Fasa tumbesaran daripada alam bayi ke alam dewasa banyak mempengaruhi tekstur dan rona hitam putih ke atas kanvas kulit. Masihkah anda ingat wajah yang rata dan licin sebelum mencapai akil baligh, kemudiannya ditimpa masalah berminyak dan berjerawat? Cuba perhatikan rutin corak pemakanan harian, amalan detoks barangkali berhasil untuk mengeluarkan sisa toksin yang terkumpul.
Kebanyakan makanan di sekeliling kita telah dicemari dengan toksik. Bahan-bahan tercemar ini mudah larut dalam darah dan seterusnya diangkut ke seluruh tubuh. Apa kata jika sesekali lakukan detoks untuk ‘mencuci’ sistem penghadaman dengan cara yang sihat? Selepas melakukan ‘cucian’ perut ini, anda dapat merasa perbezaan ketara pada kulit, ia lebih segar dan bercahaya dari dalam.
DETOKS HUJUNG MINGGU
- Makan banyak buah-buahan segar sewaktu bersarapan. Pilihlah yang berwarna cerah seperti kiwi, anggur, mangga, betik, pic, beri, strawberi, pir dan epal.
- Jamah segenggam kekacang sebagai snek sarapan bersama teh hijau, teh herba atau air suam.
- Sediakan semangkuk salad istimewa untuk makan tengah hari dengan campuran bunga kubis, tomato, timun, brokoli, lada hijau, hirisan lobak, avokado, sedikit rempah dan bawang. Tambah perisa dengan minyak zaitun secukupnya, hirisan herba, bawang putih, jus lemon dan cuka.
- Waktu snek diisi dengan kuaci, gajus dan biji labu atau pek kecil yogurt tulen sambil menghirup teh hijau atau teh herba.
- Buat stim kukus sayur-sayuran segar dan berwarna cerah seperti brokoli, bunga kubis, labu air dan kubis merah dengan herba untuk makan malam.
DETOKS HARIAN
- Minum banyak air mineral atau bertapis sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Tambahkan sedikit perisa dengan memerah jus limau nipis atau rendaman hirisan lemon untuk kelainan.
- Tukar amalan meminum kopi dengan teh hijau. Ia kaya dengan antioksidan dan boleh ‘mencuci’ usus.
- Jus buah-buahan pekat dan segar seperti jus lobak, epal, tembikai, betik dan sebagainya sangat digalakkan tetapi jauhi gula dan ais.
- Jauhi minuman beralkohol dan berkarbonat kerana ia tinggi acetaldehyde, yang menyebabkan kulit cepat tua dan tinggi kalori. Minuman keras lain seperti wiski, vodka dan gin pula boleh meninggikan kadar insulin.
- Banyakkan makanan berunsur buah-buahan, sayuran hijau, berfiber dan cecair untuk memudahkan proses penyahtoksikan.