Jenama ‘Ezzati Amira’ kian mendapat tempat dihati penggemar fesyen tempatan. Rekaan segarnya memberikan nafas baru dalam pemakaian trendy harian serta pemilihan gabungan fabrik menjadikan setiap helaiannya tersendiri.
Pemilik jenama yang diungguli seorang wanita bernama Ezzati Amira Affandy atau mesra disapa sebagai Ezzati merupakan graduan jurusan rekaan fesyen dari Raffles Design Institute. Pengalaman hampir 10 tahun dalam industri fesyen membuktikan Ezzati mampu membina jenama dan empayarnya sendiri.
Ezzati memulakan kerjaya pertama sebagai pereka jenama ready-to-wear di syarikat high street fashion tempatan, Le Ann Maxima selama tiga tahun. Selepas itu, Ezzati memilih untuk bekerja sebagai jurujual di sebuah butik fesyen terletak di Publika.
Sejak kecil dunia fesyen sememangnya sudah sebati dengan wanita berusia 30an ini. Kerja-kerja home based seperti menjahit telah menjadi rutin bagi Ezzati sebelum tampil dengan jenama fesyennya sendiri iaitu ‘Ezzati Amira’ yang kian menjadi pilihan penggemar fesyen masa kini.
Pemilihan gabungan fabrik menjadikan setiap rekaan jenama ini cukup ekslusif dan tersendiri. Selain versatil jenama Ezzati Amira turut dikenali dengan signature cetakan atau motif yang menonjol. Menariknya lagi, dalam satu koleksi sang pemakai boleh menyuai padankan (mix & match) mengikut stail tersendiri.
PERMULAAN
“Tahun 2013 saya berhenti kerja untuk mencari pengalaman baru seterusnya melangkah ke satu tahap yang lebih baik. Dalam tempoh ini saya mencari jenama yang menghasilkan rekaan ready-to-wear namun ketika ini jumlahnya tidak ramai.
Lantas saya pun terfikir mengapa tidak untuk saya memulakan platform ini dan mencari kelainan. Trend rekaan pada masa itu ialah custom-made. Di Malaysia sebenarnya tidak ramai pereka fesyen wanita yang menghasilkan ready-to-wear. I really love designing ready-to-wear and I love to see people when they are wearing my brand.
Kedua ibu bapa menjadi tulang belakang paling kuat buat saya. Mereka juga mencadangkan saya untuk membuka jenama fesyen sendiri. Sejak itu semangat saya kian membara lalu saya teruskan kerja-kerja menjahit di rumah dan menghasilkan beberapa koleksi dalam skala kecil. Koleksi itu dikenali sebagai Spring/Summer 2013.
Kebetulan ketika itu pengaruh media sosial seperti Instagram baru menular di Malaysia. Maka saya ambil peluang dengan memuat naik gambar sample pieces. Tanpa diduga ia menjadi tular terutama di kalangan rakan-rakan but for me it is good. Saya mendapat banyak respon daripada pengikut di Instagram. Ramai juga yang bertanya di mana mereka boleh membelinya. Saya bersyukur kerana orang sudah mula nampak dan mahu membeli rekaan saya itu.
Kebetulan juga ketika itu Andrews Models bakal muncul dengan platform ready-to-wear untuk Kuala Lumpur Fashion Week. Mereka tertarik dengan rekaan saya dan memilih untuk berkolaborasi. I think that was the highlight of where I started the brand.
Ezzati Amira berkembang secara perlahan-lahan sehinggalah saya mula membuka studio pertama di Wisma Central berhampiran Kuala Lumpur City Centre. Pada tahun 2016 saya berpindah ke Jalan Maarof, Bangsar. Saya memilih rumah untuk dijadikan butik kerana ia lebih spacious, tenang dan memudahkan saya menyimpan stok dengan lebih tersusun.
NASIHAT
Nasihat saya buat mereka yang mempunyai impian untuk bergelar pereka fesyen atau yang masih baru dalam industri ini, usah overconfident. Saya sendiri sering bergaul dengan golongan lebih berusia, matang dan berpengalaman untuk melatih saya berkomunikasi dengan lebih baik seterusnya tahu menghormati orang lain. Ini juga dikatakan adab sesama manusia, hati perlu sentiasa bersih.
Seterusnya, minat adalah kunci utama sukses. Sabar dan jangan mudah putus asa. Percaya dengan kemampuan diri. Jangan jadi kaya dengan cara yang ‘licik’ dan busuk hati kerana ia jelas tidak ikhlas malah tidak halal. Dalam hidup ini sama ada menang atau kalah, tiada yang betul atau salah kerana ia subjektif. Hari ini mungkin kita di atas, esok lusa mungkin di bawah pula.
Ingat dari mana bermula. Sentiasalah merendah diri, tanamkan impian yang besar dan sentiasa dahagakan idea-idea baru. Tahu dan cari apa kelebihan yang dimiliki. Kerja keras untuk apa yang kita ingin capai,” akhiri Ezzati yang mengimpikan untuk menjalinkan lebih banyak kolaborasi dengan pelbagai pihak pada masa akan datang.
Kredit Foto: Instagram @ezzatiamira_