Kerabat diraja Kelantan berketurunan Thailand, YM Tengku Nur Badariah Tengku Ahmad Nashruddin atau lebih mesra disapa sebagai Tengku Nur Badariah ini seorang yang mudah didekati. Berusia 36 tahun, Tengku Nur Badariah yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan ini merupakan anakanda bongsu daripada 2 adik beradik.
Di kalangan keluarga serta saudara terdekat, Tengku Nur Badariah, dikenali dengan panggilan manja, Ku Chik. Ternyata, Tengku Nur Badariah mewarisi kecantikan Bondanya yang bernama Burachatra Sricharoon atau Kamariah Abdul Wahab berasal dari Bangkok, Thailand. Tengku Nur Badariah menjadikan Bondanya itu sumber inspirasi dan menganggapnya sebagai superwoman
.TERKENANG TRADISI LEBARAN DI THAILAND
“Memandangkan bonda berasal dari Bangkok, Thailand saya mempunyai ramai saudara mara di sana. Kebanyakan mereka tinggal berdekatan dalam satu kawasan. Selalunya, tradisi lebaran di Thailand ialah selepas solat Hari Raya di masjid (sebelum wujudnya pandemik COVID-19) kami akan berkumpul di sebuah dewan berhampiran yang dibina khas untuk sebarang majlis.
Di situlah kami sekeluarga serta sanak saudara akan berkumpul dan saling bermaafan sambil menjamu selera. Manakala juadahnya pula semestinya terdiri daripada hidangan Thailand termasuk kuih muih tradisi di samping menu Arab seperti Nasi Beriani atau Khao Mok Gai,” kongsi Tengku Nur Badariah yang juga hebat memasak hidangan Thailand.
BEKERJA DARI RUMAH
Tengku Nur Badariah dikurniakan seorang cahayamata yang sangat comel bernama Putri Eriena Mohd Azrien yang kini berusia 5 tahun. Bekerja dari rumah sebagai freelancer dalam bidang rekaan grafik memberi kelebihan buat Tengku Nur Badariah untuk mencurahkan komitmen terbaik buat keluarga.
Tidak semua wanita berpeluang untuk menguruskan keluarga di rumah sepenuhnya termasuk melihat anak membesar di depan mata. Maka, peluang tersebut dimanfaatkan sebaiknya oleh graduan Diploma Lanjutan Aplikasi Multimedia & Reka Bentuk ini untuk menjadi isteri dan ibu yang terbaik. Selain itu, Tengku Nur Badariah juga mahu memberikan yang terbaik dari segi kepentingan keluarga serta karier agar kedua-duanya seimbang.
Kredit Foto: Instagram Tengku Badrisha
This website uses cookies.