Kekal Anggun Mempesona, SULTANAH NUR ZAHIRAH Sambut Ulang Tahun Kelahiran Ke-47!

Sejuk mata memandang Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Setiap kali terlihat kelibat baginda, mata bagaikan tertawan dengan pesona yang dimiliki. Cukup elegan dan penuh dengan kelembutan. Sering mengukir senyuman tatkala bertemu rakyat jelata, penampilan Sultanah Nur Zahirah yang gemar mengenakan persalinan tradisi seperti songket dan batik ternyata menarik perhatian ramai.

7 Disember lalu merupakan ulang tahun kelahiran Sultanah Nur Zahirah yang ke-47. Meniti usia 47 tahun, baginda kekal anggun mempersona dan memiliki aura tersendiri. Paling mencuri tumpuan, gaya tudung Sultanah Nur Zahirah sejak Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong Ke-13. Baginda menjadi Raja Permaisuri Agong dari tahun 2006 hingga 2011.

Menurut kenyataan di Instagram rasmi Malay Royalties, Sultanah Nur Zahirah merupakan Raja Permaisuri Agong kedua yang mengenakan hijab selepas Raja Permasuri Agong ke-11, Tuanku Siti Aishah. Baginda juga antara Raja Permaisuri Agong yang berasal dari golongan rakyat biasa seperti Tuanku Bainun dan Tuanku Permaisuri Siti Aishah.

KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah (Credit @malay_royalties)
Sultanah Nur Zahirah ketika bergelar Raja Permaisuri Agong ke-13

Dari dulu hingga kini gaya tudung Sultanah Nur Zahirah tetap sama. Pendek kata, gaya tudung jenis awning

sudah begitu sinonim dengan penampilan Sultanah Nur Zahirah sejak baginda bergelar Raja Permaisuri Agong lagi.

Meskipun terdapat pelbagai jenis rekaan tudung di pasaran hari ini namun baginda tetap setia mengenakan tudung awning. Tidak kira ketika menghadiri majlis rasmi negara, bersantai mahupun sebaliknya. Mungkin pemakaian hijab ini lebih mudah dan praktikal selain sesuai dengan bentuk muka Sultanah Nur Zahirah.

Sultanah Nur Zahirah bertemu jodoh dengan Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 28 Mac 1996 di Kuala Terengganu dan menjadi Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2006 berikutan perlantikan KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Pasangan diraja ini dikurniakan dua orang puteri dan putera iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Terengganu Tengku Muhammad Mua’az dan YAM Tengku Puteri Daulath Fatimatuz Zahra’.

 

 

Sumber: Instagram Terengganu Royal Family, Royal Terengganu Songket & Malay Royalties

Share
Published by
Suzi