Kecoh satu Malaysia apabila baru-baru ini tular di laman sosial gambar yang memaparkan pasangan warga Rusia, Angela Nikolau dan Ivan Beerkus memanjat Menara Merdeka 118 bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia.
Gambar tersebut telah dimuat naik di online forum SkyscraperCity.com pada 27 Disember 2022. Dua hari kemudian, kedua-duanya mengesahkan tentang aksi tersebut di Instagram. Ia memaparkan rakaman video ketika mereka berada di puncak menara yang masih dalam pembinaan itu sehingga mengundang kecaman warga maya.
Ketika berjaya menawan puncak menara ikonik yang memiliki ketinggian 678.9m itu, Angela Nikolau dengan bersahaja mempamerkan aksinya yang meliuk lintuk sambil tersenyum bangga.
Mereka dikatakan sangat terkenal dengan aksi ‘berani mati’ kerana gemar memanjat bangunan-bangunan tinggi sambil melakukan lagak ngeri dan ber’selfie’.
Pasti ramai yang nak tahu siapa sebenarnya Angela Nikolau ini, kan?
Gadis berusia 29 tahun yang dikenali sebagai Nikolau ini sebenarnya dah lama aktif dengan aktiviti pendakian ekstrem dan sering memuat naiknya di Instagram. Dia dikatakan gemar memanjat bangunan-bangunan tinggi sekadar untuk memenuhi kehendak seni dan karyanya.
Memetik laporan BBC News, Angela Nikolau merupakan anak kepada pasangan penghibur sarkas. Ternyata, kelenturan tubuhnya ketika melakukan aksi-aksi ekstrem diwarisi daripada ibu bapanya.
Kata Angela Nikolau, ibu dan bapanya tidak pernah menghalang hobi ekstremnya itu malah sering memberi nasihat agar sentiasa berhati-hati.
Ketika berusia empat tahun, Angela Nikolau pernah menyertai kelas gimnastik. Menurutnya, aktiviti ini sangat membantu ketika mendaki dan melakukan aksi berisiko tinggi.
“Saya mula gemar memanjat ketika di sekolah menengah. Waktu itu saya tidak mempunyai kamera atau telefon bimbit.
“Pada 2013, saya bertemu dengan orang yang mempunyai hobi sama dan mereka mula membawa saya ke depan. Kemudian barulah saya dapat membeli kamera aksi dan kerap menyiarkan gambar saya di Instagram.”
Selain sering diundang oleh stesen-stesen televisyen, Angela Nikolau juga memperoleh pendapatan dari beberapa penaja yang bekerjasama dengannya seperti syarikat pengeluar kamera dan fesyen.
“Saya pernah takut dengan ketinggian, tetapi sekarang tidak lagi. Bersama teman lelaki, kami berjaya mendaki bangunan tertinggi di China setinggi 640 meter.”
Angela Nikolau yang menetap di Moscow ini menyatakan, setakat ini dia masih tahu batas-batas dan tidak akan bertindak secara melulu jika merasa ragu-ragu. Katanya, bukan selalu aksi-aksi itu dipamerkan di media sosial.
“Kadang-kadang saya memanjat bangunan tanpa kamera. Hanya kerana untuk melihat matahari terbit atau terbenam.”
Walau apa pun, jangan sesekali ditiru aksi berbahaya ini. Fikir dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan, baik atau buruk. Jangan hanya kerana ‘content’ dan mengejar jumlah view serta populariti kita sanggup menggadaikan nyawa sendiri.
Kredit Foto: Instagram Angela Nikolau
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona