Kerabat Diraja Aktif Sukan Permotoran, YAM RAJA SAIDATUL MARDIAH Bukti Energi Luar Biasa Wanita

YAM Raja Saidatul Mardiah binti Almarhum Sultan Idris Shah A’Fifullah sememangnya nama yang sinonim dalam sukan permotoran suatu ketika dahulu.

Beliau bergiat aktif dalam sukan permotoran sehingga pernah dinobatkan sebagai wanita pertama yang memenangi Pertandingan PanGlobal Alex Yoong F1 Driver Search pada tahun 2005 dengan catatan masa terpantas di litar.

“Apabila sudah berada di belakang stereng kereta, perasaan takut mula hilang dan timbul pula rasa seronok mahu mencabar kemampuan diri.

Bayangkan, jika berlumba di litar lumba, keadaan trek yang panas serta deruman enjin kenderaan yang panas memberi rasa tidak selesa terutamanya untuk wanita.

Tetapi keadaan itulah sebenarnya menguji minda dan fizikal serta banyak mengajar saya untuk bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan dan sebagainya,” ujar wanita yang mesra disapa sebagai Ku Diah ini.

Ku Diah juga pernah menjadi satu-satunya wanita yang menyertai MME (Merdeka Millenium Endurance) pada tahun 2009 yang kebanyakannya disertai oleh lelaki.

Mendekati personaliti anggun berdarah keturunan diraja Perak ini membuatkan penulis yakin kuasa wanita mampu menggapai serta melakukan apa sahaja perkara yang dianggap layak dikuasai oleh kaum lelaki semata-mata.

Walaupun buat masa sekarang tidak begitu aktif dalam dunia sukan permotoran, namun jiwa lasak Ku Diah dizahirkan ke dalam bidang kerjaya beliau iaitu pembinaan.

Kini beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Pengarah RMI Harvest Resources yang diusahakan bersama suami tercinta, Noor Azmi Md Saad yang terlibat dalam pembinaan beberapa lebuh raya di Malaysia.

Selain sibuk menguruskan perniagaan bersama suami tersayang, Ku Diah turut menjadi penaung sebuah madrasah pendidikan Islam di Perak dikenali sebagai Madrasah Sultan Idris yang berusia hampir 100 tahun.

Madrasah yang didirikan di atas tanah wakaf milik keluarga diraja tersebut merupakan sebuah madrasah persendirian yang memerlukan dana untuk meneruskan proses pembelajaran para pelajarnya dan begitu dekat di hati Ku Diah.

“Madrasah tersebut telah melahirkan beberapa pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke Mesir walaupun dihimpit pelbagai kepayahan dari segi kewangan dan sebagainya.

Anak-anak ini wajar diberi perhatian bagi membolehkan mereka mendapat peluang dan ruang belajar dalam suasana yang lebih baik,” ujar Ku Diah yang berharap lebih ramai penaja sudi menghulurkan bantuan kewangan untuk memastikan kelangsungan madrasah tersebut.

Bercerita serba sedikit mengenai susur galur keluarganya, beliau merupakan anak ke-12 kepada Sultan Perak ke-33, Almarhum Paduka Seri Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil-Allallahi Shah II dari isteri Almarhum, Allahyarhamah Dato’ Seri Cik Puan Norizan binti Haji Hamzah.

Beliau juga merupakan adinda kepada DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan adinda kepada Permaisuri Negeri Johor Darul Takzim, Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Tuanku Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah II Afifullah.

Walaupun mempunyai pertalian rapat dengan keturunan diraja Perak, sikap beliau yang merendah diri dan mesra membuatkan beliau mudah didekati dan murah dengan senyuman.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tarcisian Convent, Ipoh dan Sekolah Menengah Tarcisian Convent, Ipoh sememangnya amat gemar bersukan dan aktif dalam bidang seni mempertahankan diri. Ku Diah pernah mewakili sekolah, negeri dan negara dalam acara sukan Taekwondo sekitar tahun 90-an.

Graduan Diploma Pengurusan Perniagaan dan Pemasaran dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ini turut menjadikan aktiviti melancong sebagai aktiviti mengisi masa lapang. Rosmah Idayu Abu Samah

Share
Published by
Norzalina