Menyimpan kemas rahsia berputiknya cinta baru di hatinya selama ini, selebriti cantik manis berasal dari Sabah ini akhirnya mendedahkan detik perkenalan di antara dia dan suami tercinta, Arif Izuddin. Mengikat tali pertunangan pada Januari lalu, kesungguhan Arif yang mahu memperisterikan Bella membuatkan Duta Ariani ini terdetik untuk membuka pintu hatinya semula meskipun hanya berpeluang mengenali hati budi jejaka dari Klang, Selangor itu enam bulan lalu.
Diraikan dalam majlis resepsi indah yang berlangsung di BoraOmbak Marina Putrajaya malam tadi… rahsia percintaan Bella dan Arif didedahkan kepada tetamu yang hadir oleh pengacara majlis.
Katanya, “Mereka dipertemukan dalam tempoh yang singkat. Kenal pada September tahun lalu dan kemudian mengikat pertunangan pada Januari tahun ini dan Bella sah bergelar isteri kepada Arif pada pagi 31 Mac 2019.
Sebenarnya, Arif adalah follower setia Bella Dally di Instagram. Dia mengikuti segala perkembangan Bella di media sosial dan berjaya mendapatkan nombor telefon Bella dari seorang rakan. Hanya selepas dua ke tiga kali berhubung menerusi whatsapp, Arif nekad turun ke Kota Kinabalu semata-mata untuk bertemu Bella.”
Mungkin inilah yang dinamakan jodoh. Tanpa terlalu memikirkan apa yang bakal menanti dan berpegang kuat kepada niat ikhlas untuk mendirikan rumah tangga kerana Allah Taala… perjalanan perkahwinan mereka berjalan dengan lancar.
Mengimbas kembali momen awal perkenalan, Bella menyifatkan suami tercintanya itu seorang yang lucu. Enggan bercinta lama, Bella meminta Arif untuk segera bertemu keluarganya jika benar-benar mahu memperisterikan beliau. Atas izin Allah, impian bergelar suami isteri dimakbulkan Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Arif yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik dan juga ahli perniagaan… menghadiahkan mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin Bvlgari buat suri hatinya Nabilah Ali Dally atau lebih dikenali Bella Dally.
Majlis resepsi yang diadakan pada sebelah malam, pengantin perempuan tampil menawan dalam persalinan unik Mimpi Kita yang menggabungkan seluar panjang dan gaun kembang putih. Tidak kurang juga Arif, yang segak mengenakan tuxedo Bon Zainal berwarna maroon. Diiring masuk dengan instrumen muzik romantis, baik Bella mahupun Arif kedua-dua mempelai kelihatan bahagia di atas pelaminan.
Antara rakan artis yang meraikan majlis bersejarah Arif dan Bella termasuklah Che Puan Syamim Farid, Amyra Rosli dan suami, Amar Bahrin, Siti Elizad, Mira Filzah, Betty Rahmad dan ramai lagi.
Harapan Nona agar perkahwinan yang dibina kekal hingga ke jannah dan dikurniakan zuriat comel sebagai penyeri rumah tangga kelak. Tahniah dan selamat pengantin baru!