Kekurangan Diri Bukan Penghalang Untuk Kecap Kejayaan, Lukisan Wanita Istimewa Ini Tular

Untuk mengecap kejayaan tidak pernah diletakkan sebarang syarat. Syarat seperti hanya anak orang berada sahaja yang boleh berjaya atau hanya orang cantik sahaja yang boleh berjaya. Syarat utama untuk berjaya adalah usaha dan kemahuan seperti wanita istimewa ini yang berjaya dalam kelasnya yang tersendiri.

Walaupun Nur Fariza Abu Hassan yang kini berusia 34 tahun mempunyai fizikal tubuh yang kecil berbanding usianya namun bukan penghalang baginya untuk mencipta kejayaan sendiri. Mengidap penyakit ‘Mucopolysaccharidosis’ jenis empat, penyakit yang membantutkan tumbesaran sejak lahir.

Nur Fariza telah menggunakan platform media sosial untuk mengetengahkan dan menjual hasil karya lukisannya. Benarlah kata orang tuah manusia tiada siapa yang tahu. Nur Fariza sendiri tidak menyangka hasil karyanya mendapat sambutan sehingga tular dengan meraih sebanyak lebih 30,000 ‘retweet’ dan hampir 18,000 ‘likes’ setakat ini.

“Pada mulanya, saya meminta adik saya, Ahmad Faiz Abu Hassan, untuk menghebahkan karya lukisan untuk dijual kepada orang ramai namun tidak sangka ia jadi ‘viral’ (tular). Saya sangat gembira apabila orang ramai mula mengenali karya saya, selain mula menerima beberapa tempahan daripada mereka,” kata anak keempat daripada lima adik-beradik ini.

Menurut Nur Fariza daripada 150 buah lukisan yang dihasilkannya, 50 lukisan telah dijual dengan harga antara RM100 hingga RM400, bergantung kepada saiz dan jenis lukisan.

“Alhamdulillah, buat julung kalinya, pada Disember tahun lepas saya berjaya mempamerkan karya lukisan saya di sebuah galeri di Pulau Indah dan kebanyakan pengunjung menyukai lukisan hidangan nasi lemak saya,” katanya apabila ditanya mengenai pengalaman manis dalam bidang diceburinya.

Menurut ibu kepada Nur Fariza, Salbiah Mustaffa, 67, satu-satunya anak perempuannya itu bersama adik lelakinya, Ahmad Faiz menghidap penyakit Mucopolysaccharidosis sejak dilahirkan. “Selain masalah tumbesaran, anak saya juga mengalami masalah pendengaran yang kurang jelas dan masih memerlukan rawatan di hospital,” kata pesara kerajaan itu.

Tambahnya, “Nur Fariza merupakan seorang yang tidak suka duduk diam dan suka berkemas…dia tidak suka jika keadaan rumah berselerak,” katanya ketika ditanya mengenai perwatakan anaknya. Menurut Salbiah, beliau dan keluarga bangga akan bakat dan anugerah tuhan yang tidak ternilai dimiliki Nur Fariza selain sentiasa memberi sokongan padu kepadanya.

Sumber: Bernama
Kredit Foto: Bernama & Instagram @nurfariza85

Share
Published by
Hamizatul Maizan