‘Kembar Paling Cantik Dunia’ Jadi Model Sejak Usia 6 Bulan & Tetap Sekolah Seperti Biasa

Kalau tanya pada mak-mak nak tak dapat baby kembar, mesti tak ada yang menolak. Hanya sekali mengandung dan lalui proses ‘meneran’ boleh dapat dua sekali, siapa yang tak nak kan. Lebih-lebih lagi kalau dapat kembar secomel dan secantik pasangan kembar dari Los Angeles, Amerika Syarikat ini.

Pasangan kembar, Leah Rose dan Ava Marie yang kini berusia 8 tahun telah dikenali sebagai ‘Kembar Paling Cantik Di Dunia’. Keunikan sebagai pasangan kembar dan dikurniakan wajah yang cantik membuatkan Leah Rose dan Ava Marie telah menjadi model seawal usia 6 bulan lagi.

Menurut ibu kepada pasangan kembar ini, Jaqi Clements anak kembarnya tetap meneruskan persekolahan seperti biasa walaupun sudah bekerja sebagai peragawati. Ibu kepada Leah Rose dan Ava Marie ini memastikan anak-anaknya tidak ponteng sekolah dan menguruskan jadual kerja hanya di waktu petang atau hujung minggu sahaja.

Selepas paparan mengenai kejelitaan pasangan kembar ini di DailyMail.com jumlah pengikut mereka di laman Instagram telah naik mendadak. Sehingga artikel ini ditulis jumlah pengikut mereka sudah mencecah sehingga 1.2 juta pengikut.

Walaupun populariti sudah memuncak tetapi Jaqi Clements tetap menitik-beratkan pendidikan terhadap anak-anaknya. Menurutnya, seorang guru akan ditempatkan di set lokasi seandainya anak-anak kembar ini terpaksa ponteng sekolah.

Kanak-kanak kembar ini tetap membesar seperti kanak-kanak lain. Jika tidak bekerja, mereka melakukan aktiviti harian seperti biasa seperti latihan renang, kelas tarian atau bermain dengan rakan dalam kawasan kejiranan.

Perjalanan karier Leah Rose dan Ava Marie ini diaturkan oleh agensi model mereka, antaranya LA Models, Eris Talent Agency dan God & Beauty. Setakat ini Leah Rose dan Ava Marie pernah beraksi untuk La Petite Magazine, pakaian Petite Adele, V…G-A-PORT…R dan Airfish.

Stigma memerah keringat anak-anak bekerja untuk kepentingan ibu bapa tetap dialami oleh ibu pasangan kembar ini. “Seperkara yang tidak menarik mengenai kehidupan kami apabila ramai menganggap ibu bapa mengambil kesempatan memerah wang anak yang bekerja sebegini.

Perkara ini turut terpalit kepada kami dan mungkin dalam kebanyakan kes, ibu bapa mengeluarkan lebih banyak wang untuk (menyokong minat dan keperluan) anak-anak mereka.

Ibu bapa melaburkan wang hari ini demi menyokong minat anak mereka, membolehkan mereka menjana wang sendiri digunakan untuk ke kolej, membeli kenderaan atau rumah pada masa hadapan. Jika anda berfikir sebegitu, ia tidaklah seburuk mana,” katanya.

Abang adik-beradik kembar ini, Chase Robert, turut melibatkan diri dalam dunia peragaan melalui agensi yang sama.

Leah Rose dan Ava Marie bersama abang dan ibu bapanya

Sumber: Harian Metro

Share
Published by
Hamizatul Maizan