Kes COVID-19 Semakin PULIH Di China, Wanita Ini Kongsi Pengalaman LOCKDOWN Di Sana

Ketika di negara kita saban hari kes COVID-19 dicatatkan semakin meningkat tetapi berbeza pula jumlah kes yang dikatakan semakin menurun di negara China. Seperti kita ketahui wilayah Wuhan adalah kes pertama munculnya virus yang pada awalnya dikenali sebagai Novel Coronavirus 2019.

Nona berkesempatan menghubungi salah seorang warganegara Malaysia yang menetap di China untuk berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh penularan COVID-19 ini. Zamilah Asnawi berada di China bagi menemani suaminya yang bekerja di sana.

Zamilah Asnawi

“Sekarang keadaan di China sudah semakin baik. Tiada kematian dan sangat sedikit kes baru. Di Wuhan ada 8 kes sejak 3 hari lalu (ketika artikel ini ditulis). Hospital sementara di Wuhan juga banyak sudah ditutup. Hospital sementara ini dibuat di stadium, dewan besar dan bangunan pasang siap sementara.

Manakala di Guangzhou ada 4 kes baru minggu ini (ketika artikel ini ditulis) tetapi, ia berpunca dari pelancong luar atau warganegara China yang baru balik dari luar negara,” tutur Zamilah membuka bicara.

Jalan utama hadapan apartment Zamilah kini lengang

Bercerita lanjut, “Ketika ini di Huadu (tempat tinggal Zamilah) dalam peringkat lockdown level 2. Semua kedai tutup kecuali pasar raya. Penduduk perlu mendaftar perjalanan keluar dari daerah jika perlu.

Kedai-kedai di tempat borong barang stationary, Huangsha. Sekarang sudah buka semula tetapi hanya untuk pembelian borong online.

Kami yang baru balik dari Malaysia perlu lapor diri kepada polis dan buat kurungan di rumah. Boleh keluar ke pasar raya untuk beli keperluan tapi kena cepat dan pantas. Kebetulan sebelum balik cuti ke Malaysia saya ada simpan stock lauk-lauk untuk keperluan 2 minggu.

Jadi kami ke pasar raya hanya untuk beli keperluan lain dan sayur-sayuran. Membeli sayur-sayuran dah tak sama macam sebelum ini kerana sayur-sayuran dah tak segar lagi seperti sebelumnya. Tak ada jualan ikan-ikan tapi yang seronoknya dah tak ada langsung haiwan-haiwan eksotik seperti buaya, biawak, ular, katak dan kura-kura dijual di pasar raya,” ujar Zamilah tersenyum.

Masjid Huaisheng, Guanta Lu masih tutup
Masjid Huaisheng, Guanta Lu masih tutup

Tambahnya lagi, “Keadaan di Huadu sunyi kerana semua tempat awam ditutup. Taman rekreasi dan riadah berhampiran rumah siap dipasang tali merah putih rentang semua kawasan tak dibenarkan masuk.

Ini dataran di hadapan mall di rumah kami yang biasa penuh orang ramai buat pelbagai aktiviti

Tak kelihatan lagi orang ramai yang sentiasa memenuhi mall dekat rumah kami, apalagi kanak-kanak tidak kelihatan terus. Semua kawasan dipasang pagar dan hanya satu pintu dibuka dan pegawai sekuriti akan memeriksa suhu badan setiap orang yang masuk.

Masa ini bekalan mask sangat terhad. Di farmasi orang ramai berbaris panjang sehingga hampir 2km untuk mendapatkan mask. Mujur kami dah sedia mask dari Malaysia dan bawa agak banyak kerana staf-staf suami pesan untuk mereka.

Dalam subway yang lenggang. Biasanya penuh sesak.

Semua perkhidmatan awam juga dihentikan dan tidak dibenarkan masuk ke station subway jika tak pakai mask. Urusan bank hanya lima orang dibenarkan pada satu masa. Yang lebih kena tunggu di luar bank dan kerusi jarak 1 meter. Begitu juga bila kedai makan dibuka, boleh makan 1 meja 1 orang dan tidak berhadapan.

Jabatan kesihatan akan hantar pesanan ringkas setiap hari dengan memberi peringatan kepada orang ramai supaya menjaga kesihatan dan mendapatkan rawatan segera jika ada tanda jangkitan. Jika mahu mendapatkan sebarang rawatan tidak dibenarkan guna kenderaan awam sebaliknya panggil ambulans dan kereta ambulans akan datang ambil.

Setiap hari kami akan dipesan agar sentiasa buat senaman dan melakukan pergerakan dalam rumah. Jangan percaya kepada khabar angin apatah lagi menyebarkannya. Kami juga disarankan agar ikut arahan dari aplikasi kerajaan, tidak berkongsi makanan dan jangan keluar tanpa urusan,” katanya lagi.

Aktiviti santai sebelum penularan COVID-19

Menurut Zamilah menjadi suri rumah, beliau terpaksa menukar rutin harian agar tidak menjadi bosan. “Biasanya rutin harian saya adalah masak sarapan dan makan tengah hari untuk suami bawa bekal. Ini kerana tempat kerja suami tak ada makanan halal. Kebiasaanya saya keluar selang sehari untuk dapat bekalan sayur-sayuran.

Seminggu atau 2 minggu sekali saya akan keluar ke Guangzhou untuk berjumpa kawan-kawan dari Malaysia atau ke masjid jumpa kawan-kawan Muslim yang lain. Kadang-kadang bawa tetamu dari Malaysia.

Sekarang hanya duduk di rumah. Bagi mengelakkan rasa bosan saya ubah rutin harian dan cuba banyak cuba masakan baru, berkebun dan lebihkan bacaan al-Quran serta mengikuti live belajar apa-apa yang patut. Kemudian buat senaman sikit bagi keluar peluh,” ujar Zamilah yang kagum dengan rakyat China kerana patuh kepada semua arahan kerajaan mereka.

Share
Published by
Hamizatul Maizan