Kerap Senyum & Pakai Sunblock, Petua SHAKIRA Awet Muda Pada Usia 43 Tahun!

Kalau tengok stamina Shakira ketika membuat persembahan Super Bowl 2020 di samping Jennifer Lopez mesti ramai yang beranggapan usia penyanyi Latin ini dalam lingkungan 20an. Hakikatnya, Shakira telah genap berusia 43 tahun pada malam persembahan Super Bowl tersebut yang merupakan ulang tahun kelahirannya ke-43 pada tanggal 2 Februari lepas.

Yang pasti bukan stamina Shakira sahaja yang mencuri tumpuan dunia bahkan kemampuan JLo menyanyi dan ligat menari di atas pentas turut mendapat pujian ramai memandangkan selebriti Hollywood berkenaan meniti usia 51 tahun pada tahun ini. Hebat!

Selain bergelar penyanyi, pemilik nama Shakira Isabel Mebarak Ripoll ini mempunyai bakat seni luar biasa kerana dia juga penulis lirik, penerbit, penari profesional dan pelakon. Disebabkan bakat tersebut Shakira menerima lamaran sebagai penyanyi daripada syarikat rakaman Sony Music Colombia ketika baru berusia 13 tahun!

Meskipun telah lama bertapak di dalam industri namun nama Shakira mula melonjak dan dikenali ramai selepas kemunculannya di FIFA World Cup South Africa pada tahun 2010 ketika mendendangkan lagu tema Waka Waka. Kerana sambutan dan aura luar biasa daripada peminat terhadap kemunculan Shakira, dia sekali lagi dipilih mendendangkan lagu tema FIFA World Cup di Brazil pada tahun 2014.

Mengintai rejim kecantikan jelitawan ini, rupa-rupanya Shakira seorang wanita yang ringkas dan tidak obses kepada solekan. Menurut laman web Allure, Shakira menjaga kecantikan kulit muka dengan memakai sunblock setiap hari. Malah, dia lebih selesa mengenakan solekan nipis sekiranya membuat persembahan.

“Saya akan cuba mengenakan solekan natural sebaik mungkin. Foundation pun hanya pakai di bahagian tertentu dan sedikit maskara. Ada masanya pula saya cuma melentikkan bulu mata sahaja tanpa memakai maskara langsung. Saya juga rasa lebih seksi setiap kali saya gembira dan ketawa. Pada saya, tiada mekap yang lebih menarik daripada senyuman yang hebat.”

Ujarnya lagi, “Saya memilih untuk tampil sederhana dan ringkas. Kebiasaannya saya memilih warna natural untuk gincu bibir dan pembayang mata. Bagaimanapun, lagi nipis mekap yang saya pakai, lagi menarik rupa saya. Kadang-kadang saya rasa apa yang saya pakai hari ini lebih sempurna daripada apa yang saya pakai lebih 10 tahun lalu.”

Berbeza daripada selebriti lain yang selesa menggunakan khidmat jurusolek terkenal untuk merias wajah mereka, Shakira pula memilih untuk menyolek mukanya sendiri. Pengakuan itu didedahkan Shakira menerusi InStyle.

“Saya seorang yang suka senyum dan selalu ditegur jurugambar untuk berhenti berbuat demikian dan tampil dengan reaksi wajah serius atau seksi. Apa-apa pun, saya
percaya dengan penggunaan sunblock

kerana ia dapat menghalang kulit muka saya daripada sinar matahari.

Selain itu, saya juga menggunakan serum sebelum mengenakan solekan kerana ia menyerikan lagi kulit saya nampak lembap sentiasa.”

Shakira mula menjalin cinta bersama kekasihnya yang juga bintang bola sepak Sepanyol dan Barcelona Pique pada tahun 2011. Hasil perhubungan tersebut mereka berdua mempunyai dua anak iaitu Milan Pique yang kini berusia 6 tahun dan Sasha Pique, 4 tahun. Walau usia Pique 10 tahun lebih muda daripada Shakira namun kedua-duanya dilihat cukup romantis dan serasi bersama. Mungkin kerana Shakira dan Pique berkongsi tarikh lahir yang sama.

Share
Published by
Zehan Suziana Abu Daud