Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah ke atas Yang Teramat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra, isteri kepada Tengku Mahkota Kelantan dengan kurniaan Pangkat Kemuliaan yang membawa gelaran Yang Teramat Mulia (YTM) Che Puan Mahkota Kelantan. Semoga YTM Che Puan Mahkota Kelantan terus berbakti buat masyarakat.
19 April lalu genap tiga tahun usia perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra bersama isteri tercinta YTM Che Puan Sofie.
Mengimbas kembali detik bersejarah pasangan diraja ini, YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz dan YTM Che Puan Sofie melangsungkan majlis pernikahan pada 19 April 2019 dalam suasana ringkas tetapi meriah.
Istiadat pernikahan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat yang diadakan secara tertutup di Istana Balai Besar Kota Bahru, Kelantan.
Bersempena ulang tahun perkahwinan ke-3, YTM Che Puan Mahkota Kelantan berkongsi foto persandingan bersama suami tercinta. Menerusi posting tersebut juga, YTM Che Puan Sofie memberitahu, “19 April, today is our 3rd wedding anniversary. The 3rd wedding anniversary is known as the leather anniversary.”
YTM Che Puan Sofie yang berasal dari Sweden ternyata berjaya menambat hati khalayak dengan penampilan dirinya yang anggun dan sopan. Biarpun bukan dilahirkan di Malaysia dan menjalani perbezaan budaya sebelum bergelar suri hati Tengku Mahkota Kelantan, namun beliau bijak menyesuaikan diri.
Misalnya, ketika awal perkahwinan dan pertama kali muncul di khalayak apabila mengikuti YTM Tengku Muhammad Fa-iz Petra mengunjungi rakyat Kelantan yang terlantar sakit dan kurang bernasib baik.
Waktu itu, YTM Che Puan Sofie baru empat hari bergelar isteri dan menarik perhatian ramai dengan penampilan sopannya menggayakan persalinan tradisional baju kurung biru dan berselendang polos.
Begitu juga ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyaksikan YTM Che Puan Sofie hadir bersama YTM Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Setia berada di sisi suami tercinta, beliau kelihatan cukup anggun dalam persalinan kebaya labuh songket dan selendang kuning.
Apa yang pasti, YTM Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang tidak kekok bertemu masyarakat, aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, ligat di dapur, gemar berbasikal dan pandai menjahit.
Semoga Allah SWT memelihara rumah tangga YTM Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie.