YAM Raja Saidatul Mardiah binti Almarhum Sultan Idris Shah A’Fifullah sememangnya nama yang sinonim dalam sukan permotoran suatu ketika dahulu.
Beliau bergiat aktif dalam sukan permotoran sehingga pernah dinobatkan sebagai wanita pertama yang memenangi Pertandingan PanGlobal Alex Yoong F1 Driver Search pada tahun 2005 dengan catatan masa terpantas di litar.
“Apabila sudah berada di belakang stereng kereta, perasaan takut mula hilang dan timbul pula rasa seronok mahu mencabar kemampuan diri.
Bayangkan, jika berlumba di litar lumba, keadaan trek yang panas serta deruman enjin kenderaan yang panas memberi rasa tidak selesa terutamanya untuk wanita.
Tetapi keadaan itulah sebenarnya menguji minda dan fizikal serta banyak mengajar saya untuk bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan dan sebagainya,” ujar wanita yang mesra disapa sebagai Ku Diah ini.
Ku Diah juga pernah menjadi satu-satunya wanita yang menyertai MME (Merdeka Millenium Endurance) pada tahun 2009 yang kebanyakannya disertai oleh lelaki.
Ads
Mendekati personaliti anggun berdarah keturunan diraja Perak ini membuatkan penulis yakin kuasa wanita mampu menggapai serta melakukan apa sahaja perkara yang dianggap layak dikuasai oleh kaum lelaki semata-mata.
Walaupun buat masa sekarang tidak begitu aktif dalam dunia sukan permotoran, namun jiwa lasak Ku Diah dizahirkan ke dalam bidang kerjaya beliau iaitu pembinaan.
Kini beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Pengarah RMI Harvest Resources yang diusahakan bersama suami tercinta, Noor Azmi Md Saad yang terlibat dalam pembinaan beberapa lebuh raya di Malaysia.
Selain sibuk menguruskan perniagaan bersama suami tersayang, Ku Diah turut menjadi penaung sebuah madrasah pendidikan Islam di Perak dikenali sebagai Madrasah Sultan Idris yang berusia hampir 100 tahun.
Ads
Madrasah yang didirikan di atas tanah wakaf milik keluarga diraja tersebut merupakan sebuah madrasah persendirian yang memerlukan dana untuk meneruskan proses pembelajaran para pelajarnya dan begitu dekat di hati Ku Diah.
“Madrasah tersebut telah melahirkan beberapa pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke Mesir walaupun dihimpit pelbagai kepayahan dari segi kewangan dan sebagainya.
Anak-anak ini wajar diberi perhatian bagi membolehkan mereka mendapat peluang dan ruang belajar dalam suasana yang lebih baik,” ujar Ku Diah yang berharap lebih ramai penaja sudi menghulurkan bantuan kewangan untuk memastikan kelangsungan madrasah tersebut.
Ads
Bercerita serba sedikit mengenai susur galur keluarganya, beliau merupakan anak ke-12 kepada Sultan Perak ke-33, Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil-Allallahi Shah II dari isteri Almarhum, Allahyarhamah Dato’ Seri Cik Puan Norizan binti Haji Hamzah.
Beliau juga merupakan adinda kepada DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan adinda kepada Permaisuri Negeri Johor Darul Takzim, Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Tuanku Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II Afifullah.
Walaupun mempunyai pertalian rapat dengan keturunan diraja Perak, sikap beliau yang merendah diri dan mesra membuatkan beliau mudah didekati dan murah dengan senyuman.
Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tarcisian Convent, Ipoh dan Sekolah Menengah Tarcisian Convent, Ipoh sememangnya amat gemar bersukan dan aktif dalam bidang seni mempertahankan diri. Ku Diah pernah mewakili sekolah, negeri dan negara dalam acara sukan Taekwondo sekitar tahun 90-an.
Graduan Diploma Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ini turut menjadikan aktiviti melancong sebagai aktiviti mengisi masa lapang. Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kesusahan adalah kunci kepada kejayaan dalam mendidik jiwa anak-anak. Kesusahan juga dapat melahirkan seorang insan berjiwa kental. Sebaliknya, kesenangan dan kemewahan umpama racun yang mampu membunuh jiwa insan. Perkongsian Pengurus Rumah Amal Limpahan Kasih Puchong, Rashidah Abdullah membuka membawa kita untuk melihat lebih dekat kehidupan anak-anak yatim di Rumah Amal Limpahan Kasih. Jelas terpancar raut wajah mereka yang bersih dan menenangkan jiwa.
Rumah Amal Limpahan Kasih, ia merupakan pusat kebajikan dan pendidikan yang menaungi anak-anak yatim, anak fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan asnaf zakat yang beroperasi sejak Januari 2007 di atas tanah milik persendirian.
SUKARELAWAN
Sejak kematian suami beberapa tahun lalu, Rashidah yang berusia 53 tahun ini menjadi sukarelawan sepenuh masa di Rumah Amal Limpahan Kasih. Rashidah amat bertuah kerana arwah suaminya juga seorang yang sangat menyokong tugas-tugas sukarelawan. Atas alasan itulah Rashidah mengambil keputusan untuk membantu anak-anak yang kurang bernasib baik di Rumah Amal Limpahan Kasih.
“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir kerana arwah suami sangat menggalakkan saya melakukan tugas-tugas sukarelawan. Memandangkan saya seorang ibu tunggal maka mudah untuk saya menyelami perasaan dan kehidupan anak-anak ini.
Naluri keibuan saya sangat kuat, maka mudah untuk menyemai kasih sayang dalam jiwa anak-anak di sini. Ada caranya untuk mendekati mereka yang sentiasa ingin dibelai dan dimanja. Mereka kurang kasih sayang. Rasulullah SAW juga seorang anak yatim piatu, Baginda juga membela anak-anak yatim. Saya mengambil inspirasi daripada Rasulullah SAW.
Hubungan kami umpama ibu dengan anak. Mereka menggelarkan saya Ibu. Tiada langsung jurang sebaliknya kami lebih mesra dan rapat. Apa jua masalah mudah dikongsi kerana keselesaan dan kemesraan telah ada. Selain saya, ada lapan lagi kakitangan wanita di sini yang digelar Ibu,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang memiliki 4 orang anak.
CABARAN
“Untuk mendidik anak-anak ini tak boleh terlalu tegas atau terlalu berlembut. Perlu banyak bersabar dan berikan kasih sayang sepenuhnya buat mereka. Ini salah satu cabaran buat saya selain mendapatkan dana untuk pendidikan dan pentadbiran.
Selain usaha dan doa, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Alhamdulillah rezeki datang menjemput tanpa diduga. Apa yang penting jangan meminta. Itulah yang kami didik ke dalam jiwa anak-anak di sini.
Anak-anak juga perlu dididik agar seimbang rohaniah dan lahiriah. Anak-anak dilatih dengan ketabahan, kekuatan jiwa dan hubungan hati dengan Allah SWT. Usaha secara berterusan ialah mendapatkan rasa takut setakutnya pada Allah SWT dan rindu serindu rindunya pada Nabi SAW.
Segalanya dilakukan melalui disiplin ibadah solat, selawat dan aktiviti kerohanian. Juga melalui usrah yang dapat mengasah bakat kepimpinan, rasa tanggungjawab, meningkatkan kemahiran hidup dan keyakinan diri mereka. Semua penghuni dibantu sehingga mereka dapat merasai hidup umpama sebuah keluarga,” kongsi Rashidah.
RAMADAN
“Setiap kali menjelang Ramadan, selain memenuhi jemputan berbuka puasa di luar kami turut menjemput warga emas dan ibu tunggal untuk sama-sama berbuka puasa di sini. Maka dapatlah kami berkongsi rezeki bersama-sama di samping mengeratkan silaturrahim,” akhiri Rashidah dengan senyuman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keberanian seorang perwira tentera British wanita, Harpreet Kaur Chandi atau Kapten Preet Chandi menyelesaikan misi ekspedisi solo merentasi benua Antartika ke Kutub Selatan baru-baru ini membuktikan keupayaan wanita.
Bermula November lepas, Preet Chandi atau Polar Preet sekali lagi menempuh ekspedisi sejauh 700 batu (1,127km) dalam tempoh 40 hari, 7 jam dan 3 minit berlatarkan cuaca buruk, di bawah suhu -45 darjah Celcius, jarak pandang yang kabur dan kepenatan ekstrem sepanjang jalan.
Wanita berketurunan Asia dan berasal dari Sinfin, Derby itu menamatkan ekspedisi di belakang catatan masa Johanna Davidsson dari Sweden yang menamatkan misi serupa dalam tempoh 38 hari, 23 jam dan 5 minit (2016) serta Hannah McKeand dari Britain dengan catatan masa 39 hari, 9 jam dan 33 minit (2006).
“Ia jauh lebih sukar berbanding ekspedisi tahun lepas (2021), kali ini boleh dikatakan pengalaman paling sukar pernah saya lakukan.
Secara mental, ia jadi sukar apabila memikirkan saya tak punya masa mencukupi untuk melakukannya tapi bukankah ekspedisi ini adalah tentang mencabar keupayaan diri dan memberi inspirasi kepada orang lain?
Saya kecewa kerana kesuntukan masa untuk merentasi Antartika tapi saya sudah lakukan segala yang termampu termasuk tidak berehat walau sehari pun untuk menjayakan misi ini.” Preet Chandi
Berusia 32 tahun, Kapten Preet Chandi sebelum ini pernah menakluk Kutub Selatan pada 2021. Untuk ekspedisi November 2022, beliau yang merupakan seorang pakar fisioterapi di Angkatan Tentera Inggeris dianggarkan menempuhi perjalanan solo kira-kira 27.3km sehari menggunakan peralatan komunikasi khusus untuk mengirim perkembangan dirinya di Antartika.
“Saat tiba di Kutub Selatan, emosi saya terus bercampur-baur. Saya tidak tahu apa-apa tentang kutub tiga tahun lalu dan seperti tidak percaya akhirnya berada di sini.
Terima kasih atas semua sokongan, semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada orang lain dan menambah kepercayaan pada diri mereka sendiri.
Saya selalu mendengar jawapan ‘Tidak!’ dalam pelbagai perkara dan sebagai wanita, disuruh buat benda-benda normal saja. Namun sebenarnya, kita yang mencipta ‘normal’ kita dan mampu mencapai apa saja yang dimahukan, tanpa bergantung pada sesiapa.”
Tambah Kapten Preet Chandi, wanita Asia jarang diberi peluang dan harapan tinggi untuk melakukan perkara-perkara hebat sebegini.
Dengan kisah kejayaan ini beliau berharap dapat membantu lebih ramai wanita melakukan ekspedisi yang majoritinya didominasi lelaki.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Namanya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena seni dan hiburan tanahair, mula melakar nama sebagai juara bagi Pencarian Dewi Remaja, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Hajah Lofa kini terus relevan meski sudah tidak bergiat aktif sebagai anak seni.
Terbaharu, usahawan tersohor jenama tudung Naelofar dan Innai Nunha ini mendedahkan bahawa hampir semua impianya di dalam kehidupan telah tercapai.
Tetapi hanya ada satu hasrat lagi yang ingin dicapai oleh isteri kepada PU Riz ini, iaitu memantapkan ilmu pengajian Al-Quran dan mahu menjadi seorang tenaga pengajar yang mengajar mengaji.
Ada Satu Hasrat Dan Impian Lofa Yang Belum Dicapai?
Menurut Neelofa, dirinya memanjatkan rasa syukur di atas segala nikmat dan semua impiannya yang dimakbulkan Allah, dan menyimpan hasrat untuk mengajar seseorang mempelajari Al-Quran selepas membaca berkenaan perkongsian satu hadis ini.
“Alhamdulillah, banyaklah yang tercapai mimpi-mimpi impian tu. Tapi, yang tak tercapai lagi kalau pekerjaan yang saya nak buatlah.. sebab ada hadis yang cakap ‘sebaik-baik pekerjaan adalah belajar Al-Quran dan mengajar.
“Dan, saya naklah reti belajar mengajar, ajar mengaji pulak. Itu impian saya,” katanya.
Tambah Neelofa, dia tidak kisah seberapa ramai pun bilangan anak murid yang sudi menjadi pelajarnya kelak, cukup sekadar untuk melunaskan sahaja impian berkenaan.
“Walaupun tak mengajar mengaji ramai, ajar mengaji beberapa orang cukuplah, sekadar memenuhi impian itu.
“Sekadar boleh, ada kemampuan untuk mengajar mengaji. Jadi, doa-doakanlah,” Ujar Lofa.
Untuk rekod, Neelofa mendirikan rumah tangga dengan Haris pada 27 Mac 2021 dan hasil perkongsian hidup selama 4 tahun itu, pasangan ini telah dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Tumpang gembira tengok kehidupan Faisal Halim sekeluarga sekarang. Selepas melalui episod hitam yang memberi kesan mendalam dari segi mental dan fizikal pada Mei 2024, kini tonggak utama Selangor FC tersebut bangkit menjalani kehidupan di samping isteri ...