Apa aktiviti Zarina bersama anak-anak agar tidak bosan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. “Sepanjang tempoh kuarantin saya berkebun di belakang rumah, tanam pokok serai, kunyit, lengkuas dan lain-lain lagi. Senang nak masak nanti ambik je di belakang rumah.
Waktu tengah hari saya memasak dan petang saya main badminton bersama anak-anak. Bila malam menjelma, saya ajak anak-anak menonton drama Korea Crash Landing On You. itulah antara aktiviti harian saya selain melaksanakan tanggungjawab amal ibadat kita kepada Allah SWT.”
Bagaimana pula sebagai ibu, Zarina menguruskan anak-anak yang mungkin tidak faham dengan situasi sekarang. “Anak-anak agak sukar sikit nak fahamkan mereka. Anak saya yang normal dua orang tu mereka faham dan tahu nak buat kerja sekolah tetapi Azil tetap pagi-pagi nak keluar cari surat khabar dan Azal pula duduk di luar rumah dengan berbedak penuh muka takut kulit wajahnya jadi gelap,” jelas Zarina turut berkongsi video tersebut menerusi halaman IG beliau.
Jika dilihat perkongsian itu, sebagai ibu yang menjaga anak-anak syurga ini pastinya tahap kesabaran harus berlipat ganda melayan kerenah mereka terutama dalam keadaan sekarang.
Kongsi Zarina, “Azal anak yang baik, kesian dia pada waktu PKP ini dia tidak dapat ke mana-mana. Azal takut duduk dalam rumah, di waktu pagi dia akan mandi dan pakai bedak banyak-banyak takut nanti jadi hitam.
Dia tak nak duduk dalam rumah sebab pagi-pagi dia tahu Azil akan bangun dan menangis dulu ajak ke kedai beli surat khabar. Azal takut dengan suara Azil menangis dan akan membuatkan perasaannya luruh. Saya sayang Azal anak yang baik, mendahulukan abangnya Azil dari dirinya sendiri.”
Perkongsian kisah Azil juga mendapat perhatian followers di media sosial. Ramai yang memberi kata semangat buat Zarina untuk jadi lebih kuat kerana tiada siapa tahu hati seorang ibu yang pihatin pada keadaan anak-anak tersayang.
“Beberapa hari di rumah, saya cuma bawa Azil beli surat khabar sahaja. Saya cuba fahamkan Azil tentang keadaan kat luar bahaya. Lima minit dia akan diam, lepas tu akan mengamuk balik. Azil mengamuk memang susah nak fahamkan, tambahan bila saya ada kat rumah depan matanya, lagi buat perangai.
Ada yang cakap, jangan layan kerenah dia tapi saya tak sampai hati dan dia hanya ada saya untuk mengadu cara dia.” Tersentuh dengan dugaan ini, diharapkan supaya ibu-ibu yang punya anak istimewa lebih bersabar dalam menghadapi situasi begini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga Zarina diberi kesabaran dan keikhlasan tinggi dalam meniti hari-harinya.
Harapan Zarina Zainuddin dalam keadaan dunia diselubungi wabak virus COVID-19 ini, “Melihat berita dari hari ke hari buat saya rasa gelisah. Saya cuba buat-buat lupa dengan sibukkan diri dengan aktiviti lain.
Saya berdoa semoga segalanya akan pulih, walaupun setiap hari kita terima berita kematian. Bagi mereka yang bertugas di bahagian hadapan, anda adalah wira bangsa dan negara. Semoga Allah merahmati hidup anda semua dan dipermudahkan perjalanan kita selagi bernafas di muka bumi Allah ini… Aamin. Buat masa sekarang, marilah kita menghargai saat indah di rumah, stay at home sayang.” Kiffy Razak