Tentu seronok memiliki anak kembar lebih-lebih lagi kembar tiga. Beruntung YM Tengku Puan Bendahara Perlis Datin Seri Diraja Sharifah Azura Al-Juffry apabila memiliki cahaya mata kembar tiga. Saat berkunjung ke kediaman Tengku Puan di pinggir bandar ibu kota, teruja melihat permainan yang sama dengan jumlah tiga begitu juga basikal di depan kediaman juga berjumlah tiga basikal. Bagaimana agaknya menjaga anak kembar tiga ini ketika masih kecil? Tentu mencabar bukan.
Memiliki anak kembar tiga merupakan cabaran luar biasa buat ibu muda ini. “Biasanya jika ada masa yang terluang saya untuk bermain dan berborak dengan anak-anak saya. Saya selalu ambil tahu apa sahaja aktiviti yang mereka jalankan sepanjang hari di sekolah. Anak-anak zaman sekarang begitu berbeza dengan anak-anak zaman dahulu.
Apabila mereka melihat kita ambil tahu tentang aktiviti yang lakukan secara tidak langsung mereka menghargai dan tahu bahawa kita sayangkan mereka. Ini lebih baik daripada membenarkan mereka bermain gajet setiap hari selepas pulang dari sekolah, makan dan tidur. Anak-anak saya tidak boleh menonton televisyen dan hanya boleh menontonnya pada hujung minggu sahaja. Komunikasi dua hala sangat penting dalam membesarkan anak-anak zaman era teknologi ini,” ungkap Tengku Puan sambil menghulurkan secangkir kopi yang harum aromanya.
Mencungkil cara pendidikan yang diterapkan oleh pemilik bersama Najwa Aesthetic SDn. Bhd ini, ternyata menyuntik inspirasi kepada wanita lain. “Saya juga seperti ibu lain yang ada masanya akan marah jika mereka melakukan kesilapan. Jika tidak menegur, mereka tidak akan tahu apa kesilapan yang telah dilakukan. Namun, setiap hari saya masih belajar dengan ilmu keibubapaan dan menjadi ibu yang terbaik kepada anak-anak.
Tengku Puan juga aktif dalam aktiviti kemanusiaan. Terpancar riak wajah penuh semangat setiap kali berbicara dengan isu yang dekat dengan hatinya. “Apabila diberi peluang dan ruang untuk melihat sendiri sebuah kehidupan yang tidak didendangkan benar-benar menjerut rasa. Sebagai seorang manusia yang hidup dalam sebuah negara yang aman damai, timbul rasa syukur yang amat sangat saat menyantuni mereka yang memerlukan bantuan itu. Saya pernah pergi ke sempadan Syria dan menyantuni mangsa peperangan ini dan sangat mengagumi kehebatan azam dan iktikad dalam diri mereka.
Mereka tidak pernah mengeluh atau meratapi nasib yang menimpa kehidupan malah sentiasa yakin dan positif bahawa Allah SWT sentiasa ada untuk mereka. Segala apa yang berlaku tidak akan terjadi tanpa izin dari Allah SWT dan perancanganNya sangat adil. Saya banyak belajar dan mengutip semangat dalam diri mereka untuk diri sendiri.
Saya juga pernah menyantuni golongan pekak. So, pekak ini biasanya mereka adalah genetik. Ada di kalangan anak-anak pasangan pekak ini turut menerima nasib yang sama. Cuba bayangkan mereka hidup dengan serba kekurangan dalam sebuah rumah yang agak kecil, secara tidak langsung memberi refleks dalam diri untuk bersyukur dengan kehidupan sendiri dan tidak perlu berlebih-lebih. Saya banyak belajar dengan golongan seperti mereka dan menyelami perasaan mereka demi menjalani kehidupan yang sederhana,” bicara Tengku Puan penuh semangat dan menganggap apa yang dilakukannya sebagai terapi diri.
Apabila diajukan tentang persoalan yang sering mempertikaikan tentang beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) lebih membantu masyarakat di luar negara berbanding dengan negara sendiri, bicara Tengku Puan, “Saya juga turut bersetuju dengan pandangan kita banyak membantu masyarakat luar negara tetapi tidak di negara sendiri kerana masalah di dalam negara sendiri terlalu banyak. Tetapi, sebagai seorang Muslim kita mempunyai hak untuk membantu saudara seislam di luar negara.
Masyarakat kita patut bersyukur dan tidak dapat saya bayangkan jika kita sendiri berada di tempat mereka. Masyarakat kita terlalu suka fikir perkara yang tidak akan berlaku. Sebagai contohnya, jika mempunyai anak kurang upaya, kita sering memikirkan apa yang akan terjadi kepada anak tersebut apabila sudah tiada lagi di dunia ini,” tegas Tengku Puan dalam nada suaranya.