Bagi mereka yang baru memulakan bisnes seharusnya memilih mentor atau ‘sifu’ agar tidak tersasar dari landasan sebenar. Sebab itulah pentingnya nasihat mahupun pandangan dari seorang yang bergelar pioneer seperti Mona Din ini. Pengalaman dan ilmunya sangat mahal. Baginya, tanpa cabaran bukanlah bisnes namanya.
Mona Din, satu nama besar dalam industri fesyen Muslimah sekaligus menjadi pelopor di Malaysia. Beliau merupakan pengasas butik terkenal Hajaba, Women of Jannah, Umrah Hajj serta Leesa Formula dan Serenity Spa. Suatu ketika dulu jenama-jenama ini pernah menceruskan fenomena tersendiri.
Nona kongsikan perkongsian video Nona Superwoman Talk oleh Mona Din.
“Prinsip di dalam bisnes pertamanya mesti jujur dan ikhlas. Mesti buat homework betul-betul, mesti tahu bisnes apa yang kita nak buat. Ini selalu saya pesan, bila kita hendak buat sesuatu bisnes jangan hanya terpesona kepada yang indah sahaja, yang berjaya sahaja. Teruja melihat hasil yang juta-juta sahaja.
Mungkin kita tidak perasan yang berjaya itu tidak ramai. Mungkin ada 2-3 nama saja yang besar, yang berjaya. Maknanya bukan mudah untuk buat bisnes walau di mata nampak macam senang. Hakikatnya ramai yang tak ke mana.
Jika kita ada dana atau bantuan kerajaan, boleh ambil tetapi mesti bayar. Berusahalah untuk bayar. Tetapi ramai yang ambil kesempatan atas bantuan yang diberikan. Maka saya tegaskan, kalau kita berhutang tak kira dengan sesiapa pun tetapi jika tiada usaha bersungguh-sungguh untuk membayarnya rezeki kita tidak akan berkat.
Kita tidak akan rugi kalau membayar hutang. Allah SWT akan melimpahkan lagi rezeki. Jika ada hutang pastikan bayar. Semasa saya buat bisnes dahulu, saya dan suami berusaha untuk tidak membuat hutang.
Paling menakjubkan bila kita niat tidak mahu berhutang sepanjang bisnes walau ada macam-macam pelawaan seperti dana dan sebagainya tapi saya tolak kerana merasakan ia bukan keperluan saya. Selain itu, saya tak mahu mengambil sesuatu yang bukan hak saya. Kalau nak buka kilang pun saya mampu sebab Allah SWT dah berikan saya rezeki. Alhamdulillah bisnes saya berjaya.
Kadang-kadang sampai saya sendiri terfikir dari mana datangnya rezeki itu datang, cara Allah memberikan rezeki itu di tapak tangan sangat mengharukan. Contohnya, bila saya berniat untuk mencari hartanah untuk dibuat weekend house. Saya dah pergi ke merata negeri dan telah pun membeli hartanah di Hulu Langat hampir 1 juta.
Saya tanya kawan mahukah dia kongsi. Dia jawab boleh. Dia memang baik dan sering sokong saya. Tetapi saya tak jadi beli di Batang Kali tu sebab dapat tanah di Janda Baik yang hanya 2 ekar. Sepatutnya saya ambil 2 ekar tu tapi disebabkan kawan saya dah bersetuju untuk kongsi tanah yang saya tak jadi beli tu jadi saya ajak kongsi tanah di Janda Baik. Struktur tanahnya sangat cantik, harga pun puas hati. Jadi kami ambil setengah-setengah dan kongsi kos.
Kesimpulannya jujur, ikhlas, amanah, jangan tamak dan jangan ambil hak orang. Kalau kita boleh hidup dalam dasar seperti itu nescaya kita boleh berjaya di dunia mahupun akhirat, Insha-Allah.”
Kini Mona Din telah pun bersara dari dunia bisnes kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga dan ibadah.
This website uses cookies.