Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman telah dinamakan sebagai Perdana Menteri negara itu yang baharu. Ia merupakan sebahagian daripada rombakan kabinet, yang telah diperkenan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud pada Selasa, menerusi pengumuman oleh TV Al Ekhbariya.
Dan baru-baru ini, nama putera Arab Saudi menjadi bualan selepas khabarnya baginda akan menghadiahkan setiap seorang pemain Arab Saudi sebuah kereta jenama Rolls Royce Phantom kepada setiap pemain sebagai ganjaran atas kerja keras yang ditampilkan oleh mereka sewaktu pertembungan sengit menentang Argentina pada aksi pembukaan kumpulan C temasya Piala Dunia 2022 Qatar.
Selain Mohammed, Timbalan Menteri Pertahanan yang juga seorang lagi anak Raja Salman, iaitu Putera Khalid, telah dinamakan sebagai Menteri Pertahanan, mengambil alih portfolio yang sebelum ini disandang abangnya. Mohammed sebelum ini merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Selain itu Al Ekhbariya menyebut, rombakan kabinet turut melihat Putera Mansour bin Mutaib bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Abdulaziz bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, masing-masing kekal sebagai sebagai Menteri Dalam Negeri dan Menteri Tenaga.
Ini antara beberapa fakta menarik tentang baginda.
1. Pada 6 April 2008, Mohammed bin Salman berkahwin dengan sepupunya, Sara binti Mashour. Dia adalah anak perempuan Mashour bin Abdulaziz, bapa saudara Mohammed bin Salman.
2. Hasil perkahwinannya dengan Sara, Mohammed bin Salman mempunyai lima anak, tigalelaki dan dua perempuan. Mereka ialah Putera Salman, Putera Mashur, Puteri Fahda, Puteri Noura dan Putera Abdulaziz.
3. Mohammed bin Salman melanjutkan pengajiannya di Universiti King Saud, Riyadh, Arab Saudi. Baginda mengambil jurusan undang-undang.
4. Mohammed bin Salman memiliki sekurang-kurangnya 18 kereta mewah. Kereta termurah ialah Range Rover Sentinel dengan harga $500,000.
5. Bapa Mohammed bin Salman, Raja Salman memintanya membaca satu buku setiap minggu. Ini menjadikan Mohammed bin Salman seorang pengumpul buku bacaan yang berkualiti. Malah dikhabarkan dia mempunyai bilik khas untuk membaca buku.
30 Tahun Jadi Anak Seni, Datuk Nora Ariffin Bakal Adakan Konsert Solo Buat Julung Kali
Bukan tempoh yang singkat, 30 tahun jadi anak seni, akhirnya Datuk Nora Ariffin bakal adakan konsert solo buat julung kali pada Disember ini.
Tiga dekad melayari perjalanan sebagai anak seni dan mempunyai 18 album solo serta kompilasi, Datuk Nora Ariffin boleh dikatakan antara penyanyi popular negara, sebaris nama besar selebriti tempatan yang masih unggul sehingga ke generasi hari ini.
Dalam tempoh yang bukan singkat dalam industri hiburan, seharusnya pelantun lagu hits ramai Renungan Terakhir ini dan Juara Bintang HMI 1991, sudah berpengalaman beraksi dalam konsert solonya sendiri.
Cuma sehingga kini, penyanyi kelahiran Kelantan ini masih belum meraih peluang tersebut akibat kesukaran mendapatkan penaja dan mengakui turut rasa terguris serta hampir berputus asa, apatah lagi tatkala menyaksikan pendatang baharu yang mudah tampil dengan konsert sendiri.
Namun, program Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik yang ditawarkan oleh Kementerian Komunikasi kembali membuka pintu harapan Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, dengan memberi dia peluang memohon geran bagi membiayai penganjuran konsert solonya.
“Selepas pemergian suami tercinta, Allahyarham Johan Nawawi yang juga komposer pada 2017, saya hampir putus asa untuk mengimpikan sebuah konsert solo kerana hilang tempat bergantung selain beberapa kali kertas kerja berkaitan konsert dikemukakan kepada pihak tertentu ditolak.
Meskipun ada cabaran, Alhamdulillah dikelilingi orang-orang baik dan keyakinan mereka terhadap saya, maka perancangan mengadakan konsert solo pertama dapat direalisasikan menerusi kelulusan geran tersebut. Sekian lama menunggu saat ini, saya pasti akan berikan yang terbaik untuk para peminat saya,” katanya.
HANYA SATU
30 tahun jadi anak seni, akhirnya Datuk Nora Ariffin bakal adakan konsert solo buat julung kali pada Disember ini. Ditemui pada sidang media konsert itu baru-baru ini, Nora yang pernah mencatat fenomena menerusi album pertamanya, berjudul Sandiwara yang terjual sebanyak 100,000 unit dan turut mempunyai peminat di Brunei dan Indonesia ini, akan beraksi dengan konsert solo pertamanya pada 18 Disember depan.
Berjudul ‘Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey)’, pastinya konsert itu akan menjadi tumpuan peminat penyanyi kesayangan ramai ini setelah sekian lama menanti untuk menyaksikan persembahan serta kehebatannya beraksi secara langsung, mengalunkan lagu bergenre pop, balada dan R&B.
“Apabila dapat tahu permohonan geran kerajaan diluluskan, ia umpama semangat dan pendorong kuat kepada saya dan pasukan untuk meneruskan perancangan konsert walaupun risau ada kekangan lain selepas ini.
Saya amat menghargai bantuan kerajaan dalam memberi peluang kepada artis-artis seangkatan saya untuk mengadakan konsert solo, sekurang-kurang sekali dalam seumur hidup sebagai anak seni,” kata Nora yang merakam lebih 100 buah lagu sepanjang kariernya dalam industri muzik negara.
Sementara itu, pengurus konsert Alita Aris berkata, pemilihan PJ Pac sebagai lokasi konsert Nora adalah kerana pihaknya menginginkan konsert yang eksklusif buat peminat setia serta penyokong tegar penyanyi itu sejak 30 tahun lepas.
Katanya, konsert berkenaan juga akan mendapat sentuhan individu berpengalaman yang tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air seperti Jennifer Thompson sebagai pengarah persembahan dan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.
Berdurasi dua jam, Nora akan mengalunkan sebanyak 17 lagu popular dan malar segar daripada 18 albumnya, antaranya, Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir, Jentayu dan banyak lagi.
Istimewanya juga, pada konsert ini akan diadakan segmen khas ‘Tribute to Johan Nawawi’ sebagai penghormatan kepada Allahyarham yang menjadi tonggak kejayaan dalam kerjaya Nora sebagai penyanyi.
Tiket konsert boleh didapati di wwww.onetix.com.my pada harga RM108 hingga RM518, dibawa khas oleh syarikat Nora, Johan Nawawi Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/hidayah-itu-mahal-ivan-gunawan-julung-kali-reka-busana-sopan-tertutup/
Tragedi RUMAH TERBUKA, Kaum Wanita Patut Ambil Iktibar!
Bait-bait lagu Tan Sri P Ramlee menyergah petang yang damai, “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa, hampa”. Ahh, rindu aku pada Zaleha, aku rindukan gelak tawanya, gurau sendanya, lebih-lebih lagi keletah manjanya. Masih aku ingat saat perkenalan kami di rumah terbuka seorang teman. Dia kelihatan begitu anggun berbaju kebaya merah, rambutnya yang diikat rapi menyerlahkan lagi wajah mulusnya. “Cantiknya dia ni.” getus hati kecil ku. Siapa sangka perkenalan kami di situ membawa aku ke mahligai cinta. Saat awal perkahwinan semuanya indah, namun satu perkara yang aku tidak pernah tahu tentang dia, kompetitif! Suka membanding-bandingkan. Lama aku bersabar dengan sikapnya yang tidak suka kalah dari segala segi, penampilan, gaya dan apa sahaja yang dilakukan. Kesabaran aku sampai ke kemuncak dan aku menangis saat jatuhnya talak! Allahuakbar!
Segala-galanya bermula Ramadan tahun lalu, satu bulan yang amat aku nanti-nantikan. Umat Islam menadah syukur kerana dipertemukan dengan bulan penuh keberkatan ini. Aku? Bukan bulan biasa, bulan ini memberi aku satu ujian yang maha besar. Tibanya Ramadan, Zaleha bukan sibuk menggandakan ibadah, puas aku mengajaknya ke masjid namun ditolak mentah-mentah. “Alah abang malaslah saya nak pergi masjid, abang pergilah seorang. Bukannya saya ada kawan pun kat masjid tu. Saya solat kat rumah je.” Ujar Zaleha.
Bak kata lirik, kerana sayang aku turutkan, itulah aku. Namun jika ada majlis di masjid, Zalehalah yang paling berkobar-kobar, namun bukan kerana ibadah, semuanya untuk menunjuk-nunjuk juadah yang disediakan, segala-galanya over the top. Dari baju ke persalinan sembahyang semuanya berlebih. Bila ditegur dia melenting. “Alah abang ni, saya pakai cantik-cantik buat makanan yang mahal-mahal nak hidang ni abang juga yang bangga, orang puji saya.” Rungut Zaleha. Sayang, tahukah engkau aku mahu engkau seperti isteri-isteri yang lain, bersederhana dari segala segi. Tahukah engkau ramai yang merungut dan meluat dengan sikap mu yang suka menunjuk-nunjuk?
Semakin hampir dengan Ramadan, satu perkhabaran buruk singgah di meja. Syarikat mengalami masalah kewangan dan perlu ditutup. Satu perkara yang tidak aku sangka akan terjadi sebelum tibanya hari lebaran. Pulang ke rumah, aku khabarkan perkara ini kepada Zaleha. “Sayang, I just lost my job, everybody in my company. Syarikat I akan ditutup.” Luah aku pada Zaleha, mengharap suntikan semangat darinya. “What? U kene berhenti? Habis tu macam mana? Ehh kita ada duit lagikan? Siapa nak beli barang-barang persiapan raya. U jangan buat hal. Tahun ni I nak buat rumah terbuka besar-besaran. I dah bagi tahu kawan-kawan I semua tau!” Tegas Zaleha.
Tersentak jantung mendengar kata-kata Zaleha, bukannya tiupan semangat yang aku peroleh, malah amaran pula yang aku terima. Aku menerangkan kepada Zaleha, jangan risau kerana masih punya simpanan, namun harus berjaga-jaga kerana sekarang aku menganggur dan bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman yang mana ekonomi tidak menentu.
Lebaran hampir tiba, Zaleha hampir setiap hari keluar mencari barangan untuk rumah terbuka. Dengan hiasan rumah baru, tempahan perabot baru. Aku bertanya, “Sayang, kenapa membazir sangat, kan masih elok semua barang-barang yang sedia ada?” Dia hanya menjawab “Abang, saya guna duit saya tau, nak harapkan abang tak merasalah saya nak buat rumah terbuka besar-besaran. Dah la tu, bila saya suruh keluarkan wang simpanan abang tak mahu. Jadi jangan ambil tahu mana saya dapat duit ini semua.” Ya, semestinya itu duit yang aku berikan setiap bulan sebagai duit poket mu.
Lebaran tahun ini di sambut meriah di kampung, tiba sahaja hari kedua, Zaleha tidak senang duduk. Dia mahu pulang cepat ke rumah bagi menyiapkan persiapan rumah terbuka impiannya. ‘’Sayang, I tak puas lagi beraya kat kampung,” ujar ku kepada Zaleha. “Eh abang ni, macam budak kecil, lain kali kita balik lah lagi.. Lagipun dah rimas dah saya kat kampung ni. Saya nak balik, nak siapkan segalanya untuk rumah terbuka kita,” bebel Zaleha.
Tiba hari rumah terbuka, khemah dipasang seperti kenduri. Zaleha menjemput rakan-rakannya yang terdiri daripada kalangan VIP. Memang segala-galanya sempurna, hidangan yang begitu panjang mengalahkan bufet di hotel. Hati sedikit hairan memikirkan bagaimana Zaleha boleh mengadakan majlis sebesar ini. “Banyak sangat ke duit yang aku berikan setiap bulan sampai boleh buat majlis besar seperti kenduri?” Zaleha begitu bangga mendabik dada, bermegah-megah dengan teman-temannya yang kagum dengan majlis yang diadakan.
Aku tahu, Zaleha mahu menunjuk kepada teman-temannya yang rata-rata anak-anak orang kenamaan. Usai majlis aku sekali lagi bertanya lembut kepada Zaleha, “Sayang boleh abang tanya? Banyak sangat ke duit yang sayang simpan sampai boleh buat rumah terbuka macam kenduri ni? Paling tak makan belanja dua puluh ribu ni.” Zaleha hanya menjawab ringkas, “Alah abang, abang tak tengok ke semua orang kagum dengan kita? Maruah kita juga yang jadi tinggi kan? Kalau saya ambil duit abang pun tak salahkan? Bukannya habis pun!” Aku hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata sinis isteri ku itu.
Hujung bulan tiba, seperti biasa bil-bil mendatang dan aku terkejut melihat bil kad kredit yang melambung tinggi. Bulan lepas penggunaan mencecah 22 ribu ringgit!! Mata aku seakan berpinar dan terkejut, tidak pernah aku menggunakannya seperti itu. Lantas aku teringat kata-kata Zaleha. Aku seperti orang gila dan terus menyergah isteriku itu, “Leha, u guna kad kredit I untuk rumah terbuka?” Dia hanya menjawab selamba, “Eh, salah ke saya nak guna, sayakan isteri abang! Lagipun abang dah ada kerja kan.. Bayar je la!”
Saat itu tahap kesabaran telah meninggi dan dengan lancarnya mulut ini berkata “ Zaleha binti Zaidi, aku ceraikan engkau dengan talak satu!” Saat itu wajah Zaleha berubah dan dia terjelepok ke lantai seperti orang meroyan. “Abang gila ke ceraikan saya, mana saya nak pergi. Saya sayangkan abang!!”
Sayang-sayang buah kepayang, tidak akan aku makan Zaleha. Aku berlalu pergi meninggalkan rumah demi mencari kedamaian. Kini lebaran tiba lagi, dan aku pasti teringat peristiwa itu. Dengarnya Zaleha ligat mencari kekasih baru, tetapi sayang semuanya tidak setia padanya. Selamat tinggal Zaleha, semoga Allah memelihara kesejahteraan.
‘Dia Hanya Lelaki Biasa’ Siapa George Floyd Hingga Rakyat Amerika Merusuh Tunjuk Perasaan?
Kematian George Floyd, 46 tahun, telah mencetuskan insiden rusuhan dan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat, dengan mesej supaya keganasan pihak polis dihentikan.
Mendiang meninggal dunia selepas seorang pegawai polis melutut di atas lehernya lebih daripada 8 minit dalam keadaan mangsa tertiarap.
“Saya tak boleh bernafas” itu kata-kata terakhir Floyd.
PENYEBAB KEMARAHAN
George Floyd hanya seorang lelaki berkulit hitam biasa, tapi dengan jiwanya yang besar. Nama ini mula viral sejak beberapa hari lepas apabila lelaki tidak membahayakan itu menjadi mangsa keganasan pihak polis di Minneapolis.
Floyd dilahirkan di North Carolina, membesar di Texas dan berpindah ke Minneapolis selepas dibebaskan dari penjara. Dia digelar ‘gergasi yang tidak berbahaya’ (A Gentle Giant) dan sepanjang masa dilihat cuba untuk memperbaiki hidupnya.
Bekerja sebagai pemandu trak dan pengawal keselamatan di sebuah restoran Amerika Latin iaitu Conga Latin Bistro, sifat penyayang Floyd selalu dikenang oleh orang ramai.
“Dia sanggup buat apa saja untuk menolong orang lain,” ujar adiknya, Bridgett Floyd.
Nama ‘Big Floyd’ adalah gelaran lelaki ini di kalangan ahli keluarga serta rakan-rakannya. Mendiang merupakan bapa kepada seorang anak perempuan berusia 6 tahun yang kini tinggal dengan ibunya, Roxie Washington, di Texas.
“Dia juga adalah bapa yang baik” Roxie Washington
Tunang Floyd, Courteney Ross, turut berkongsi perasaannya yang patah hati dengan kematian kekasihnya. “Dia sangat menyayangi bandar ini. Dia datang dan tinggal di sini kerana suasananya, penduduknya dan peluang pekerjaan yang ada.”
Seperti filem Hollywood, George Floyd merupakan seorang atlet sukan bola keranjang dan American Football yang bagus. Selepas berhenti sekolah, dia menghasilkan muzik dan menubuhkan sebuah kumpulan hiphop bernama Screwed Up Click.
Menurut dokumen Mahkamah, George dituduh pada tahun 2007 atas jenayah rompakan bersenjata dalam satu pencerobohan rumah. Mendiang pernah dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.
Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut banyak menginsafkan George Floyd. Dalam satu video, mendiang pernah dirakam menentang keganasan senjata api dengan mesejnya, “Generasi muda kita jelas sekali hilang kawalan diri.”
TERBUNUH
Tanggal 25 Mei lepas, lelaki itu telah ‘direbahkan’ di atas jalan raya oleh seorang pegawai polis, Derek Chauvin, kerana disyaki menggunakan wang kertas $20 palsu di sebuah kedai.
Dalam rakaman tangkapan itu, kedengaran suaranya… “Saya tak boleh bernafas!” beberapa kali dengan sayup dan perlahan. Mendiang kemudiannya diangkat ke atas pengusung dan dibawa pergi menaiki ambulans.
Dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Melalui gabungan video yang dirakamkan oleh orang awam dan kamera keselamatan, kronologi kematian George Floyd diteliti secara terperinci.
Menurut kenyataan polis, penahanan itu disebabkan tindak balas pegawai mereka terhadap satu laporan penggunaan wang palsu di sebuah kedai. Ini mendorong beberapa orang pegawai polis mendekati kenderaan yang disyaki dan mendapati suspek sedang berada di dalam kereta.
Walaupun pada awalnya dilihat masih mengikuti standard kepolisian Jabatan Polis Minneapolis, ia kemudiannya berubah menjadi insiden maut apabila pegawai polis menekan lututnya di atas leher George Floyd selama 8 minit 46 saat.
Ini menyebabkan mendiang sukar bernafas walaupun dia dan orang sekeliling meminta pertolongan supaya ‘tekanan lutut’ itu dilepaskan.
Sehari selepas kematian George Floyd, semua keempat-empat pegawai polis yang terlibat telah dipecat oleh Jabatan Polis Minneapolis.
3 hari kemudian, peguam Mike Freeman mengumumkan tuduhan membunuh ke atas Derek Chauvin, pegawai polis yang menyebabkan kematian George Floyd. Tiga lagi pegawai, Thomas Lane, J. Alexander Kueng dan Tao Thao, masih dalam siasatan.
Mengejutkan kerana menurut seorang bekas pemilik bar El Nuevo Rodeo, mangsa dan suspek pembunuh (George Floyd dan Derek Chauvin) pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat dan masa yang sama!
Mungkinkah pembunuhan ini berunsurkan dendam?
PUNCA KEMATIAN
Satu bedah siasat yang diatur keluarga mendiang George Floyd mendapati mangsa dilemaskan oleh seorang anggota polis Amerika Syarikat (AS), berbeza dengan punca didakwa pihak berkuasa sebelum ini, iaitu masalah berkaitan jantung.
Peguam keluarga itu, Ben Crump pada Isnin berkata, bedah siasat bebas oleh pemeriksa perubatan pada Ahad mendapati, kematian Floyd berpunca akibat lemas, yang disebabkan oleh tekanan pada bahagian tertentu.
Pengarah Autopsi dan Sains Forensik di Universiti Michigan, Aleccia Wilson, berkata beliau memeriksa mayat mendiang Floyd.“Bukti yang diperoleh adalah kematian itu konsisten dengan lemas buatan, dan kes ini dianggap sebagai pembunuhan,” katanya pada sidang media.
ISYTIHAR PERINTAH BERKURUNG
Peristiwa yang dianggap menindas bangsa kulit hitam di Amerika Syarikat itu telah menimbulkan kemarahan luar biasa.
Perintah berkurung telah dilaksanakan di New York berikutan perusuh menyerbu masuk gedung di pusat Manhattan dengan mensasarkan beberapa kedai jenama terkemuka di bandar raya itu.
Gedung fesyen Michael Kors di Fifth Avenue antara butik berjenama yang terjejas, selain Nike, Lego dan beberapa kedai elektronik.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang rumahnya di New York berada dekat dengan pusat beli belah itu, membuat ciapan di Twitter, semalam untuk menuntut pemimpin tempatan ‘bertindak pantas’ dan memanggil anggota tentera.
Beberapa bandar utama di AS telah mengerahkan anggota tentera dalam menghadapi tunjuk perasaan terhadap kekejaman polis berikutan pembunuhan Floyd ketika dalam tahanan polis di Minneapolis minggu lalu.