Kagum betul dengan semangat dan kesungguhan usahawan muda berusia 31 tahun ini. Menjadi pengedar terawal dan terbesar di Malaysia bagi jenama hijab antarabangsa terkenal dari Labenon, Bokitta telah membuktikan kemampuan anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Sebelum ini Haizrene pernah bekerja di salah sebuah bank selama tiga tahun tetapi akhirnya dia mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi mencabar diri dalam bisnes yang dibuat secara kecil-kecilan.
“Semasa saya ambil keputusan untuk berhenti kerja, ramai yang sangsi dan tak yakin dengan keputusan itu. Mereka seolah-olah memandang rendah dengan kemampuan saya. Orang kata, dah ada kerja yang stabil tapi tetap nak buat bisnes yang tak tahu untung ruginya lagi. Tapi saya nekad dan percaya dengan diri sendiri.
Kata-kata negatif itu saya jadikan pembakar semangat. Saya letakkan niat yang betul untuk berniaga dengan ikhlas serta jujur agar rezeki lebih diberkati. Yang penting orang terdekat dengan saya iaitu suami dan keluarga tak pernah putus memberikan sokongan serta doa demi kejayaan saya dalam perniagaan.
Lagipun saya minat bisnes sejak di universiti lagi. Waktu tu saya berniaga kecil-kecilan saja. Maka, niat saya ialah untuk kembangkan lagi minat di samping mahu membantu orang lain. Inilah salah satu faktor saya menjadi lebih bersemangat untuk menceburkan diri dalam perniagaan secara serius. Alhamdulillah Allah SWT Maha Mendengar dan permudahkan impian saya.
Tahun 2013 saya mulakan bisnes Bokitta secara sepenuh masa dan menjadi yang terawal memperkenalkan jenama Bokitta di Malaysia.,” kongsi Haizrene yang memiliki seorang anak berusia dua tahun.
“Saya tertarik dengan Bokitta kerana ia berbeza dengan selendang biasa dan ia sesuatu yang baharu. Maka, untuk kekal dalam bisnes saya sentiasa mencari kelainan khususnya dalam penggayaan hijab yang masih berpaksikan kepada syariat. Saya yakin jenama Bokitta mampu pergi lebih jauh lagi pada masa hadapan. Alhamdulillah kini saya mempunyai dua butik fizikal Bokitta yang terletak di Wangsa Maju dan Bangi Sentral.
Saya bersyukur kini jenama Bokitta kian mendapat tempat di kalangan wanita Malaysia. Dan barulah saya nampak persaingan instant shawl
daripada jenama-jenama lain.Bagi saya persaingan sihat itu penting dalam bisnes kerana ia menjadi inspirasi buat saya untuk lebih maju ke hadapan seterusnya memberikan khidmat yang terbaik buat semua.Nasihat saya khususnya buat generasi muda yang berhasrat menceburkan diri dalam perniagaan ialah jika minat itu ada tidak salah untuk mencuba. Jangan mudah putus asa kerana kejayaan itu bukan datang bergolek,” akhiri graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan & Multimedia ini.
Kredit Foto: @haizrene
This website uses cookies.