Kembar 3 Seiras Ikut Jejak Ibu Jadi Doktor, Sejak Kecil Hospital Ibarat ‘Rumah Kedua’

Berpeluang melahirkan anak kembar antara rezeki terindah bagi seorang wanita yang bergelar ibu. Ia pastinya sesuatu yang cukup menggembirakan lebih-lebih lagi jika kembar itu seiras dan semuanya perempuan.

Begitulah yang dirasai oleh seorang wanita bernama Janet Gersten yang merupakan ibu kepada anak kembar tiga yang diberi nama Joanna, Sarah dan Vicky Bedell. Cantiknya kembar tiga seiras ini!

Namun, kegembiraan itu hanyalah sementara apabila dia dan suami terpaksa bercerai di saat anak kembar mereka itu masih kecil.

Selepas perceraian dan bergelar ibu tunggal, Gertsen terpaksa menjaga ketiga-tiga anak kembarnya itu seorang diri. Pada masa yang sama, dia juga sibuk dengan kerjayanya sebagai pakar perbidanan.

Sejak kecil lagi, sebahagian daripada kehidupannya dan anak-anak adalah hospital. Sehinggakan anak-anak kembarnya itu sudah ‘sebati’ dengan persekitaran hospital.

Ibarat rumah kedua, ketiga-tiga kembar itu sering tidur di hospital ketika menemani ibu mereka bertugas pada waktu malam.

Malah, seawal usia 8 tahun lagi mereka sudah menjadi ‘saksi’ ibunya membantu ibu-ibu bersalin di hospital.

Sepanjang bekerja, Gertsen bukan sahaja terpaksa menumpukan perhatiannya terhadap tugas bahkan perlu menjaga dan mengajar anak-anaknya.

Joanna, Sarah dan Vicky juga sering membantunya menyusun sampel darah dan air ketuban bagi penyelidikan yang dilakukan Gertsen. Mereka juga mengetahui pelbagai jenis istilah serta ilmu perubatan.

Walaupun kerap berada di hospital, mereka juga cemerlang dalam akademik.

“Saya amat berbangga kerana anak perempuan saya merupakan satu-satunya pelajar darjah lima yang tahu apa itu Pap smear,” kata Gertsen.

Mengikut jejak langkah ibu mereka, tiga gadis kembar ini turut mengambil jurusan perubatan ketika melanjutkan pengajian di universiti.

Selepas menamatkan pengajian dalam perubatan pada 2017, kembar tiga itu menyertai ibu mereka di New Age Women’s Health di Miami, Florida. Ia memfokuskan kepada ginekologi dan penyelidikan klinikal.

Kini, ketiga-tiganya berjaya bergelar doktor dalam bidang obstettrik dan ginekologi (OB-GYN).

Kata Gertsen, dia tidak pernah memaksa anak-anak kembarnya itu mengikuti jejak langkahnya sebagai doktor namun tetap merasa bangga dengan kejayaan mereka.

Bagi Gertsen, setiap anak-anaknya itu ada keistimewaan masing-masing dan mereka mempelajari banyak perkara darinya.

“Saya harap saya dapat belajar daripada ibu bagaimana untuk bersalin dengan cepat tanpa kesakitan dan pesakit tidak perlu ke hospital,” kata Joanna.

Gertsen berharap agar anak-anaknya itu dapat membantu lebih ramai wanita bukan sahaja dalam hal melahirkan bahkan menjaga kesihatan.

Kredit Foto: Instagram @bedelltripletobgyns

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

 

Share
Published by
Amy Mohd