Siapa peminat durian tentu termimpi-mimpi makan kek ni! Kek durian Musang King yang sedang viral sekarang bukan macam kek lain, sebab rupa dan rasanya betul-betul macam isi durian sebenar.
Penulis sendiri nak bagi lima bintang untuk kualiti rasa dan bentuk kek yang dihasilkan ini. Kreatif habis sampai kulit buah durian pun nampak real. Itu belum lagi dipotong, confirm semerbak bau durian satu rumah.
Pada yang bercadang nak shopping durian tu, pakatlah beli jenis Musang King. Lepas tu boleh buat kek ni sebab sedap sangat.
KEK DURIAN MUSANG KING
Bahan-bahan:
- 500 gram mentega
- 500 gram gula pasir
- 9 biji telur
- 500 gram tepung kek
- 125 gram susu segar
- 3 sudu teh serbuk penaik
- 200 gram isi durian Musang King
Bahan-bahan krim keju:
- 500 gram krim keju
- 500 gram krim putar
- 1 sudu teh jus lemon
Cara membuat:
Pukul mentega dengan gula hingga kembang. Masukkan telur sedikit demi sedikit dan kacau rata. Masukkan pula bahan-bahan kering lain seperti tepung yang sudah diayak terlebih dahulu. Kacau sekali lagi dan kemudian masukkan susu. Sesudah itu, masukkan isi durian dan gaul rata. Tuang adunan ke dalam loyang kek bersaiz 8 ke 10 inci. Bakar pada suhu 160 darjah Celsius selama lebih kurang 40 minit atau sejam.
Sementara menunggu kek siap dibakar, sediakan bahan untuk krim keju. Pukul krim keju hingga lembut dan rata. Kemudian pukul krim putar hingga kembang. Gabungkan kedua-dua adunan dan masukkan sedikit jus lemon. Gunakan bahagian krim ini sebagai lapisan antara kek dan sebagai frosting luaran kek.
Perkongsian Resipi: Terima kasih Mad About Cake (Cef Wan Noor Zamran, A-1-5 Jalan SS25/35 Taman Mayang, Petaling Jaya, Selangor)
Datuk Chef Wan Tak Lokek Ilmu Masakan, Siap Kongsi Dua Resipi Enak Lagi
Sebut sahaja Chef Wan, semua peringkat usia dan bangsa rakyat Malaysia mengenali beliau. Malah populariti beliau melebihi para artis dan ahli politik, namun semua kehebatan yang dimiliki tidak pernah mengundang riak insan berhati luhur bernama Datuk Redzuwan Ismail.
Hari ini Chef Wan bukan hanya pakar dalam masakan, tetapi beliau juga seorang penulis buku masakan, hos program masakan dan travelog dalam dan luar negara dan ikon yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu rahsia kejayaan untuk anak bangsanya
Lebih daripada 3 dekad dalam dunia kulinari dan melalui pelbagai pahit maung dalam perjalanan kerjaya sebagai chef. Kewibawaan beliau telah merentasi dunia, setanding dengan nama besar seperti Jamie Oliver Bakes dan Martha Stewart.
Namun untuk menggapai kejayaan seperti hari ini, Chef Wan tidak gentar meninggalkan kerjaya lumayan hanya kerana minat memasak dan mahu menjadi seorang chef profesional. Berbekal kesungguhan dan minat terhadap dunia masakan, beliau sanggup ke luar negara demi mencari ilmu masakan tanpa kenal erti jemu dan tidak pernah rasa bosan memasak.
“Bila saya belajar dan melakukan sesuatu yang saya suka, saya akan buat bersungguh-sungguh sehingga berpuas hati dengan hasilnya. Bila menjadi ia memberikan keseronokan dan kepuasan tidak terhingga, terutama bila mendapat pujian. Sebab itu, saya suka bereksperimen dengan perkakasan dapur, mengolah bahan, menyediakan masakan dan menghasilkan resipi baru di dapur.
Demi ilmu saya juga sanggup keluar negara dan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk belajar pelbagai ilmu masakan. Sebenarnya, ilmu masakan semakin diterokai semakin seronok kerana ada sahaja perkara baru boleh dipelajari,” ujar Chef Wan yang tidak pernah kenal istilah pencen dalam kerjaya yang diminatinya ini.
Katanya, selain minat dan mencari keseronokan dengan memasak, beliau mahu menjadikan masakan sebagai agen perpaduan di kalangan masyarakat dan mengharumkan nama negara.
“Sekurang-kurangnya dengan aktiviti memasak, saya boleh menyumbangkan sesuatu kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan, masyarakat, bangsa, agama dan negara saya sendiri kerana ini kemahiran saya,” tegas Chef Wan yang mendapat Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academi, San Francisco, Amerika Syarikat .
Luar biasanya Chef Wan, bukan hanya mempunyai kepakaran dalam masakan tetapi beliau juga mempunyai karisma tersendiri sebagai hos program sama ada program masakan mahupun travelog di dalam dan di luar negara. Celoteh spontan sering menjadikan penonton tersenyum dan tertawa. Sehingga ada yang tertunggu-tunggu program yang dihoskan olehnya.
“Masakan telah membawa saya menjelajah ke merata dunia. Daripada pengalaman ini saya melihat masakan bukan hanya sebagai agen perpaduan sesuatu masyarakat dan bangsa tetapi ia juga adalah sumber khazanah budaya. Kerana daripada masakan kita mengenal sesuatu bangsa dan sesebuah negara.”
NEW YORK CHEESE CAKE
BAHAN-BAHAN:
Adunan Dasar Kek:
3 cawan serbuk biskut (cracker crumbs)
2 sudu teh serbuk kulit kayu manis
226gm mentega | cair dan sejukkan
Inti Kek:
680gm krim keju
¼ cawan gula kastor
6 biji telur | asingkan kuning dan putihnya
2 cawan sour cream
1/3 cawan tepung Jagung
2 sudu teh esen vanila
2 biji lemon | parut kulit kuning sahaja & perah jusnya
Sos Ceri:
1 sudu besar tepung jagung
1 tin besar Pitted Dark Cherries dengan sirap
1 sudu besar mentega
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan adunan dasar kek: Oles mentega ke dalam bekas bersaiz 22 cm. Campurkan semua bahan adunan dasar kek menggunakan sudu kayu. Masukkan adunan dalam loyang dan tekan sehingga padat, kemudian panaskan dalam ketuhar lebih kurang 15 minit dengan suhu 180 C. Atau letakkan dalam peti sejuk lebih kurang 30 minit. Untuk menyediakan inti kek, pukul krim keju hingga halus, tambahkan gula sedikit demi sedikit dan teruskan memukul sehingga ringan dan gebu. Tambahkan kuning telur satu persatu. Masukkan sour cream, tepung, esen vanila, jus lemon dan parutan kulit lemon. Di dalam mangkuk yang berasingan, pukul putih telur sehingga kembang kemudian gaulkan dengan krim keju. Tuangkan adunan inti kek ke atas lapisan dasar dan bakar di dalam ketuhar selama 1 jam, 15 minit dengan suhu 165C. Akhir sekali cara menyediakan sos ceri: Campurkan tepung jagung dengan pitted Dark Cherries dan masak sehingga mendidih. Setelah pekat, tutup api. Masukkan mentega. Kacau dan biar sejuk. Tuang atas kek keju dan hidangkan.
KAFTA BEBOLA DAGING
BAHAN-BAHAN:
Bebola:
500gm daging cincang
1 biji bawang besar | dadu halus
2 ulas bawang putih | cincang
4 sudu makan daun parsli | cincang halus
1 sudu teh serbuk lada putih
1 sudu teh serbuk jintan halus
1 sudu besar serbuk paprika
2 sudu teh garam
2 sudu besar minyak zaitun
Kuah:
60ml minyak zaitun
1 biji bawang besar | cincang halus
3 ulas bawang putih |cincang halus
1 sudu teh serbuk jintan halus
1 sudu teh serbuk jintan kasar
1 sudu makan paprika
2 biji tomato | ramas halus
2 sudu besar daun parsli | cincang halus
2 biji telur
Garam, gula dan serbuk lada putih secukupnya
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan bebola daging. Masukkan semua bahan di dalam mangkuk, gaul rata dan bentuk menjadi bebola daging. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, goreng hingga ke perangan dan ketepikan. Untuk menyediakan kuah, panaskan minyak zaitun, tumis bawang besar dan putih hingga wangi. Masukkan jintan halus dan kasar, paprika dan buah tomato yang telah diramas. Masukkan bebola daging, daun ketumbar, parsli, garam, gula dan serbuk lada sulah. Masak lagi di atas api perlahan selama 15 minit. Kemudian pecahkan telur ke dalamnya dan masak lima minit lagi.
Lemak Manis & Safron Berkacang, 2 Resipi Ini Patut Anda Cuba Kalau Teringin MANISAN ARAB. Sedap Sangat!
Masakan Timur Tengah memang terkenal dengan portion yang besar dan berasaskan ramuan berkhasiat seperti kekacang dan safron.
Dua sajian yang diketengahkan ini selain mudah disediakan dalam tempoh masa singkat, ia juga kurang manis dan enak dinikmati pada bila-bila masa. Fukhara Om Ali misalnya enak dinikmati ketika masih panas. Selamat mencuba!
Saffron Mahalabiya
Bahan-bahan:
- 1 liter susu penuh krim
- Secubit safron
- ¼ cawan gula
- ¼ cawan tepung jagung
- Kacang pistasio (dihancurkan)
- Buah strawberi (hiasan)
Cara membuat:
Dalam periuk yang sesuai, didihkan susu bersama gula dan safron. Sementara menunggu ia mendidih, dalam mangkuk berasingan, larut tepung jagung dengan secawan air.
Apabila susu sudah bertukar warna kuning, masukkan tepung jagung perlahan-lahan sehingga adunan pekat. Tutup api dan tuangkan adunan susu tadi ke dalam bekas. Apabila sudah sejuk, hiaskan dengan taburan kacang pistasio dan hirisan buah strawberi. Siap untuk dihidang.
Fukhara Om Ali
Bahan-bahan:
- 1 liter susu penuh krim
- 8 keping croissant
- ¼ cawan gula
- ¼ cawan krim putar
- 2 sudu makan kacang gajus
- 2 sudu makan kacang pistasio
- 2 sudu makan kacang badam
- 2 sudu makan kismis
- Krim masakan
Cara membuat:
Dalam periuk tahan keluli, panaskan susu dengan gula dan krim putar. Angkat dan ketepikan. Kemudian, potong croissant kepada bahagian kecil dan letakkan dalam bekas yang sesuai sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar.
Hancurkan kekacang dan tabur di atas croissant tadi. Simpan lebihan kekacang sebagai hiasan. Sesudah itu, tuang susu yang masih panas ke atas croissant diikuti krim masakan di atasnya dan bakar selama 10 hingga 15 minit. Apabila sudah masak, taburkan lebihan kekacang dan hidangkan. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH SUNWAY RESORT HOTEL & SPA, CEF ALA’A ALI
Zulin Aziz Tunai Umrah Lagi, Sempat Kongsi Resipi Siput Sedut Kam Heong Sebelum Berlepas
Rezeki pasangan pengantin baharu. Zulin Aziz tunai umrah bersama suaminya. Ini merupakan pertaman kali pasangan ini menunaikan umrah sebagai pasangan suami isteri.
Jika sebelum ini, Zulin Aziz pernah berkongsi bahawa suaminya melamar ketika berada di tanah suci, kali lebih bermakna apabila pasangan ini mengalami pengalaman indah berpuasa dan melakukan solat tarawih di Masjidil Haram.
“Salam Ramadan. Saya dan suami akan berangkat ke tanah suci menunaikan umrah dan menjalani ibadah puasa di sana. Doakan urusan kami dipermudahkan dan selamat perjalanan pergi dan balik kami. Semoga mendapat umrah yang Makbul,” tulis Zulin Aziz tunai umrah pada 11 hingga 21 April.
Zulin Aziz sah bergelar isteri pada 20 Februari lalu. Pasangan ini diijabkabulkan berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz. Mereka dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni.
Pada majlis akad nikah, Zulin menerima wang hantaran berjumlah RM30,000. Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Zulin Aziz merupakan selebriti yang mudah didekati dan cepat mesra walaupun baharu sahaja berjumpa. Tumpang gembira apabila kini bekas penyampai radio Suria FM ini telah bertemu dengan lelaki yang boleh menjaganya.
Sebelum berlepas menunaikan umrah Zulin Aziz atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz sempat berkongsi resipi masakan istimewa iaitu Siput Sedut Kam Heong. Hebat sungguh isteri kepada Farhan Norzaini memasak.
Siput Sedut Kam Heong
Bahan-bahan;
Siput sedut
Sedikit minyak
Bawang putih
Daun kari
Cili padi
Mentega
Rempah kari seafood
Rempah cili
Sos cili
Kicap
Air
Garam dan gula
Cara membuat;
Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih sampai naik bau. Masukkan daun kari dan cili padi. Masukkan sedikit mentega, kemudian rempah kari seafood dan rempah cili. Tumis sampai naik minyak, masukkan sos cili dan kicap. Masukkan siput sedut. Gaul sekata. Letak sikit je air. Kemudian garam gula secukup rasa. Lebihkan sikit gula. Gaul sampai pekat likat.
Baca juga; Zulin Aziz Dilamar Di Madinah, Bahagia Bergelar Isteri & Tunai Umrah Lagi Ramadan Nanti