Sekali pandang, wajahnya memang tidak ubah seperti Duchess of Sussex, Meghan Markle. Senyuman, mata dan paras rambut milik wanita Australia ini cukup mirip puteri diraja Britain tersebut. Tidak hairanlah kenapa dirinya kerap ‘ditahan’ peminat Meghan Markle dan menjadi tumpuan khalayak setiap kali keluar dari rumah. Rasa macam selebriti pula!
Bianca Burgdorf yang berasal dari Melbourne merupakan ibu kepada seorang anak. Sama seperti status Meghan yang bergelar ibu selepas selamat melahirkan seorang putera pada Mei lalu. Ujar Bianca, dia sama sekali tidak menyangka dirinya mempunyai persamaan dengan puteri diraja berkenaan sehinggalah pada suatu hari kenalan dan ahli keluarganya menyatakan pesona dirinya yang seiras watak Rachel Zane dalam drama popular Amerika, Suits yang pernah dibintangi Meghan Markle.
Hingga ke hari ini, wanita berusia 29 tahun berkenaan sering diterjah orang ramai yang menyangka dia adalah Meghan Markle setiap kali berada di khalayak. Meskipun suami Bianca seorang ejen hartanah dan tidak memiliki raut wajah seperti Prince Harry… namun pasangan ini cukup bahagia dengan kehadiran anak mereka.
Kongsi Bianca, “Sejujurnya saya tidak pernah tahu tentang Meghan Markle. Itu pun selepas dia berlakon dalam Suits. Malam pertama ia ditayangkan, saya terima mesej dari tiga orang yang mengatakan wajah saya seiras Meghan.
Saya juga mengikuti perkembangannya tapi tidak begitu serius sehinggalah berita hubungan Meghan bersama Prince Harry bertiup kencang. Dalam sekelip mata, Meghan menjadi tumpuan dan wajahnya kerap disiarkan di kaca TV dan menghiasi majalah.
Lagi terkenal Meghan, lagi banyak komen yang saya terima. Pada malam perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung… memang ramai yang beritahu kemiripan wajah kami. Lucu pun ada. Dalam seminggu, beberapa kali saya disapa orang tidak dikenali termasuklah ketika mengunjungi butik pakaian atau pasaraya.
Katanya, saya mirip seseorang yang terkenal dan seperti biasa, nama yang terpacul dari bibir mereka ialah ‘Meghan Markle’.”
Tambah Bianca lagi, “Saya cukup meminati Meghan Markle bukan saja kerana kecantikan yang dimiliki tetapi semangatnya. Beliau adalah wanita yang hebat dan patut dijadikan inspirasi.
Sebagai jurulatih peribadi, saya sangat gembira dapat membantu masyarakat terutamanya golongan wanita dengan menggalakkan mereka melakukan apa yang disukai dan berbangga dengan diri mereka sendiri.”
Sumber: Mirror
This website uses cookies.