Produktiviti merupakan kunci kepada kecemerlangan kerja. Sudah tentu setiap majikan mahukan hasil yang terbaik daripada setiap pekerjanya. Dari sisi pekerja pula, setiap hari datang awal ke pejabat lalu tenggelam dengan longgokan kerja dan pulangnya lambat atau mungkin lewat malam.
Hasilnya, kerjaya yang sebelumi ini menjadi memenatkan dan membosankan. Akhirnya ia menjejaskan produktiviti seterusnya tidak efisyen seperti rakan-rakan sekerja yang lain. Jika ini terjadi dan berlanjutan maka waspadalah, masa depan kerjaya anda mungkin akan musnah!
Oleh itu, bangkitlah agar lebih bersemangat dan produktif. Amalkan 5 cara ini agar anda sentiasa bahagia di tempat kerja.
CARI SESUATU YANG DISYUKURI
Tidak kisahlah apa saja kerja yang anda buat atau di mana anda bekerja, mulalah untuk rasa bahagia saat ini. Cari sesuatu untuk anda syukuri contohnya pejabat anda dekat dengan pusat beli belah atau kedai makan sedap yang sentiasa menggamit anda ke sana.
SELESA BEKERJA SEPERTI DI RUMAH
Hiaslah meja kerja anda mengikut cita rasa contohnya koleksi gambar keluarga atau kekasih hati. Secara tidak langsung anda akan berasa selesa dan santai bekerja umpama di rumah. Meja yang tidak kemas melambangkan kekusutan pemiliknya.
Sesibuk mana pun usahakan juga untuk mengemas meja anda kerana masa anda akan terbuang begitu saja hanya kerana mencari dokumen-dokumen penting yang tidak dikemas dengan baik.
REHATLAH SEKETIKA KALAU PENAT
Pagi adalah waktu terbaik untuk mencurahkan segala tenaga dan fikiran untuk bekerja. Mata akan kian berat tatkala masa menghampiri ke tengahari. Bangun dan berjalan-jalanlah sebentar ke pantri atau tandas. Selingan ini penting bagi melancarkan aliran darah seterusnya mengekalkan produktiviti kerja.
KURANGKAN MULTITASKING
Meskipun tugasan anda dikatakan multitasking namun bijaklah mengendalikannya kerana waktu berharga akan mudah terbuang daripada bermanfaat. Kajian menunjukkan individu yang cuba untuk melakukan dua atau lebih tugasan dalam satu masa boleh menjejaskan fikiran dan kualiti kerja. Sebaiknya, fokus dulu untuk selesaikan satu tugas sebelum ke tugas lainnya.
ELAK MAKAN TERLALU KENYANG
Makan terlalu Kenyan hanya memberikan tenaga yang tinggi dalam masa yang singkat saja. Akibatnya anda akan mudah mengantuk ketika bekerja. Sebaiknya sediakan kudapan sihat yang mengandungi protein, serat dan antioksidan yang dapat memberi kenyang berpanjangan. Anda juga akan lebih fokus kepada kerja.
Malaysia #QuranHour Kembali Lagi Kali Ke 9, Pengisian Lebih Menarik. “Non-Muslim” Bakal Jadi Tetamu Jemputan!
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Malaysia #QuranHour kali ke 9, bertemakan “Malaysia Berakhlak Mulia : Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada pukul 12 hingga 1 tengah hari, pada 30 Ogos 2023.
Malaysia #QuranHour adalah kempen MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah dengan mengajak rakyat Malaysia di dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal. Ia bermula dengan penganjuran #MalaysiaNgaji dan telah dilaksanakan di seluruh negara semenjak 2015.
Tahun ini, Surah Al-Fatihah (Pembukaan), Surah Al-Insan (Manusia) dan Surah Al-Asr (Masa) menjadi surah pilihan bagi mengangkat tema “Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” dalam membentuk Malaysia Madani, negara yang sejahtera, harmoni, dan progresif. Dengan berpandukan kepada alQuran dan Hadis, ia dapat membentuk kerangka fikir dan karakter diri yang mulia, seterusnya dapat menjiwai kemerdekaan sebenar dalam kalangan rakyat, khususnya golongan belia.
Pemuda menjadi tonggak dan aset penting dalam pembinaan negara. Tema “Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” dicetuskan daripada pepatah Arab, “Pemuda hari ini, pemimpin hari esok”mengenai pembinaan pemuda yang akan menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Surah Al-Asr antara surah terpendek tetapi membawa nilai yang besar iaitu masa. Pemuda
mempunyai banyak masa tetapi malangnya kebanyakan masa mereka tidak digunakan untuk mencambahkan projek-projek kebaikan. Surah ini mendidik pemuda untuk mengambil tindakan segera, “sense of urgency” dan menggunakan masa lebih produktif serta proaktif agar tidak rugi.
Surah Al-Insan membawa 11 karakter Abrar iaitu orang yang memimpin projek-projek pembangunan masyarakat. Dengan memiliki karakter tersebut, pemuda-pemuda ini bangkit dari tidur dan memanifestasikan pelbagai projek keinsanan, seterusnya melahirkan lebih ramai lagi generasi Abrar. Surah Al-Fatihah (Pembukaan), surah pertama dalam al-Quran merupakan pembuka potensi manusia untuk menjadi individu yang mahir (mastery).
Sebanyak 7 ayat dalam Surah Al-Fatihah ini yang diulang setiap hari paling kurang 17 kali membawa pendidikan untuk meningkatkan kemahiran setiap Muslim.
Malaysia #QuranHour memfokuskan tujuh formula berpandukan Surah Al-Fatihah untuk memupuk dalam diri setiap pemuda Islam yang bakal memimpin dan membawa Malaysia ke arah negara yang berintegriti dan berkemahiran tinggi.
Tiga surah tersebut menjadi panduan untuk membina berkemahiran (mastery) dalam membina pelbagai projek yang membina negara dan pastinya akan membina pemimpin yang akan memimpin negara pada masa akan datang. Pemuda Merdeka, Pemuda Abrar!
#QuranHour merupakan sebuah gerakan yang diinisiatifkan oleh WUIF bertujuan menggalakkan setiap individu berinteraksi dengan Al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal. Ia adalah sebuah usaha untuk melakukan anjakan paradigma atau menukar kerangka fikir sehingga lahir karakter mulia.
Kempen-kempen utama yang dijalankan oleh pihak WUIF adalah World #QuranHour, Arafah#QuranHour, Malaysia #QuranHour, dan World #QuranConvention. Kempen yang dibawakan dari Malaysia ke seluruh dunia ini bermula sejak tahun 2015 hingga sekarang, diadakan secara tahunan dan telah memasuki di 70 negara serta mencapai 5.22 bilion capaian media sosial pada tahun ini.
Malaysia #QuranHour disambut baik oleh semua rakyat Malaysia di negara dan luar negara. Ia adalah kempen utama anjuran WUIF yang dibentuk melalui solidariti ummah, dengan penglibatan pelbagai rakan sinergi terdiri dari rangkaian media utama Negara, badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, awam, agensi, serta individu dari pelbagai kluster masyarakat WUIF sebagai pelopor gerakan kempen #QuranHour turut dalam usaha menggerakkan QuranicValley atau Lembah Al-Quran sebagai matlamat jangka panjang menuju 1500H di mana pelbagai program Baca, Faham & Amal al-Quran telah disusun bagi membentuk generasi yang berpegang teguh, berfikir dan berakhlak al-Quran. Semua program QuranicValley dibangunkan daripada hasil Tabung Gerakan
Al-Quran dan Wakaf Al-Quran untuk Ummah.
Pelbagai program disusun dan diterbitkan di bawah Quranic Valley untuk di sampaikan kepada semua lapisan masyarakat. Antara program-program di bawah QuranicValley adalah My #Qurantime, My#HadithTime, Wacana al-Quran, Quranic Solution, Talian Jiwa, Soul Fitness, Tick Talk TV Premiere (Malaysia) dan Tick Talk International, Moms’ Coffee Talk, Mengopi Bersama Ayah, Majlis Ayah, JomMengaji Sebelum Tidur, dan Lockdown: Hidupkan Mihrab di Rumah.
“Abah Tegas, Peka Bab Agama & Suka Bersedekah,” DR SYAFIQA Dedah Peribadi Arwah MR OS
Tahun ini masuk tahun keempat Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr Os kembali ke rahmatullah. Meskipun Dr Syafiqa Hayra tidak lagi berpeluang untuk memeluk dan mencium bapa tersayang, namun segala kenangan manis bersama arwah masih berbekas hingga ke hari ini dan akan sentiasa segar di ingatan. Apa yang pasti kedatangan bulan April setiap tahun menerbitkan momen sayu di lubuk hati wanita berusia 26 tahun ini kerana pada tanggal 8 April 2016 dia telah kehilangan sosok bapa selama-lamanya. Apatah lagi tarikh 5 April pula merupakan hari lahir lelaki paling disayanginya itu.
Tak mampu menyembunyikan rasa rindu terhadap arwah bapa, Dr Syafiqa menzahirkan perasaan tersebut di laman media sosial miliknya. “Kalau masih hidup Allahyarham abah, hari ni hari jadi abah yang ke-59. I’m a doctor now abah. Epit dah tunaikan janji untuk jadi doktor dekat abah. Tak pernah lupa jasa abah beri kami sekeluarga makan yang cukup, besarkan dengan didikan yang baik, segalanya cukup.
Seorang abah yang cukup baik dan sempurna. Sepanjang hayatnya, tak pernah lokek, malah kuat bersedekah dan suka mempermudahkan urusan semua orang. Moga abah syurgalah tempat abah. Moga abah ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah.”
Ketika dihubungi Nona, Dr Syafiqa yang ketika itu sedang bertugas menyambut salam penulis dengan penuh mesra. Keterbukaan anak pelakon komedi ini berkongsi sisi peribadi arwah bapanya sangat dihargai. Dia yang kini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendedahkan, “Jujurnya, saya sangat rindu saat saya balik bercuti dari Mesir setiap tahun dan abah akan bawa saya serta keluarga pulang ke kampung dan pergi memancing ikan. Dulu saya selalu ikut abah memancing ikan lampam berumpankan pisang di Sungai Perak.
Kenangan bersamanya terlalu banyak. Saya juga rindu nak belikan jubah dan souvenirs untuk abah setiap tahun bila saya balik ke Malaysia selama saya belajar di Mesir. Rindu nak makan lemang jagung masakan abah setiap kali tibanya hari raya dan juga rindu nak mendengar nasihat dan cerita abah. Kalau nak tahu, abah ni sangat suka bercerita dan mengimbau kehidupannya masa kecil di kampung. Dia akan bawa saya ke tempat-tempat tersebut.”
Ditanya mengenai peribadi dan perwatakan arwah bapanya yang tidak diketahui ramai, graduan Bachelor of Medicine and Surgery (MBBCh) Mansoura-Manchester, Mansoura University, Egypt ini menjelaskan, “Abah sangat tegas dan mementingkan masa. Walau macam mana susah sekalipun dia akan sentiasa memenuhi permintaan anak-anak. Selain itu, abah juga suka menjamu orang makan dan buat orang gembira. Dia sangat pemurah dan mudah rasa kasihan dekat orang.
Salah satu perangai abah yang buat saya kagum ialah cara abah menghargai ibu bapanya. Walaupun ibu bapa abah iaitu atuk dan nenek saya sudah meninggal, abah tetap sentiasa bersedekah bagi pihak kedua ibu bapanya. Jelas nampak betapa abah sangat menyayangi mereka berdua. Bahkan ketika hayatnya, even in his purse, abah masih letak gambar ibunya.”
Allahu, tersentuh mendengar pendedahan Dr Syafiqa mengenai arwah bapanya! Jelas terserlah betapa besar rasa kasih dan sayang Allahyarham Mr Os terhadap kedua-dua ibu bapa dan sentiasa meletakkan mereka di kedudukan yang tinggi. Selama ini masyarakat mengenali Mr Os sebagai pelawak dan penghibur tetapi di sebalik lawak jenakanya tersimpan sisi penyayang penuh keikhlasan bekas anak seni ini.
Malah arwah tidak pernah malu bekerja sebagai pemandu teksi dan menjalani kehidupan sederhana di samping keluarga dan anak-anak tersayang. Kejayaan yang dikecapi Dr Syafiqa Hayra hari ini adalah bukti yang arwah mampu mendidik anak-anak dengan sempurna.
“Abah, sepanjang dia cari makan untuk family tak pernah sekali pun dia mengeluh walaupun saya tahu dia penat. Dia masih kerja walaupun dalam keadaan sakit tenat. Masih pergi ke sana sini, pergi ceramah dan masih cari nafkah dia untuk family. Last abah pergi ceramah dekat Kuang. Abah dah pakai wheelchair. Tetap juga dia gagahkan walaupun dalam keadaan tenat.
My mummy cerita, sehari sebelum abah masuk hospital masa dia tenat, masa tu waktu sarapan, abah cakap dia dah teruk (tenat sangat) tapi dia harap sangat dia dapat bertahan sampai saya grad. Lepas tu abah menangis. Abah masuk hospital hari Isnin. Hari Khamis, hari terakhir saya jumpa abah melalui skype video call. Tapi abah dah tak boleh bercakap, dah pakai bantuan oksigen. Hanya cakap through bahasa isyarat. Esoknya hari Jumaat abah meninggal.”
Ujar Dr Syafiqa lagi, walau kerjaya sebagai doktor bukanlah pilihannya namun dia bersyukur dapat memenuhi impian bapa. “Sejak kecil memang abah galakkan saya jadi doktor. I love medicine. If I don’t love medicine, mesti saya tak grad medical school. Pernah jadi pergolakan di Mesir beberapa tahun lepas dan keadaan sangat bahaya. Kebanyakan pelajar Malaysia balik tapi saya tetap teruskan belajar di Mesir. Abah pernah tanya saya nak balik Malaysia or continue study in Egypt. I still choose to continue study in Egypt. I still grad on time. Saya tak pernah kena extend tahun pun masa study. And sekarang I really love my job. Sometimes patient ucap terima kasih pun saya rasa gembira walaupun saya bekerja sangat letih everyday.
Saya kena selalu ingat pesan abah dulu, kerja doktor ni ibadah. Setiap kali saya kerja, saya ikhlaskan diri dan selalu ingat pekerjaan doktor adalah satu ibadah. Saya nak sedekahkan pahala saya bekerja untuk parents saya. Without them I’m nothing. I go through everything, dengan doa parents saya. Usaha saya mungkin sikit. Tapi saya percaya selebihnya semua sebenarnya datang daripada doa parents saya. Abah seorang bapa yang tegas terhadap anak-anak, suka memberi nasihat dan sentiasa mengambil berat tentang pelajaran serta agama.”
Mengakui tidak berkesempatan membalas jasa bapa tersayang, Dr Syafiqa bagaimana berkata dia tetap sentiasa mengenang segala kebaikan arwah bapa. “Kalaulah masih berpeluang balas jasa saya takkan bagi abah kerja. Let me do the works and cari duit. Abah dulu pernah cakap dia teringin nak pergi all Arabs country Saya nak bawak abah pergi travel dan saya takkan suruh abah saya kerja. Biar dia berehat dan beribadat saja. Saya yang akan kerja cari duit and let him go travel dan untuk abah pergi Mekah setiap tahun. Dulu abah nak datang ke Egypt melawat saya study. Tapi tak sempat sebab abah dah sakit tenat masa tu. Dan abah pernah cakap dia nak duduk di kampung Kuala Kangsar semula. Dia nak duduk kawasan kampung sebab tenang daripada kawasan bandar. Saya akan buatkan abah rumah di kawasan kampung. Biar abah berehat dan beribadah saja. Tak perlu bekerja.
Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargai setiap masa yang ada bersama mereka. Your parents knows best. Kalau ada duit walaupun sedikit, berilah kepada mereka agar ada keberkatan dalam kehidupan. Sentiasa dahulukan ibu bapa anda lebih daripada orang lain.”
Sementara itu, berkongsi keadaan semasa negara yang sedang mengalami pandemik Covid-19, selaku doktor yang mungkin khidmatnya akan diperlukan untuk membantu menangani virus ini kelak Dr Syafiqa berkata, “Buat masa ini saya masih belum diberi arahan untuk merawat pesakit Covid-19. Namun bila tengok situasi yang melanda sekarang saya rasa sedih. All frontliners yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam, ada yang perlu meninggalkan keluarga di rumah.
Tetapi kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak mematuhi arahan PKP. We have to be very concern pasal virus ni sebab it’s a new virus, hopefully akan ada vaccine or definitive treatment soon enough and hopefully situasi seluruh dunia especially negara kita akan cepat pulih.”
Semoga Dr Syafiqa dapat memanfaatkan segala kemahiran perubatan yang dimilikinya untuk kesejahteraan masyarakat pada masa akan datang. Selain menjadi kebanggaan dan inspirasi buat seluruh wanita Malaysia.
Bahaya Obesiti, Doktor Dedah Wanita HAMIL Lebih Berisiko Alami Keguguran!
Kegemukan melampau atau obesiti boleh mengundang pelbagai kesulitan dalam hidup. Jika dikecilkan skopnya kepada wanita, bagi yang sudah berkahwin pula anda mungkin berdepan dengan risiko keguguran.
Menurut Prof Dr Imelda dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, risiko keguguran pada tiga bulan pertama meningkat sebanyak 21 peratus bagi ibu hamil yang obes. Namun perkara paling penting yang meningkatkan kebarangkalian tersebut ialah usia wanita itu sendiri. Jelasnya, semua bayi perempuan dilahirkan dengan semua ovum telurnya di dalam ovari seumur hidup. Tiada lagi ovum atau telur baru yang dibuat selepas dilahirkan.
Apabila usia wanita semakin meningkat, kerosakan DNA atau baka boleh berlaku pada telur wanita, dan risiko keguguran bertambah bila kita semakin tua sehinggalah menopos. Kerosakan baka inilah yang menyebabkan sindrom seperti Down syndrome, Edwards Syndrome dan Patau syndrome.
Jika telur yang dipersenyawakan mempunyai kerosakan baka dan embrio mempunyai sindrom, kebanyakannya akan gugur sendiri dalam masa 3 bulan pertama. Lebih kurang 60 dalam 100 keguguran semasa tiga bulan pertama disebabkan oleh kerosakan baka ini.
Tiada apa yang anda makan boleh menyebabkan masalah ini, tiada rahim yang kotor, tiada jamu atau maajun yang boleh mencegah masalah ini dan tiada ubat herba Cina yang boleh mengelakkan keguguran. Semua wanita yang sihat dan subur mempunyai risiko keguguran dan ini boleh berlaku kepada sesiapa saja.
Lihat gambar 1
Dalam 100 ibu hamil berusia 20-24 tahun, 10 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 25-29 tahun, 12 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 30-34 tahun, 15 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 35-39 tahun, 25 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 40-44 tahun, 50 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 45 tahun ke atas, 90 akan gugur.
Jika anda juga mempunyai berat badan yang obes, 32 kajian perubatan melibatkan 265 ribu wanita telah membuktikan yang risiko keguguran bertambah sebanyak 21%.
(Lihat gambar 2)
Ini bermakna, jika wanita itu obes,
Dalam 100 ibu hamil berusia 20-24 tahun, 12 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 25-29 tahun, 14 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 30-34 tahun, 18 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 35-39 tahun, 30 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 40-44 tahun, 60 akan gugur.
Dalam 100 ibu hamil berusia 45 tahun ke atas, hampir semua akan gugur.
Jadi perkara yang anda boleh buat untuk meningkatkan kesuburan dan mengurangkan keguguran ialah gaya hidup cergas, bersenam dengan kerap, amalkan pemakanan yang sihat, supaya berat badan anda sihat. Banyak kajian perubatan telah membuktikan yang senaman semasa hamil tidak menyebabkan keguguran.
Bagi wanita yang disahkan mempunyai masalah PCOS, pengambilan ubat metformin juga boleh mengurangkan risiko keguguran. Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat.
Sumber: Prof Dr Imelda, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur