Wangian bukan sekadar penyedap bau. ia tela menjadi sebahagian daripada identiti wanita moden yang mencerminkan keperibadian, keyakinan dan keanggunan mereka. Wangian yang sesuai dapat meningkatkan keyakinan diri seorang wanita.
Aroma yang wangi bukan hanya membuat orang di sekeliling berasa selesa, tetapi i juga memberi suntikan keyakinan dan tenaga positif. Dengan hanya beberapa semburan, seorang wanita lebih bersedia menghadapi apa jua cabaran!
Itulah yang menjadi aspirasi buat pengasas Beauboss Perfume, Athira Mohamed Shahid atau lebih mesra disapa Tiya yang memulakan perniagaan ini berdasarkan minat yang mendalam terhadap wangian sejak kecil. Sifatnya yang gemar mencuba pelbagai jenis minyak wangi menjadikan dirinya menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan wangian.
Meskipun pernah mencuba beberapa perniagaan lain sebelum serius menubuhkan Beauboss Perfume, Tiya tidak menafikan kerjaya di awan biru merupakan titik tolak bagaimana dirinya serius dalam perniagaan berasaskan wangian ini. Menyingkap permulaan Beauboss Perfume, Tiya sering memenuhi pesanan minyak wangi yang sukar diperoleh di dalam negara sewaktu bertugas di awan biru.
“Pengalaman bertugas di awan biru membawa saya mengenali pelbagai jenis wangian sekaligus memberi inspirasi untuk melahirkan jenama sendiri iaitu Beauboss Perfume. Alhamdulillah ia menjadi jenama pilihan ramai atas dasar kualiti dan harga yang berpatutan,”ujar Tiya yang bersyukur minatnya terhadap wangian membuka rezeki untuk diirnya sebagai sumber pendapatan.
Memulakan perniagaan pada skala kecil, Beauboss Perfume mula berada di pasaran di mana ia membawa konsep wangian berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Matlamat Beauboss Perfume untuk memberikan pengalaman mencuba wangian yang menarik. Di samping itu, ia membolehkan pelanggan bereksperiman dengan aroma berbeza tanpa kos yang terlalu tinggi.
“Saya berharap jenama ini mampu memenuhi keperluan pencinta wangian yang ingin tampil menarik dengan pelbagai aroma, tanpa perlu membelanjakan wang yang besar,”ujar Tiya berkongsi misi Beauboss Perfume.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam perniagaan, menurut Tiya segala pahit manis dalam dunia perniagaan yang diusahakan banyak mematangkan dirinya berhadapan dengan cabaran dunia perniagaan.
“Saya memulakan Beauboss Perfume dengan modal yang terhad. Malah terpaksa menggunakan kaedah ‘preorder’ bagi membina kepercayaan pelanggan. Dengan ketekunan dan usaha yang berterusan, saya berjaya mengukuhkan Beauboss perfume sebagai jenama wangian yang dipercaya dan berkualiti”.
Tiya tidak menafikan, inspirasi terbesar dalam perniagaan datang dari semangat ibu tersayang yang juga merupakan seorang usahawan wanita yang tidak pernah mengenal erti kalah dalam dunia perniagaan.
“Melihat kejayaan mama mencapai impian dari segi kewangan, memiliki rumah dan kereta idaman, ia membakar semangat saya untuk mencapai kejayaan serupa.
Berkat dorongan suami dan keluarga, saya menjadikan wangian ini sebahagian dari gaya hidup dan punca rezeki. Meskipun terdapat saingan dalam industri wangian, saya melihatnya sebagai sesuatu yang perlu ada, malah ia mendorong untuk sentiasa fokus dan konsisten,”ujar Tiya lagi.
Sikap optimis dan berpandangan jauh menjadi asas kejayaan wanita ini yang tidak pernah menjadikan kegagalan sebagai penamat untuk terus melangkah ke hadapan.
“Antara cabaran yang perlu saya lalui dalam bisnes wangian ini ialah untuk menggambarkan wangian yang dihasilkan kepada para pelanggan terutamanya di platform digital. Tapi Alhamdulillah, Beauboss Perfume berjaya mengatasinya dengan menyediakan platform maklum balas pelanggan sebagai rujukan untuk pelanggan baru”.
Sejak penubuhannya, Beauboss Perfume telah berjaya menarik perhatian pelanggan dan baru-baru ini mendapat pengiktirafan NONA Superwoman Award 2024 dalam kategori NONA Best Fragrance Brand Award di mana ia menjadi tanda aras kejayaan Beauboss Perfume sebagai jenama wangian lokal yang mendapat kepercayaan pelanggan.
“Saya ingin melihat Beauboss Perfume berkembang ke tahap antarabangsa. Malah saya bercita-cita untuk membuka lebih banyak cawangan dan memperkenalkan koleksi khas Beauboss Perfume di pelbagai peringkat”.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, Beauboss Perfume bercadang menempatkan jenamanya di peringkat antarabangsa selain menghasilkan koleksi khas wangian eksklusif yang diiktiraf seluruh dunia.
“Dengan keazaman, sokongan keluarga dan kepercayaan kepadaNya, adalah resipi utama Beauboss Perfume mencapai kejayaan berterusan. Setiap rezeki sudah ditetapkan olehNya. Usaha, tawakal dan terus berusaha adalah kunci kepada kejayaan”, ujar Tiya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.