Untuk menarik minat lebih ramai pembayar zakat menggunakan kaedah Skim Thohir (Skim Potongan Gaji Zakat), satu kolaborasi strategik telah dianjurkan buat kali kedua bersama CIMB Islamic Bank Berhad bagi tahun 2017.
Kali pertama kempen ini diadakan ialah pada tahun lalu bagi tempoh tiga bulan bermula 1 Oktober hingga 31 Disember yang berjaya menarik lebih kurang 2,791 pembayar zakat melalui potongan gaji.
Kempen Skim Thohir 1.0 tahun 2017 dijalankan selama empat bulan bermula April hingga 31 Julai 2017. Jumlah pembayar zakat meningkat seramai 3,684 orang. Terdahulu (tanpa kempen) bilangan pembayar zakat hanya 758 orang sahaja.
PPZ-MAIWP juga bekerjasama dengan CIMB Islamic Bank Berhad bagi kempen pembayaran zakat secara online menerusi CIMB Clicks bagi tempoh dua bulan bermula 27 Mei hingga 25 Julai 2017.
Bagi kempen ini pembayar hendaklah membayar zakat RM100 ke atas dalam tempoh kempen dan seramai 1,077 pembayar memilih saluran ini berbanding tanpa kempen tahun lalu.
PPZ-MAIWP amat berbesar hati dengan kolaborasi dan sokongan berterusan dari CIMB Islamic Bank Berhad dalam mencapai objektif kempen. Ini menunjukkan komitmen jitu dari pihak penaja terhadap sistem ekonomi Islam secara keseluruhannya.
Ia bagi menggalakkan pembayaran zakat ditunaikan sekaligus mendidik umum berkaitan zakat menerusi aktiviti turun padang dan medium promosi yang lain.
Kempen ini juga bertujuan sebagai pemakluman berkaitan fungsi PPZ-MAIWP dan Baitulmal-MAIWP sebagai pengutip dan pengagih zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Majlis pengumuman pemenang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Mohd Rais Haji Alias dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad, Encik Mohamad Safri Shahul Hamid.
Diharapkan kempen-kempen sebegini dapat meningkatkan jumlah pembayar zakat sekaligus dapat membantu dan membela nasib golongan asnaf yang memerlukan. Amy Mohd
3 PEMENANG TERATAS KEMPEN SKIM THOHIR 2017
Pertama : Nor Asmah Che Mat
Hadiah Dimenangi : Pakej Menunaikan Umrah Untuk 2 orang
Kedua : Siti Marlia Ishak
Hadiah Dimenangi : Baucer Percutian Bernilai RM5,000
Ketiga : Nur A’fiah Mohd Rushdi
Hadiah Dimenangi : Barangan Elektrik Bernilai RM3,000
3 PEMENANG TERATAS KEMPEN BERZAKAT MENERUSI CIMB CLICKS 2017
Pertama : Latipah Abdul Wahab
Hadiah Dimenangi : Wang Tunai Bernilai RM2,000
Kedua : Mohd Helmi Abdul Hamid
Hadiah Dimenangi : Wang Tunai Bernilai RM1,500
Ketiga : Ahmad Mudzakkir Ahmad Must
Hadiah Dimenangi : Wang Tunai bernilai RM1,000