Alhamdulillah, hubungan keluarga Shila Amzah dilihat kembali pulih selepas kelibat bapa, ibu dan adik-beradik penyanyi ini hadir ke majlis akikah cahaya mata baharunya iaitu Rhea Akira berlangsung pada 28 September lepas.
Kisah keluarga pelantun lagu Selamanya Cinta ini pernah menjadi perhatian pada Oktober tahun lalu ekoran keputusan Shila mahu menjual kediaman banglo miliknya di Hulu Langat yang didiami ibu, Fauziah Sarman dan adik-beradiknya, Syada Amzah dan Syahir.
Pun begitu, keluarga ini kembali bersatu dalam majlis akikah Rhea Akira termasuk kehadiran bapa Shila iaitu Dato’ ND Lala yang sudah pun berpisah dengan ibu Shila.
Dalam majlis tersebut, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah anggun mengenakan persalinan rona putih sedondon suami tercinta, Ubai dan anak kesayangan iaitu Seth Uwais dan Rhea Akira.
“Just a day before we went to China, we had an akikah celebration for our daughter Rhea Akira.
Terima kasih buat semua family dan kawan-kawan yang sudi hadir memeriahkan majlis kami.”
Antara rakan artis yang hadir ialah Fara Fauzana.
Shila Amzah selamat melahirkan cahaya mata kedua yang juga bayi perempuan pada 9 Mei lepas.
Sementara itu, penyanyi berusia 34 tahun berkenaan kini sedang bertanding dalam sebuah program hiburan di Negara Tembok Besar China iaitu Singing with Legends dan penyertaan Shila mendapat sambutan hangat peminat di sana.
Mengimbas karier seni Shila, dia sebelum ini pernah merangkul gelaran Juara Asean Wave 2012 dan melakar nama di persada seni di negara China.
Shila mendirikan rumah tangga dengan Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli pada 5 Ogos 2023. Menerusi perkahwinan terdahulu Shila, selebriti ini dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Seth Uwais yang kini berusia enam tahun.
This website uses cookies.