sekelip mata tanpa belas ihsan. Dia mula bertindak mendominasi perkahwinan angkara sikapnya yang terlalu materialistik. Sukar mengungkap dengan kata-kata merungkai emosi dan keadaan diri sepanjang melalui tempoh keganasan domestik. Rasa diri sudah tidak bernilai lagi, tertekan dan malu untuk bersosial dengan masyarakat lantaran tidak mempunyai sistem kewangan yang kukuh walaupun mempunyai pendapatan empat angka.
Saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan terpaksa meninggalkan bekas suami di Kuala Lumpur dan tinggal berasingan untuk suatu tempoh. Sepanjang tempoh tinggal berasingan bekas suami tidak pernah memberi nafkah namun tetap menerima keadaan tersebut dengan rela kerana berada dalam tempoh awal perkahwinan.
Konflik mula menerpa apabila saya ditawarkan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan dan menetap di Putrajaya. Sebagai pegawai kerajaan saya mendapat kediaman kuaters untuk memudahkan proses ulang alik untuk ke tempat kerja. Seperti biasa kediaman tersebut kosong tanpa dipenuhi sebarang perabot. Dia menyuruh saya untuk memenuhi ruang kediaman dengan perabot.
Kini bahagia bersama keluarga baharu
Baru mendapat kerja sudah tentu saya tidak mempunyai simpanan dan tidak mampu untuk memenuhi keinginannya. Lantas dia menyarankan untuk meminta wang bapa saya sebanyak RM10,000. Saya menurut perintahnya tanpa memikirkan sesuatu yang pelik. Malu untuk meminta saya meminjam wang bapa untuk membeli perabot kediaman dan berjanji untuk membayar kembali secara ansuran.
Setelah mendapat wang, lagaknya ketika membeli perabot kalah seorang wanita. Memilih reka bentuk mewah dan mahal umpama seorang yang kaya-raya. Saranan saya untuk mengubah kehidupan dan menjalani hidup secara sederhana tidak diendahkan.
Banyak konflik-konflik kecil berlaku sehingga tiba hari istiadat konvokesyen saya di Singapura. Dia tidak dapat turut serta di majlis itu kerana disenarai hitam ke luar negara akibat hutang PTPTN. Dia meminta saya untuk membuat pinjaman peribadi untuk melunaskan segala hutang piutangnya. Menurutnya pegawai kerajaan seperti saya mudah untuk mendapat kelulusan pihak bank. Sebagai seorang isteri saya akur dan episod duka saya semakin parah selepas tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menyara kehidupan seharian akibat membayar hutang bank.
Sejak itu kehidupan kami sudah tidak mempunyai hubungan suami isteri yang normal. Kami tinggal serumah tetapi tiada komunikasi dan juga hubungan intim. Dia pernah mengutuk saya mempunyai hutang yang banyak di hadapan keluarganya.
Kini lebih selesa memperkasakan hak wanita melalui JEIWA
Penderaan emosi dan kewangan berlaku sepanjang tempoh tempoh perkahwinan. Krisis rumah tangga bermula atas faktor kewangan, perbezaan cara hidup dan pemikiran. Apabila datang peluang untuk mengikuti kursus tidak akan dipersiakan.
Semasa berada di China ketika itu saya benar-benar mempunyai masa untuk memikirkan diri sendiri. Melihat semula kepada potensi diri dan rasa amat bernilai serta mampu untuk membuat sesuatu yang hebat dan terbaik untuk diri sendiri, keluarga, majikan dan negara. Saya tekad untuk mencari jalan penyelesaian. Apabila pulang ke Malaysia, saya menyimpan niat untuk bercerai tetapi masih memberi peluang agar dia berubah.
Tidak lama kemudian, saya ditawarkan ke program khas pegawai kerajaan di mana saya ditawarkan gaji yang lebih tinggi. Saya teruja dan berpindah ke jabatan lain. Namun, bekas suami semakin menunjukkan sikap materialisiknya dengan mula mengawal kewangan saya seperti mencongak-congak gaji saya dan menyenaraikan barang-barang baru untuk dibeli menggunakan wang saya.
Kemuncak kemarahan berlaku apabila bapa saya bersetuju untuk membelikan sebuah rumah untuk saya. Namun suami berkeras sekiranya rumah tersebut dibeli, bapa saya tidak dibenarkan untuk tinggal bersama. Kesabaran saya memuncak dan saya tidak mahu terus memendam rasa, maka saya memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah untuk tindakan selanjutnya.
Kami mula bergaduh dan saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah saya sendiri dan saya mula mencari perlindungan diri dengan menumpang di rumah kawan-kawan. Lebih parah lagi apabila dia mula memisahkan saya dengan anak kami,” ungkap ibu kepada dua orang anak ini.
Tidak mahu mengaku kalah dia turut menfailkan agar saya kembali taat, tidak mendapat hak penjagaan anak, tidak mendapat hak penjagaan anak sementara dan nusyuz. Bukan itu sahaja malah dia menuntut wang sebanyak RM350 ribu untuk tebus talak. Namun saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dan akur dengan kehendaknya untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas anak perempuan saya yang berusia 4 tahun ketika itu. Akhirnya selepas turun naik mahkamah syariah saya diceraikan dengan talak satu. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan ketika dia menjatuhkan talak. Gembira tidak terkata kerana saya sudah menemui kembali diri sendiri hilang beberapa tahun lalu akibat pergolakan rumah tangga.
Namun kegembiraan saya tidak kekal apabila dia mula mengawal hubungan saya dengan anak perempuan. Tindakan saya untuk berjumpa dengan anak mencipta keganasan berlaku sehari selepas bercerai dengannya yang membawa kepada penderaan fizikal. Saya cedera parah ditumbuk bertalu-talu pada muka dan ditendang. Saya mendapat rawatan doktor dan menerima lima jahitan pada hidung yang patah dan tulang septum terpaksa dialih keluar. Insiden ini menyebabkan saya mendapat kecederaan kekal. Saya mendapatkan keadilan di mahkamah dan akhirnya bekas suami dihukum penjara satu bulan, RM10,000 denda seksyen 325KK,” ungkap Fadilah telah bangkit dari mimpi ngeri yang menghantuinya dan bahagia dengan keluarga baharu sekarang.