YM Datin Sharifah Zarinatasha Dato’ Seri Syed Azni Jamalullail baharu menginjak usia 30 tahun namun terserlah kematangannya. Pernah menceburi dunia lakonan dan sempat berkarya dalam sebuah filem yang bertajuk Aku, Kau dan Dia sejurus selepas meninggalkan pentas pencarian Dewi Remaja 2009/10 seangkatan dengan selebriti Neelofa, Anzalna dan Izara Aishah.
Namun wanita kelahiran Kuala Lumpur ini nekad meninggalkan dunia lakonan yang dicintainya selepas mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan memberi tumpuan terhadap keluarga tercinta. Ketika diasak dengan pertanyaan rasa rindu dalam dunia lakonan, terang wanita tinggi lampai ini, “Tidak sekelumit pun rasa kesal meninggalkan dunia lakonan di saat mula membina nama dalam bidang itu. Bagi saya keluarga lebih penting daripada segala-galanya.
Sehingga kini jika ada yang bertanya tentang perasaan ‘rindu’ berada di lokasi penggambaran, memang ada rasa rindu tetapi untuk berkecimpung kembali dalam bidang tersebut mungkin tidak. Namun jika ada peluang dalam dunia pengacaraan mungkin saya tidak menolak. Saya teringin mencuba bidang pengacaraan ini.
Menamatkan zaman gadis dalam usia yang begitu muda sedikit sebanyak mematangkan wanita ini untuk menempuh kehidupannya. “Memang benar saya berkahwin dalam usia yang agak muda, ketika itu baharu sahaja berumur 22 tahun. Ramai juga yang bertanya tak rugi ke kahwin awal lebih-lebih lagi baru mencipta nama dalam dunia lakonan.
Saya tidak pernah menyesal berkahwin dalam usia yang begitu muda walaupun ketika itu ramai kawan-kawan yang masih eksplorasi zaman remaja. Ketika saya membuat keputusan untuk menerima lamaran suami saya memang sudah bersedia fizikal dan mental. Saya memang suka lelaki yang matang untuk membimbing sehingga ke jannah,” ungkap isteri kepada Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi yang merupakan seorang pengarang buku.
Darah diraja mengalir di tubuh muda ini setelah termeterai perkahwinan di antara kedua ibu bapanya, YAM Dato’ Sri Syed Azni Ibni Syed Putra Jamalullail, kerabat diraja Perlis dan YM Dato’ Paduka Tengku Ilham Malina Tengku Abdul Aziz, kerabat diraja Pahang. “Memang sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan protokol istana. Mungkin itu yang menyebabkan saya tidak kekok dengan adat istiadat apabila menghadiri majlis rasmi di istana. Ibu saya banyak memberi tunjuk ajar tentang adat istiadat istana ini berbanding dengan ayah.
Ibu sering mengajar kami sekeluarga tentang adat dan adap yang perlu dipatuhi. Jika terdapat sebarang majlis rasmi perlu memakai baju formal seperti baju kurung atau sopan. Ketika berada di Balai Rong Seri perlu bertudung atau sekurang-kurangnya menyarung selendang di kepala. Ayah saya lebih selesa melalui kehidupan dengan sederhana dan low profile.
Namun apabila berada di rumah kehidupan kami sekeluarga seperti juga kehidupan orang biasa lain. Segala-galanya seperti orang lain yang perlu menghadiri sekolah harian, bekerja dan sebagainya. Saya mungkin beruntung sedikit kerana berpeluang menyelami kehidupan istana dan juga golongan rakyat biasa,” bicara Datin Sharifah Zarinatasha yang merupakan bekas pelajar Sekolah Sri Aman ini.
This website uses cookies.