Kagum dengan kecekalan Datuk Mastura Tan Sri Mohd Yazid! Bergelar ibu tunggal nyata bukan satu tugas mudah. Namun ibu ini bertuah kerana dikurniakan empat anak lelaki penyayang. Sekaligus menjadi ‘pengganti’ arwah suami tercinta dan ‘kekuatan’ dalam mendepani kehidupan.
Meskipun tanpa kelibat bapa dan suami tercinta di sisi namun kehidupan Datuk Mastura dan anak-anak terus bahagia di samping menantu dan cucu tersayang.
Baru-baru ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut memuat naik foto sempena ulang tahun kelahiran arwah suami tercinta.
“It’s Allahyarham Dato Wan’s 63rd birthday today (16th January 1960). Al Fatihah.”
Sejak pemergian Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad ke rahmatullah pada 5 Mei 2016, keempat-empat anak lelaki yang menggalas tanggungjawab arwah suaminya.
Biarpun tiada lagi suami untuk menjadi tempat mengadu dan bergantung, Datuk Mastura positif menempuh hari-hari mendatang.
Malah, ke mana saja dia pergi pasti kelibat empat anak tersayang sentiasa berada di sisi. Menjaga ibu mereka dengan penuh kasih sayang dan perhatian, anak sulung Datuk Mastura yang juga suami Mira Filzah ini komited menggalas tanggungjawab sebaiknya.
Suami Datuk Mastura yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit (MPOB) meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei 2016.
Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong dalam penerbangan ke Kuching yang kali terakhir berhubung dengan menara kawalan setelah tiga minit berlepas.
Datuk Mastura dan Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar dikurniakan empat anak lelaki iaitu Wan Emir Astar, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Amar.