Seiring bertambahnya usia, ulang tahun bukan lagi saat untuk bergembira seperti ketika kita masih di zaman kanak-kanak mahupun remaja. Kita seharusnya mula beradaptasi dengan setiap perubahan yang berlaku terhadap tubuh seiring bertambahnya usia.
Ketahuilah bahawa dengan mengenali perubahan-perubahan yang terjadi pada tubuh dapat membantu kita untuk bersiap sedia seterusnya lebih menyayangi tubuh kita sendiri.
USIA 30-AN
Secara semulajadi, proses berkurangnya hormon adalah bermula pada usia 30-an. Kadar metabolisma akan menurun sekurang-kurangnya empat ke lima peratus pada setiap tahun. Manakala berat badan pula akan semakin bertambah meskipun seseorang itu rajin bersenam mahupun sentiasa menjaga pola pemakanannya agar tidak berubah sejak usia 20-an.
Peratusan lemak tubuh pula mencapai 25 peratus yang biasanya terkumpul di bahagian punggung, paha dan perut. Lemak ini sangat penting semasa kehamilan namun setelah melahirkan lemak-lemak ini akan lebih cenderung untuk terkumpul di sekitar perut bahagian bawah. Selain itu, terjadinya juga pengurangan massa otot.
Pembentukan sel kulit baru turut berkurangan saat melebihi usia 35 tahun. Ketika ini munculnya kedutan-kedutan terutama jika seseorang itu gemar merokok serta sering terdedah atau kerap bekerja di bawah sinaran matahari tanpa memakai krim tabir suria secara teratur sejak usia 20-an.
Pada awal hingga pertengahan 30-an, kaum wanita akan mudah mencapai puncak seksualitinya atau orgasme. Ini adalah kerana terdapatnya rasa percaya diri, percaya pada pasangan serta akumulasi pengalaman.
USIA 40-AN
Usia ini merupakan fasa di mana kaum wanita yang memiliki anak sibuk dengan aktiviti mendidik serta merawat. Metabolisma akan terus menurun. Tanpa senaman yang teratur tubuh akan kehilangan sekurang-kurangnya 250 gram massa otot setahun, sementara lemak pula akan bertambah tiga kali ganda.
Disebabkan oleh kadar estrogen yang terus menurun, kolagen atau protein berisi serat halus dan elastin iaitu protein yang membentuk bahagian utama jaringan serat elastik pada kulit berkurangan sehingga kulit mulai mengering, tidak anjal seterusnya semakin banyak kedutan yang muncul. Berkurangnya elastisiti turut terjadi pada kanta mata yang menyebabkan menurunnya daya penglihatan.
USIA 50-AN
Usia ini merupakan bermulanya fasa menopaus bagi kaum wanita. Ketika ini terdapat segelintir kaum wanita yang mengalami gangguan-gangguan seperi insomnia, mood swing, hot flush dan mudah lupa. Menurunnya kadar estrogen akan menstimulasi pengumpulan lemak pada bahagian perut, paha, punggung, cuping telinga, pipi dan bagian bawah mata. Namun, pada beberapa bahagian contohnya hypodermis atau lapisan bawah kulit, lemak terhakis sehingga kulit mengendur serta menipis.
Menopaus juga menyebabkan dinding vagina kering dan kehilangan elastisitinya yang boleh
menimbulkan rasa sakit ketika berhubungan intim. Kadangkala, terjadinya melecet akibat tergesel.
USIA 60-AN
Sekiranya pengambilan kalsium mencukupi sebelum ini, tubuh akan lebih lambat mengalami masalah fizik. Wanita yang kekurangan kalsium serta tidak bersenam mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat osteoporosis di mana hilangnya kepadatan tulang.
Hilangnya kadar estrogen turut menyebabkan rambut kian menipis. Namun begitu, rambut di bahagian-bahagian lain menebal serta berwarna lebih gelap. Sel-sel kulit turut kehilangan kemampuan untuk memperbaiki diri sehinggakan sel kulit mati pada wajah tidak lagi sekata. Akibatnya, sinaran matahari akan lebih mudah meninggalkan noda hitam pada wajah.
Sementara berat badan pula mungkin akan berkurangan atau tetap kerana metabolisma tubuh menurun serta nafsu makan juga berkurangan. Minat untuk melakukan hubungan intim juga merosot, dan jika tidak melakukan hubungan intim dalam jangka masa yang lama vagina akan menyusut dan kering.
This website uses cookies.