Solat merupakan kewajipan bagi setiap umat Islam untuk menunaikannya. Seawal usia 9 tahun kanak-kanak perlu dilatih menunaikan solat dengan sempurna.
Sebagai wanita kita diwajibkan menutup aurat dengan sempurna ketika mengerjakan solat. Telekung merupakan salah satu cara ‘berpakaian’ ketika bersolat.
Terpulang kepada wanita untuk memilih telekung mengikut jenama, potongan, fabrik dan hiasan asalkan memenuhi ciri-ciri menutup aurat dengan sempurna.
Lambakan jenama telekung yang berada di pasaran telah memberi ‘kuasa’ kepada wanita untuk memilih yang terbaik mengikut kelas yang tersendiri.
Namun, telekung bukan sahaja menjadi pilihan untuk bersolat malah sering dipilih sebagai bingkisan dulang hantaran pengantin dan cenderahati.
Kini telekung telah mula beransur dengan generik polos putih semata. Kemeriahan warna dan diperindah dengan sulaman sudah semakin popular.
Penggunaan fabrik yang lembut juga turut menjadi salah satu elemen pemilihan telekung buat wanita.
Pasangan suami isteri, Ahmad Aiman Che Ghani, 34, dan Areej Torla, 34, melalui syarikatnya Tea Prima International Sdn. Bhd telah membawa kelainan dengan menawarkan pelbagai koleksi telekung eksklusif dengan perincian sulaman indah.
Telekung TEA ini mengetengahkan seni sulaman tangan yang dijahit sempurna. Walaupun mengambil masa yang lama untuk disiapkan namun, hasilnya begitu halus, dijahit rapat, rapi dan cantik.
Ia turut menggunakan fabrik rosella premium kerana keselesaannya, lembut, tidak panas dan tidak mudah renyuk.
Sifat fabrik yang berat membuatkan telekung jatuh cantik pada pemakainya. Telekung TEA ini turut menggunakan sutera satin yang sejuk dan kain kapas. Ini pula antara koleksi telekung TEA pilihan Nona.
Tip Penjagaan Telekung
(a) Elak mesin basuh
Jika anda mempunyai telekung yang bersulam indah lebih-lebih lagi sulaman tangan perlu dipelihara dengan baik. Sebaik-baiknya jangan membasuh telekung dengan mesin basuh untuk mengelakkan telekung dan sulaman rosak. Cukup sekadar hanya rendam dengan sabun yang lembut.
(b) Hindar berus telekung
Jika sudah merendam telekung untuk membersihkannya tidak memberus dengan kuat. Gonyoh lembut dengan tangan bagi mengelakkan sulaman terbuka atau terburas.
(c) Katakan tidak pada peluntur
Sayangnya kalau menggunakan peluntur pada telekung yang cantik dan bersulam. Habis rosak seni sulaman apatah lagi menggunakan sulaman tangan. Guna sabun mandi atau pencuci yang lembut jika terdapat sebarang kotoran yang degil.
(d) Cuci seminggu sekali
Telekung sering dipakai setelah mengambil wuduk. Kita tidak digalakkan mengelap air wuduk kerana terdapat keberkatan pada titisannya. Sudah pasti telekung terutama di kawasan muka akan lembap. Oleh itu untuk mengelakkan terbitnya tahi lalat pada telekung bersihkan telekung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
(e) Gosok telekung berlapikkan kain
Jika hanya menggunakan seterika biasa yang tidak mempunyai laras suhu yang baik, ketika menggosok telekung lebih baik letak kain lembut di atasnya, kemudian baharu digosok. Kain telekung terpelihara dan sulaman juga cantik terletak. Hamizatul Maizan Mohamed
This website uses cookies.