Hobi melancong sememangnya menjadi idaman setiap indidivdu sebagai salah satu cara untuk melepaskan lelah dan melupakan seketika segala tekanan yang dihadapi dalam kehidupan harian. Melancong juga merupakan detik permulaan untuk menimba pengalaman berguna untuk dijadikan panduan serta mematangkan seseorang.
Momen percutian sememangnya indah untuk dikenang dalam lipatan kamus kehidupan setiap individu. Enggan percutian bertukar masalah dan kenangan yang pahit untuk dikenang, oleh itu persediaan awal untuk melawat ke negara luar negara amat penting untuk dilakukan.
Bagi bekas peserta rancangan memasak Masterchef yang kini bergelar chef selebriti Imelda Harris, hobi mengembara banyak membuka matanya untuk mempelajari pelbagai aspek bukan sahaja dalam dunia kulinari, malah membuka ruang untuknya mengembangkan kerjaya dalam dunia masakan. Malah, bermula dari hobi, Imelda tidak menyangka ia menjadi sebahagian dari proses ilmu buat dirinya.
“Salah satu kegemaran saya adalah berkunjung ke tempat menarik kerana setiap destinasi yang dikunjungi mempunyai keunikan tersendiri, selain dapat menyelami adat, budaya masyarakat setempat. Selain itu, kembara saya turut disertai dengan pengalaman kulinari yang indah,” ujar Imelda yang ramah bercerita mengenai pengalaman indahnya.
“Sehingga kini, saya sudah pernah berkunjung ke beberapa negara Timur Tengah antaranya termasuklah Dubai, Oman, Abu Dhabi dan Doha. Manakala di bahagian Eropah pula, saya berpeluang berkunjung ke Switzerland,France, Spain, Austria, Netherland dan Russia. Manakala destinasi percutian dalam negara saya tetap tidak lupakan kerana sudah berkesempatan berkunjung ke 14 buah negeri di Malaysia dan ia merupakan antara momen indah yang tidak dapat saya lupakan,”kata anak kelahiran Bumi Kenyalang ini lagi.
Kembara SOLO, Cara Imelda Harris Belajar Ilmu Masakan
Kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan, bagi Imelda, dia lebih gemar menggelarkan percutiannya sebagai proses mengembara kerana ia memberi ruang untuk dirinya belajar mengenai pelbagai perkara sepanjang tempoh berjalanan tersebut. Malah, Imelda pernah mencuba bercuti secara solo ke tempat-tempat yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini yang banyak membuka mata dan minda tentang kehidupan secara menyeluruh. Tambah Imelda lagi, perancangan atau membuat itenary sebelum keluar melancong adalah amat penting bagi memastikan kelancaran sepanjang perjalanan di luar negara.
“Sejak kebelakangan ini, mengembara secara solo atau backpacker bukanlah suatu yang asing bagi masyarakat negara ini. Aktiviti ini seakan menjadi obsesi kepada ramai anak muda yang ingin melihat dunia luar menerusi pandangan berbeza melalui perspektif baharu tentang dunia dan kehidupan.

Ads

Kembara SOLO, Cara Imelda Harris Belajar Ilmu Masakan
“Pada 2014, saya mengambil keputusan memberanikan diri untuk mengembara secara solo apabila melihat banyak catatan mengenai pengembaraan itu di laman-laman blog yang menyatakan cara tersebut lebih menjimatkan dan santai. Selain itu, saya mengambil inisiatif untuk menambah ilmu dalam bidang masakan dengan mengambil kursus jangka pendek di lokasi percutian tersebut.
Antara destinasi kembara secara solo yang pernah saya pergi termasuklah ke Switzerland ketika menjayakan rancangan Kembara Kulinari Imelda di Gyuera, Switzerland pada tahun 2014 untuk mempelajari teknik membuat keju dan coklat. Ia merupakan pengalaman pertama yang saya lakukan. Bayangkan saya berpeluang mempelajari cara membuat keju yang terkenal di Switzerland itu. Pengalaman empat hari tiga malam yang memberi memori indah buat saya. Syukur kerana Switzerland merupakan sebuah negara yang selamat untuk dikunjungi. Walaupun masalah bahasa menjadi faktor yang memberi impak dalam perjalanan, tetapi saya gunakan segala kemudahan dan peta untuk memudahkan perjalanan. Sememangnya saya tawakal sepanjang perjalanan. Jadi, pengembaraan secara solo tidak memberi sebarang masalah untuk saya walaupun pertama kali travel secara solo,” ujar Imelda lagi.
Saya juga pernah mencuba mengembara secara solo ke Kyoto, Jepun untuk mempelajari cara masakan Jepun selama semingggu. Kebiasaannya, saya memilih percutian secara solo apabila saya ingin mengambil kursus jangka pendek berkaitan kulinari dan masakan. Ia merupakan antara momen yang indah dalam perjalanan percutian di samping mengutip ilmu dari negara yang saya kunjungi. Pengalaman tersebut banyak memberi impak dalam kerjaya saya dan saya guna pakai dalam menjalani perniagaan berasaskan makanan.
Kembara SOLO, Cara Imelda Harris Belajar Ilmu Masakan
Mungkin tiada apa perlu dihairankan jika individu yang melancong bersendirian itu seorang lelaki, namun, lain pula halnya jika aktiviti tersebut dilakukan wanita yang membuktikan mereka mampu mengembara bersendirian. Sambil tersenyum, gadis yang mesra disapa Iem itu mengakui aktiviti tersebut banyak mengubah landskap hidupnya sebagai seorang individu berdikari dan lebih menghargai kehidupan apabila melihat sendiri cara hidup komuniti di sesebuah penempatan yang jarang diakses orang awam.
“Saya memang gemar melancong, tetapi tidak pernah menemui kepuasan sebenar apabila melakukan aktiviti berkenaan. Banyak lagi yang harus saya terokai dan pelajari di sepanjang perjalanan kehidupan. Mengembara ke luar negara banyak membuka mata dan minda dalam pelbagai perkara.Itu adalah momen berguna untuk saya kenang sepanjang hayat.
“Berbekalkan keberanian dan perancangan teliti mengenai tempat yang ingin dilawati, saya berjaya menakluk Verona Itali secara berseorangan. Baru saya sedar, cabaran berseorangan di tempat orang adalah kepuasan yang saya cari ketika melancong.
“Sejak itu, saya tidak lagi ragu-ragu dengan kemampuan untuk berkelana seorang diri ke luar negara, malah aktiviti ini menjadi hobi yang perlu saya lakukan pada setiap tahun sebagai self reward untuk diri sendiri setelah penat bekerja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ads
Ads

Kembara SOLO, Cara Imelda Harris Belajar Ilmu Masakan
Biarpun aktif pada usia yang agak lewat,berpegang kepada moto hidup “masih belum terlambat” dan akan terus melakukan apa sahaja yang diingini dan bertekad meneruskan hobi untuk memupuk nilai survivial dan kemampuan diri.
Ternyata, usaha wanita yang mengusahakan kafe Hydeout di Mont Kiara ini untuk memecah stereotaip percutian mereka yang seusianya, berbaloi.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI