Segala usaha dan kerja keras Zara Zya nyata berbaloi. Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh wanita kelahiran Lenggong, Perak ini benar-benar menyuntik inspirasi.
Sebagai seorang wanita, boleh dikatakan pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini mempunyai segala-galanya. Memiliki seraut wajah yang manis, nama yang tersohor dan juga terkenal dengan kebolehan memasak. Bak kata orang, Zara Zya memiliki pakej yang lengkap sebagai seorang wanita.
Nilai tambah yang ada pada dirinya, apabila pelakon yang mula dikenali menerusi drama Love You Mr Arrogant ini begitu aktif dan optimis melakukan kerja-kerja kebajikan.
Mahu berkongsi nikmat melakukan kebajikan dengan orang lain, Zara Zya telah menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Tanpa Sempadan untuk merealisasikan niat berkenaan.
Sebelum ini Zara Zya telah melancarkan Projek Zara Prihatin #zaraprihatin untuk membalas balik jasa Frontliners. Wanita ini juga pernah menyuntik keceriaan kepada penghantar makanan atau rider dengan menyediakan pek bungkusan istimewa kepada golongan berkenaan ketika musim PKP lalu.
Kini pelakon yang mudah tersenyum ini giat menjalankan aktiviti kemanusiaan bagi membantu mereka yang terkesan dengan banjir di Terengganu.
Wanita yang pernah menjadi pengacara TV rancangan masakan ini nampak selesa serta tidak segan silu menyarung t-shirt, bergelumang dengan becak dan memakai kasut ‘Phua Chu Kang‘ demi membantu mereka yang memerlukan. Sesungguhnya, bukan mudah untuk mempunyai jiwa murni sebegini.
Baru-baru ini, Zara Zya telah mencipta fenomena dan menyuntik inspirasi sekali lagi apabila berjaya membeli kereta idamannya, kereta jenis Porsche 718 Boxster. Bukan calang-calang wanita mempunyai impian untuk memandu kereta sebegini.
Menurut wanita yang berusia 37 tahun ini impian untuk memiliki kereta idamannya tercapai selepas lebih setahun mengumpul wang. Kiranya, tak lama juga wanita yang semakin manis sejak berhijab ini mengambil masa untuk mengumpul wang.
Khabarnya kereta mewah idamannya itu yang berharga kira-kira RM400,000. Tahniah! kerja keras Zara Zya selama ini telah menampakkan hasil. Apa yang lebih penting ialah terus menyuntik inspirasi kepada wanita lain untuk terus bersemangat mengejar cita-cita masing-masing.
Baca juga; Neelofa Kongsi 4 Golongan Yang Dirindukan Oleh Syurga
Kali Pertama Bawa Tunku Sofia Bercuti Ke Melbourne, CP SARIMAH & Suami Kongsi Detik Bahagia
Seronok melihat kehidupan terkini pengacara, penyanyi serta pelakon berketurunan Melayu-Ireland, Che Puan Sarimah Ibrahim bersama keluarga. Terbaharu, Che Puan Sarimah kini berada di Melbourne, Australia kerana sedang menikmati percutian bersama suami dan anak.
Memuat naik beberapa posting di akaun Instagramnya, Che Puan Sarimah berkongsi aktiviti-aktiviti yang dilakukan di sana berlatarkan pemandangan yang sangat indah. Dengan kedinginan udara segar menyelubungi momen percutian musim sejuk keluarga kecil ini.
Paling gembira dan teruja semestinya lah si kecil, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia 3 tahun. Comel sangat apabila melihat setiap keletahnya dalam video yang dikongsi.
Maklumlah, itu merupakan percutian pertama mereka bertiga dalam tempoh 3 tahun setengah. Menurut Che Puan Sarimah, ini adalah kali kedua dia dan suami ke Melbourne namun kali pertama bersama Tunku Sofia.
“Percutian pertama kami dalam 3.5 tahun. Kali kedua kami ke Melbourne tetapi kali ini bersama @tunkusofianajihah
Hanya keluarga kecil kami yang menikmati suasana sejuk, udara segar dan berjalan-jalan di sekitar bandar. Tiada parti atau acara besar untuk kami…hihi! Hanya masa santai bersama keluarga…berjalan-jalan dengan tenang di taman….sambil berpelukan..dan kami akan bertemu dengan beberapa rakan tidak lama lagi…!
Kami bernasib baik dapat berehat panjang dari panas KL, memang melegakan…
See ya in 3 weeks KL!”
Selain menikmati pemandangan dan udara segar, mereka turut berkunjung ke destinasi bersejarah di mana mereka berpeluang ke muzium lokomotif bergerak. Dalam postingnya, Che Puan Sarimah turut berkongsi informasi ringkas tentang destinasi tersebut buat para pengikutnya di Instagram.
“Kami menikmati keseronokan di muzium lokomotif bergerak iaitu @puffingbillyrailway
Pada asalnya dikenali sebagai kereta api kecil.. Pada tahun 1900-an ia digunakan untuk mengangkut hasil, buah-buahan, kayu-kayan.. dan kemudian pada tahun 1919 ia menjadi kereta api persiaran terbuka dan begitu popular sehingga beratus-ratus penumpang biasanya duduk di luar tingkap untuk menikmati perjalanan dan pandangan..”
NONA kongsikan beberapa lagi koleksi foto percutian keluarga bahagia ini.
Kredit Foto: Sarimah Ibrahim
Negarawan Tan Sri Zaleha Ismail Cemas Ingat Zaman Jepun, Sampai Menyorok Dalam Hutan!
Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.
Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.
“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN
Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.
Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Tan Sri Dr Jemilah Mahmood Sinonim Dengan MERCY Kini Dilantik Sebagai Penasihat Khas PM
Kewibawaan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dalam dunia perubatan memang tidak perlu disangkal lagi. Wanita ini mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perubatan dan terlibat secara langsung dalam kerja-kerja kemanusiaan di peringkat nasional mahu pun antarabangsa.
Sebelum ini, nama beliau begitu sinonim dengan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia). Bila sebut sahaja nama Tan Sri Dr Jemilah pasti terus terbayangkan MERCY Malaysia yang telah banyak menjalankan misi kemanusiaan. Manakan tidak, beliau merupakan pengasas kepada persatuan ini dan menubuhkannya sebagai tindak balas kepada konflik di Kosovo.
Tan Sri Dr Jemilah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dilantik sebagai Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tan Sri Dr Jemilah bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri mengenai dasar dan inisiatif berkaitan Kesihatan Awam. Selaras dengan perlantikannya, Tan Sri Dr Jemilah berazam untuk bekerjasama dengan semua agensi dan kementerian termasuk sektor swasta bagi memastikan Malaysia menerajui sistem penjagaan kesihatan.
Dalam satu balasan di laman Twitternya, Tan Sri Dr Jemilah berkata pelantikannya sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, merupakan satu tanggungjawab besar dan beliau turut menzahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Thank you very much for the trust. (Terima kasih banyak-banyak di atas kepercayaan yang diberikan).
“I will do my very best to support all ministries, agencies and organisations including private sector and civil society so that #Malaysia will lead in healthcare. But first let’s tackle #COVID19 together, (Saya akan lakukan yang terbaik untuk menyokong semua kementerian, agensi dan organisasi termasuk sektor swasta dan masyarakat madani supaya #Malaysia mendahului dalam penjagaan kesihatan. Tetapi marilah kita tangani #COVID19 dahulu, bersama-sama),” coretnya.
Sumbangan dan jasa beliau telah mendapat perhatian pemimpin negara dan mendapat pengiktirafan dunia malah turut merangsang badan bukan kerajaan lain untuk menyumbang dan memberi khidmat yang sama. Sumbangan Tan Sri Dr Jemilah terhadap agama, bangsa dan negara sememangnya tidak terbalas.
Jiwa murni Tan Sri Dr Jemilah terus terpancar apabila telah menyumbangkan wang kemenangannya untuk misi kemanusiaan setelah dipilih sebagai pemenang ASEAN Prize 2019. Beliau telah dipilih sebagai pemenang ASEAN Prize 2019 iaitu anugerah berprestij rantau ASEAN bagi mengiktiraf pencapaian individu atau organisasi dalam memupuk identiti dan semangat serantau ke arah pembangunan Komuniti ASEAN menjelang 2025.
Tan Sri Dr Jemilah telah menyumbang separuh daripada wang kemenangan AS$20,000 (RM83,310) yang diterimanya kepada Yayasan Surin Pitsuwan dan bakinya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia.
Dalam pada itu, Tan Sri Dr Jemilah juga pernah mengharumkan nama negara apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Isa pertama oleh Emir Bahrain. Nama beliau telah dipilih dari lebih seratus individu dan pertubuhan di serata dunia yang menggerakkan kerja amal berteraskan bantuan kemanusiaan merentas sempadan.
Sumber: Astro Awani