Kembali Cantik Selepas Bersolek, MANGSA SIMBAHAN ASID Ini Kongsi Foto Terbaru Yang Menakjubkan

Menakutkan! Bayangan disimbah asid oleh seorang lelaki tak dikenali, sampai sekarang pun masih segar bermain di ingatan model London berusia 21 tahun, Resham Khan.

Dalam kejadian cemas yang berlaku pada tarikh 21 Julai 2017 itu, Resham dan sepupunya, Jameel Muhktar, 37, dilaporkan menjadi mangsa simbahan asid ketika dalam perjalanan pulang selepas meraikan ulang tahun kelahirannya.

Jenayah serangan asid berlaku apabila seorang lelaki tiba-tiba melemparkan bahan berkenaan ke dalam kereta mereka melalui tingkap. Mereka berdua dikejarkan ke hospital dan terselamat, meskipun dengan kesan melecur fizikal yang teruk.

Memetik blog Resham Khan, gadis itu dilihat berkongsi perkembangan terkininya setelah serangan, malah pengalaman bersolek untuk menyembunyikan wajahnya yang rosak.

Mahasiswi jurusan perniagaan itu menderita luka terbakar pada wajah dan tubuhnya, selain kerosakan pada mata kirinya.

“Pertama, saya mahu menegaskan bahawa apa yang anda lihat di Internet adalah tidak sama dengan kenyataan. Dalam merias wajah, proses itu kini menjadi jauh lebih sukar untuk saya.”

Resham hanya boleh mengkontur satu sisi wajahnya, namun rasanya amat sakit dan perit. Dia juga cuma dapat bermimpi untuk memakai bulu mata palsu lagi.

Wajah Resham Khan yang jelita sebelum kejadian

“Kerana kulit saya menjadi keras, sulit untuk mencampur warna lipstik. Alis kening saya juga terbakar dan tumbuh secara aneh, jadi susah untuk melukisnya. Saya hanya memberi sedikit warna dan tak dapat membentuknya menjadi sesuatu yang indah seperti dulu,” akui Resham.

Meskipun berdepan kesukaran, Resham mendakwa solekan itu membuatkan dia berasa seperti dirinya sendiri. “Saya menangis gembira. Saya melihat cermin dan rasa macam melihat diri saya yang dulu.”

Tanpa berselindung, gadis ini mengaku bahawa dia menggunakan aplikasi untuk menyunting foto-fotonya, mengubah cahaya dan mengambil foto dari arah yang menyembunyikan bekas luka yang berwarna merah muda, luka terbakar, kulit keras dan kulitnya yang menonjol, selain matanya yang aneh.

“Solekan sangat membantu, begitu juga sudut pengambilan foto dan penyuntingan. Saya suka menerima pujian tapi kenyataan yang anda lihat itu bukanlah sesuatu yang nyata,” tulisnya dalam nada positif.

Resham turut menulis tentang kesukarannya untuk mandi kerana terdapat bahan dalam sabun yang tidak boleh menyentuh kulitnya yang rosak.

Penjenayah yang melakukan serangan itu, John Tomlin, 25, telah pun ditahan dan didakwa dengan tuduhan penganiayaan serius. Dia dijadualkan untuk dibicara semula pada November ini di Snaresbrook Crown Court. Norzalina Mohd Alias

Kredit: BBC News

Share
Published by
Norzalina