Peluang menata rias Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pastinya menjadi antara momen terindah buat Bee Ramza sepanjang bergelar jurusolek. Mana tidaknya, bukan calang-calang makeup artist dapat peluang seperti itu apatah lagi menjadi jurusolek Baginda.
Berkongsi kenangan istimewa itu di media sosial, Bee Ramza atau nama sebenarnya Robaeha Ramza Ramli turut menata rias hijab Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
“Sekitar Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, 20 Julai 2024. Ampun Tuanku. Junjung kasih atas limpah perkenan Tuanku untuk patik menabur khidmat sebagai jurusolek Tuanku dan menjadi sebahagian daripada hari yang penuh bersejarah.
Semoga Tuanku sentiasa dipanjangkan usia dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan. Aamiin.
Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku. Persalinan istiadat oleh Dato’ Radzuan Radziwill, solekan dan tatarias hijab oleh Bee Ramza.”
Sepanjang lebih sedekad dalam dunia solekan, wanita kecil molek asal Kota Bharu ini sering menjadi pilihan selebriti terkenal seperti Datin Lisa Surihani, Ain Edruce, Nabila Razali dan ramai lagi.
Menelusuri latar belakang Bee Ramza, dia merupakan seorang yang berpelajaran tinggi dan anak seorang doktor. Dia juga seorang graduan Pusat Pengajian Sains Kajihayat (Biologi) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Anak kepada arwah Dr Hj Ramli Hj Idris ini mula mendekati dunia solekan selepas aktif menyertai aktiviti kebudayaan dan teater di sana.
“Alhamdulillah, keluarga saya menerima dengan baik pilihan kerjaya saya walaupun pada mulanya majoriti menyuruh saya menyambung pelajaran supaya saya tak meneruskan niat menjadi jurusolek.
Pada awalnya saya menjadi jurusolek cuma pada hari minggu dan bekerja sepenuh masa pada hari biasa sehingga saya mengambil keputusan untuk menjadi jurusolek sepenuh masa selepas mendirikan rumah tangga.”
Bukan hanya menjadi jurusolek, Bee Ramza juga berjaya membuka sebuah studio di Shah Alam dan menjual contact lens jenama Lavue.
Moga Bee terus sukses dalam bidang yang diceburi dan menjadi inspirasi kaum wanita untuk berjaya.